Mitos merujuk kepada satu cerita dalam sesebuah kebudayaan yang dianggap sebagai satu kepercayaan dan kebenaran mutlak yang dijadikan sebagai rujukan.
Ia selalunya beredar dalam kalangan masyarakat sehingga mereka tidak menyedari bahawa maklumat yang diterima itu tidak benar. Keyakinan kuat kepada mitos mampu mempengaruhi perilaku sesebuah masyarakat. Masyarakat di Malaysia lazimnya tidak asing dengan pelbagai mitos seperti yang berkaitan dengan kehidupan seharian, makanan dan pakaian. Kolej perubatan juga tidak terkecuali daripada pelbagai mitos dan tanggapan.
Pada pendapat saya, terdapat satu mitos yang sering dikaitkan tentang Kolej Perubatan, iaitu seorang pelajar perubatan harus membedah dan tidur bersama mayat .
Izinkan saya memberi penjelasan. Sememangnya, sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar perubatan untuk didedahkan dengan pembelajaran yang memerlukan kami untuk membedah mayat. Perkara ini lebih nyata di India. Kenyataan tentang pembedahan mayat itu adalah benar, sekurang-kurangnya kepada para pelajar perubatan di India. Namun, pembedahan mayat atau lebih dikenali sebagai “dissection” dalam Bahasa Inggeris selalunya dilakukan apabila kami mempelajari subjek Anatomi. Subjek ini mengajar kami tentang anggota badan manusia di mana semua bahagian badan manusia harus diketahui. Dari sebesar-besar organ seperti hati, jantung dan paru-paru hinggalah sekecil-kecil salur darah di sekeliling jantung dan otak harus diketahui. Ini merungkai kembali terjemahan kata-kata yang pernah saya baca apabila menelaah sebuah buku,
“Apabila saya membaca, saya lupa; apabila saya mendengar, saya ingat; apabila saya buat dan lihat, saya tahu.”
Oleh sebab itu, pembedahan mayat adalah sangat penting bagi seorang pelajar agar dapat membandingkan dan juga mengaitkan apa yang kami baca di dalam buku teori dengan jasad manusia yang sebenar. Selain itu, harus dijelaskan bahawa mayat yang digunakan bukanlah mayat baru seperti yang dibayangkan oleh kebanyakan masyarakat. Sebaliknya, ia adalah mayat yang telah melalui pelbagai proses pengawetan menggunakan bahan kimia formalin yang mengambil masa yang lama.
Tambahan pada itu, ramai juga yang beranggapan bahawa kami tidur bersama mayat. Ingin saya nyatakan bahawa sepanjang saya bergelar pelajar perubatan selama beberapa tahun ini, tidak pernah lagi saya tidur bersama mayat hatta mendengar mana-mana rakan seperjuangan tidur bersama mayat juga saya tidak pernah. Masa yang diluangkan bersama mayat hanyalah sewaktu sesi pembelajaran praktikal, yang kebiasaannya tidak melebihi tiga atau empat jam sehari. Melainkan jika seseorang pelajar itu tidur semasa kelas berlangsung, mungkin benar beliau berkesempatan tidur bersama mayat.
Saya tergerak untuk menulis tentang perkara ini kerana sebelum menjejakkan kaki ke kolej perubatan, saya sering dimomokkan dengan perkara-perkara sebegini. Terutamanya apabila diketahui bahawa saya akan menjadi seorang pelajar perubatan di India. Pelbagai persoalan ditujukan kepada saya. Namun, pada masa itu, kerana tiada pengalaman dan pengetahuan tentang perkara itu, saya tidak dapat memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditujukan. Malah, saya mula meragui keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Perkara ini juga dialami oleh seorang rakan seperjuangan saya yang baru menamatkan zaman persekolahan rendah apabila saya bertanya tentang rancangan dan cita-cita beliau pada masa hadapan. Beliau mengakui mempunyai minat dalam bidang perubatan dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Malangnya beliau tidak yakin dengan rancangan itu kerana persoalan-persoalan seperti “tidak takut ke kene tidur dengan mayat nanti?” dan “berani ke nak bedah mayat nanti?”
Kesimpulannya, pada pandangan saya, perkara ini perlu dijelaskan kepada masyarakat agar hal-hal sebegini boleh dielakkan daripada terjadi kepada jiwa-jiwa muda yang berkobar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan pada masa hadapan. Sesungguhnya melentur buluh biarlah dari rebungnya. Janganlah dipatahkan sewaktu muda.
Afiqah Azman seorang pelajar perubatan tahun tiga di Krishna Institute of Medical Sciences University, India yang lena tidur malam hanya bertemankan bantal peluknya. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
tidur dengan mayat mungkin tidak pernah, tapi tidur dengan tulang dan tengkorak manusia itu satu kebiasaan sewaktu belajar anatomi ketika dahulu.