Bencana alam banjir dan kesan kepada anak-anak kecil – Dr Mar’ain Ahmad Dani

 “Seorang ibu mengadu kepada seorang sukarelawan,tolonglah dah dua hari anak perempuan saya berdiam diri, bila suruh makan, dia geleng kepala tak nak makan, asyik diam sahaja. Apabila sukarelawan datang mendekati dengan membawa sehelai kertas kosong dan pensil warna, kemudian anak kecil berusia 6 tahun itu melukis rumahnya yang dikelilingi banjir dan seekor hamster terapung-apung di depan rumah. Maka pada akhirnya diketahui anak kecil itu kesedihan kehilangan sesuatu yang disayangi, wajahnya sugul dan air mata berlinangan dan dia mula menutur bicara  “Hamster saya dah mati”.

Situasi pengalaman mereka akibat banjir berlainan sebagai contoh ada yang kehilangan keluarga, kehilangan atau kerosakan besar pada rumah, terperangkap dalam rumah, barang-barang dalam rumah hampir hancur, terputus bekalan elektrik dan air selama beberapa hari dan kesukaran makanan.

Maka bila dilihat di sini, bencana banjir memberi suatu kesan emosi dan psikologi kepada anak kecil ini.

 

Psychological First Aid (PFA) atau pertolongan cemas psikologi bertujuan untuk mengurangkan kesusahan awal yang disebabkan oleh peristiwa trauma dan memupuk fungsi penyesuaian dan daya tahan jangka pendek dan panjang.

Ciri utama PFA termasuk menyokong tetapi tidak mengganggu, mengiktiraf bahawa orang mempunyai hak untuk menerima atau menolak bantuan. PFA juga melibatkan pendengaran aktif tetapi tanpa menggunakan tekanan untuk bercakap jika orang itu tidak berasa selesa berbuat demikian. Ia menawarkan keselesaan dan menyokong ketenangan semasa krisis.

 

Bagaimana sukarelawan boleh mendekati anak-anak ini, dengan 3 perkara asas, “Look, listen, link” atau dalam erti bahasa melihat, mendengar dan menghubungkan.

  • Ekspresi muka yang tenang dan senyuman yang ikhlas dari sukarelawan itu sendiri.
  • Lihat persekitaran sekeliling pastikan kanak-kanak itu berada di tempat yang selamat, bukan di tepi longkang atau di tepi jalan.
  • Mulakan bicara dengan bertanya nama dan khabar, dan mereka akan mula bercerita maka pastikan dengan dengan teliti, contoh cerita mereka seperti banjir datang di aras mana, jika mereka enggan bercerita, beri mereka ruang masa dan usah dipaksa.
  • Boleh tawarkan kepada mereka set alat tulis dan set permainan untuk mereka bermain. Berikan mereka peluang untuk memilih.
  • Mendekati mereka dengan aras mata yang sama dengan aras mata sukarelawan.
  • Dengar dengan pendengaran yang aktif serta teliti setiap ekspresi mereka.
  • Validasi emosi mereka dan berikan mereka kepastian bahawa emosi yang dilalui ini adalah normal dan benar.
  • Pastikan keperluan asas mereka seperti makanan dan pakaian mudah untuk didapatkan, pastikan juga ahli keluarga mereka di mana tahap kesihatan dan keselamatan mereka untuk waktu itu terpelihara.
  • Jika mereka tidak cukup keperluan asas, “link” atau bina hubungan dengan pihak NGO, atau jabatan kebajikan untuk mereka mangsa banjir mendapatkan keperluan asas.
  • Berikan mereka kepastian bahawa privasi dan maruah mereka juga dijaga.
  • Elakkan memberi kata kata yang menidakkan perasaan mereka seperti “jangan menangis”.

Kunci utama hasil keberkesanan PFA adalah memastikan mangsa berasa selamat, memastikan mereka masih dalam perhubungan, berasa tenang dan penuh harapan, amat berkesan dalam membantu pemulihan jangka panjang selepas krisis, walaupun apabila disampaikan oleh individu yang bukan dari latarbelakang bidang kesihatan mental atau psikologi.

 

Bagi mereka yang terus menunjukkan gejala tekanan, PFA hendaklah digunakan sebagai alat rujukan kepada pelbagai cara rawatan. Ia mesti jelas bahawa PFA secara universal dirujuk sebagai tindak balas atau tindakan yang perlu diambil apabila menghadapi individu yang pernah mengalami peristiwa trauma. Intervensi ini bukanlah titik akhir, tetapi boleh membawa kepada pelbagai rawatan. Sebagai contoh boleh dirujuk kepada doktor yang bertugas di pusat pemindahan banjir.

 

Ditulis oleh,

Dr Mar’ain binti Ahmad Dani

Pensyarah pelatih di IIUM (Psikiatri)

 

Rujukan:

1.Schonfeld, D. J., & Demaria, T. (2015). Providing psychosocial support to children and families in the aftermath of disasters and crises. Pediatrics, 136(4), e1120–e1130. https://doi.org/10.1542/peds.2015-2861

  1. Statement, P. (2015). Ensuring the health of children in disasters. Pediatrics, 136(5), e1407–e1417. https://doi.org/10.1542/peds.2015-3112

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box