Benarkah gabungan buah epal, tomato dan kekacang boleh menggantikan peranan ubat kolesterol di kalangan pesakit berkolesterol tinggi? Bagaimana pula dengan gabungan buah asam (buah sitrus), pisang dan sayur-sayuran berdaun hijau sebagai pengganti ubat darah tinggi? Ataupun gabungan teh hitam (black tea), vitamin D (daripada matahari) dan sayuran berdaun hijau sebagai pengganti metformin – sejenis ubat kencing manis?
Sebelum itu, mari kita nyatakan maklumat yang terbukti benar dahulu. Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah penting untuk pemakanan yang sihat dan seimbang. Tiada satu pun buah atau sayur yang akan memberikan semua nutrien dan khasiat yang diperlukan oleh badan kita. Justeru, kita disaran untuk mempelbagaikan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, walaupun kenyataan ini nampak klise.
Mari kita lihat beberapa kajian yang telah dijalankan tentang peranan sayur dan buah sebagai pengganti ubat.
Penyakit jantung
Dalam satu kajian tentang kaitan antara pola pemakanan dan kesihatan yang melibatkan 110,000 orang peserta lelaki dan wanita selama 14 tahun telah mendapati risiko untuk mendapat serangan jantung berkurang sebanyak 30% untuk orang yang mengambil sekurang-kurangnya 8 hidangan sayur dan buah sehari berbanding mereka yang hanya mengambil 1.5 hidangan sehari sahaja.
Para pengkaji tersebut mendapati bahawa sayuran yang berdaun hijau (bayam, brokoli, kubis dsb) dan buah-buahan bersifat asam (buah sitrus) merupakan penyumbang utama pengurangan risiko serangan jantung tersebut.
Kajian ini turut disepakati dan disahkan oleh beberapa kajian besar lain di Eropah.
Tekanan darah tinggi
Satu kajian oleh Appel dan rakan-rakan melihat bagaimana peranan makanan yang mengandungi empat elemen utama – buah, sayuran, tenusu rendah lemak dan makan yang mengandungi lemak tepu yang rendah – mempengaruhi tekanan darah seseorang pesakit darah tinggi. Didapati mereka yang mengamalkan diet tersebut secara purata berjaya mengurangkan tekanan darah sistolik[1] sebanyak 11 mmHg dan diastolik[2] sebanyak 6 mmHg. Kesan gabungan makanan tersebut dikatakan menghampiri kesan ubat darah tinggi.
Dalam satu ujikaji yang lain yang dinamakan OmniHeart menunjukkan bahawa penambahan makanan yang mengandungi lemak tidak tepu dan protein kepada diet yang tinggi dengan sayur dan buah berjaya menurunkan lagi tekanan darah pesakit darah tinggi.
Satu kajian metaanalisis[3] pada 2014 oleh Yokohama dan rakan-rakan menyokong perkaitan antara penurunan tekanan darah dengan diet yang sarat dengan sayur.
Kanser
Bagaimana pula dengan kanser? Beberapa penyelidikan awal telah menunjukkan bahawa diet yang mengandungi sayur dan buah melindungi seseorang daripada kanser. Namun demikian, kebanyakan kajian tersebut mempunyai hadnya yang tersendiri disebabkan oleh rekabentuk kajian yang dipilih. Kebelakangan ini, kajian dengan rekabentuk yang lebih utuh – menggunakan kajian kohort – tidak dapat mengesahkan peranan diet yang sarat dengan buah dan sayur sebagai senjata untuk mengelak kanser.
Kajian Tahap Kesihatan Jururawat dan Kajian Susulan Pekerja Kesihatan yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Harvard mendapati bahawa risiko untuk mendapat kanser adalah sama antara mereka yang makan buah dan sayur yang banyak dengan mereka yang sedikit.
Laporan daripada World Cancer Research Fund pula mencadangkan sayuran yang mengandungi kanji yang rendah (sayuran berdaun, kobis, bawang putih dsb) mungkin mempunyai sifat melindungi dari kanser mulut, tekak, saluran pencernaan dan perut.
Satu kajian yang lain, mencadangkan bahawa unsur lycopene dalam tomato menurunkan risiko mendapat kanser prostat, peparu dan mulut. Namun dapatan ini adalah agak lemah apabila diulang dalam beberapa populasi yang berlainan. Ini mencadangkan bahawa pembentukan kanser dipengaruhi oleh pelbagai punca dan faktor, sebagai contoh faktor persekitaran seperti pencemaran.
Apa yang pasti, bukti kajian tentang corak makanan yang tinggi dengan daging merah terutamanya daging proses meningkatkan risiko beberapa jenis kanser adalah kukuh dan konsisten. IARC atau Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa telah mengelaskan daging merah sebagai “berkemungkinan karsinogenik[4]” dan daging proses sebagai “karsinogenik”.
Kencing Manis
Setakat ini, kajian tentang buah dan sayur dengan kencing manis agak terbatas. Namun, beberapa dapatan kajian-kajian awal memberikan petunjuk yang menarik untuk dikongsikan.
Salah satunya adalah dari Kajian Tahap Kesihatan Jururawat dan Kajian Susulan Pekerja Kesihatan. Kajian ini mendapati bahawa mereka yang mengamalkan makan buah secara menyeluruh (tidak dikisar atau diperah sebagai jus) mempunyai risiko mendapat kencing manis yang rendah.
Lebih menarik, didapati mereka yang kerap mengamalkan jus buah-buahan meningkatkan risiko untuk mendapat kencing manis. Penyelidik menyatakan perubahan dalam khasiat buah melalui proses pemerahan kemungkinan telah menyumbang kepada peningkatan risiko ini. Kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan perkara ini.
Dalam satu kajian yang lain yang melibatkan lebih dua ribu lelaki Finland, mendapati pola pemakanan yang tinggi buah dan sayur mengurangkan risiko mendapat kencing manis.
Saluran pencernaan – Gastrousus
Daripada kecil kita sering diingatkan oleh ibu bapa kita tentang kepentingan memakan sayur dan buah untuk melancarkan proses membuang air besar. Begitu juga dengan wanita selepas bersalin sentiasa diingatkan untuk makan buah dan sayur selain minum banyak air dalam diet seharian mereka.
Sayur dan buah mengandungi serat atau fiber. Terdapat dua jenis serat iaitu serat larut air dan serat tidak larut air. Sayur, buah dan bijirin adalah sumber serat tidak larut air yang baik. Serat jenis ini akan menyerap air dalam usus dan seterusnya membentuk tinja yang lembut dan longgar. Serat yang tinggi merangsang pergerakan usus dan memudahkan pembuangan bahan kumuh dari badan. Kesannya, bahan bersifat karsinogen tidak akan menduduki usus dengan begitu lama untuk bertindak dengan sel usus.
Makanan berserat seperti sayur dan buah boleh mengelak seseorang dari penyakit divertikulosis – iaitu radang pada kantung yang terbentuk secara tidak normal di usus. Kantung ini – iaitu divertikula – terbentuk daripada tekanan tinggi yang menekan titik-titik lemah pada dinding usus. Salah satu punca tekanan tinggi ini adalah pengambilan serat yang kurang.
Kesihatan Mata
Dapatan dari beberapa kajian mencadangkan bahawa orang yang mengamalkan sayur dan buah dalam diet mereka dapat mengurangkan risiko dua jenis penyakit mata akibat penuaan iaitu katarak[5] dan macular degeneration[6].
Lutein dan Zeaxanthin, dua nutrisi yang terdapat dalam sayur hijau dapat mengelak seseorang dari katarak. Dalam kajian yang melibatkan 35,000 peserta, didapati risiko mendapat katarak adalah rendah untuk mereka yang mengambil lutein dan zeaxanthin dalam kuantiti mencukupi.
Kesimpulan
Ahli dalam bidang perubatan sentiasa mencari yang terbaik untuk merawat pesakit, berdasarkan kepada kajian kajian terkini. Dakwaan dan tuntutan yang luar biasa atau tidak masuk akal tidak dapat dijadikan sandaran untuk merawat pesakit.
Malaysia adalah sebuah negara tropika yang kaya dengan pelbagai jenis sayur dan buah-buahan. Kita sepatutnya bersyukur dengan kurniaan Ilahi ini. Adalah amat penting kita menggabungkan sayur dan buah ke dalam makanan seharian kita.
Setakat ini, kita digalakkan untuk memakan pelbagai aneka sayur dan buah dalam pelbagai warna dan tekstur untuk mendapat hasil yang baik untuk kesihatan kita seperti yang dinyatakan di atas.
Tiada kebenaran atau bukti kajian yang mengkhususkan buah atau sayuran tertentu, jika dimakan, akan bertindak seperti ubat yang diberi oleh doktor. Makanlah ubat anda, pada masa yang sama ubah tabiat pemakanan dan bersenamlah, insyaAllah mujarab.
Dr Helmy Hazmi ialah pakai perubatan masyarakat dengan pengkhususan dalam Epidemiologi dan Biostatistik. Sekarang beliau bertugas di tempat asalnya, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan:
- Vieira, A. R., Abar, L., Chan, D. S. M., Vingeliene, S., Polemiti, E., Stevens, C., … Norat, T. (2017). Foods and beverages and colorectal cancer risk: a systematic review and meta-analysis of cohort studies, an update of the evidence of the WCRF-AICR Continuous Update Project. Annals of Oncology, 28(8), 1788–1802. https://doi.org/10.1093/annonc/mdx171
- Mursu, J., et al., Intake of fruit, berries, and vegetables and risk of type 2 diabetes in Finnish men: the Kuopio Ischaemic Heart Disease Risk Factor Study. Am J Clin Nutr, 2014. 99(2): p. 328-33.
- Christen, W. G., Liu, S., Glynn, R. J., Gaziano, J. M., & Buring, J. E. (2008). Dietary carotenoids, vitamins C and E, and risk of cataract in women: A prospective study. Archives of Ophthalmology, 126(1), 102–109. https://doi.org/10.1001/archopht.126.1.102
- Yokoyama, Y., Nishimura, K., Barnard, N. D., Takegami, M., Watanabe, M., Sekikawa, A., … Miyamoto, Y. (2014). Vegetarian diets and blood pressure: a meta-analysis. JAMA Internal Medicine, 174(4), 577–87. https://doi.org/10.1001/jamainternmed.2013.14547
- Appel, L.J., et al., Effects of protein, monounsaturated fat, and carbohydrate intake on blood pressure and serum lipids: results of the OmniHeart randomized trial. JAMA, 2005. 294(19): p. 2455-64.
[1] Sistolik – bacaan tekanan darah bahagian atas
[2] Diastolik – bacaan tekanan darah bahagian bawah
[3] Metaanalisis – kajian tentang penyelidikan-penyelidikan yang telah dijalankan. Ia dapat mengukuhkan dapatan kajian melalui analisis beberapa kajian.
[4] Karsinogenik – bahan penyebab kanser
[5] Katarak – kanta mata menjadi legap
[6] Kemerosotan makula – makula adalah satu kawasan pada dinding belakang mata yang berperanan untuk penglihatan yang jelas (high definition) dan warna.