Hari itu hari bertugas atas panggilan (on call) yang agak sibuk. Saya sedang menangani seorang pesakit denggi yang tenat apabila registrar saya mengkhabarkan ada deruan pesakit masuk akibat keracunan (terlebih dos) dadah. Rakan sekerja saya yang bertugas pada hari sebelumnya menyerahkan kes-kes tersebut kepada saya. Katanya, ada juga sebilangan yang dijemput maut.
Menakutkan, bukan? Namun saya tidak akan membincangkan kes tersebut atas sebab kerahsiaan doktor-pesakit. Tetapi, malam itu, semasa saya sedang menghadapi kes-kes tersebut, bermacam-macam fikiran melanda minda saya. Saya tertanya-tanya sama ada belia-belia itu tahu atau tidak apa yang mereka lakukan. Adakah mereka tahu akan bahaya dadah? Adakah sebarang cara untuk tragedi seperti ini dicegah?
Saya pernah lihat penangan dadah dan akibatnya amatlah buruk. Ada yang berhujah bahawa jika diambil dengan bertanggungjawab, anda boleh mabuk dadah dengan selamat. Tetapi persoalan saya – adakah kebanyakan orang mampu mengambil dadah dan minum alkohol dengan waras dan bertanggungjawab?
Sudah tentu, jika anda tanya saya, cara berpesta tanpa mengundang maut ialah, nyata sekali, dengan menjauhi semua bentuk dadah, rokok dan alkohol. Maaflah kerana bersikap bosan, tetapi itulah hakikatnya. Sebagai seorang ibu, saya tidak menggalak atau mengesyorkan penggunaan dadah dan saya percaya menjauhinya ialah pilihan terselamat dan terbaik. Pada saya, anda boleh nikmati semua jenis muzik tanpa perlunya alkohol dan dadah untuk menambah ‘perisa’.
Saya tidak akan membosankan anda dengan senarai bahana dadah dan alkohol yang panjang berjela. Anda boleh baca sendiri di internet. Anda juga mungkin pernah dengar atau dikhabarkan betapa kesan-kesan buruk itu hanyalah sedikit berbanding rasa seronok yang diberi oleh dadah dan alkohol. Mereka mungkin memberitahu anda untuk bereksperimen dan cuba sendiri, “manalah tahu kalau-kalau suka”. Mereka akan kata berparti dengan arak dan Ecstasy akan menawarkan pengalaman yang hebat tak terhingga. Anda hidup sekali, tak salah mencuba, kan?
Apa yang mereka tidak beritahu ialah alkohol dan dadah tidak sentiasa menyeronokkan. Dadah seperti MDMA memberi anda rasa gembira bak di awang-awangan (ia meningkatkan kandungan hormon serotonin, iaitu hormon gembira di dalam otak). Tetapi apabila kesannya luput, anda akan merudum keesokannya sehingga anda sangat murung seolah-olah anda berada di dalam lubuk neraka.
Memandu mabuk bukan sahaja membunuh anda malah orang-orang di sekeliling anda. Atau kereta kesayangan anda boleh jahanam, menghentam pokok. Alkohol dan lain-lain bahan psikoaktif boleh menjejaskan pertimbangan anda dan mengurangkan rasa malu, lantas meningkatkan risiko anda terjebak dalam perilaku seks berisiko (sama ada dengan orang tak dikenali, atau orang yang anda kenal tetapi latarbelakang seksualnya anda tidak tahu).
Tetapi, jika anda masih berkeras untuk mengambil dadah, berikut ialah beberapa cara untuk mengurangkan mudarat yang anda boleh guna untuk memastikan anda kekal bernyawa dan pulang ke rumah dengan selamat:
- Jangan campur-campurkan dadah (khususnya bahan-bahan jenis amphetamine) dengan alkohol.
- Jika anda memutuskan untuk bereksperimen dengan dadah – tolong kaji lebih mendalam – bagaimana tindakannya, kesan terhadap kesihatan, kebarangkalian untuk ketagih/lebih dos dan bagaimana untuk kekal selamat semasa mengambilnya. Laman web seperti http://www.drugaware.com.au atau www.drugfoundation.co.nz mempunyai maklumat yang mudah difahami dan mudah dicapai mengenai pelbagai jenis dadah.
- Jika anda memutuskan untuk minum alkohol – minum dengan bijak. Jangan lakukannya seorang diri atau dengan orang asing. Keluarlah berkumpulan bersama orang yang anda suka dan percaya. Sentiasa ada seorang yang anda percaya berdampingan. Dia seharusnya tahu had anda dan mesti berupaya menjaga anda. Waspadalah berapa banyak alkohol yang anda telan dan berhentilah apabila anda mula terasa mabuk.
- Sentiasalah ada perancangan tambahan. Jika anda merancang untuk mengguna alkohol atau dadah – tolong jangan memandu! Cari seseorang yang waras untuk pandu anda ke rumah atau menemani anda di dalam teksi untuk pulang. Satu alternatif lain – panggillah seseorang untuk menjemput anda. Menumpang teksi seorang diri dalam keadaan mabuk adalah TIDAK SELAMAT.
- Keselamatan haruslah selalu diutamakan – sentiasa beritahu penjaga anda ke mana tujuan anda dan dengan siapa anda bersama. Jika anda tidak boleh memberitahu penjaga anda anda di mana dan dengan siapa – itulah tanda pertama yang menunjukkan apa yang anda lakukan itu tidak selamat. Kenapa pula ia penting? Anda tidak akan tahu apa yang bakal berlaku kepada anda pada bila-bila masa. Dengan memaklumkan kepada penjaga anda – anda ada orang yang boleh menjamin anda jika anda dilanda masalah – contohnya mabuk teruk, sesat jalan, dirompak, terlibat dalam pergaduhan, ditahan polis dsb.
- Jangan mengambil dadah, makanan atau minuman daripada orang asing terutamanya jika anda tidak tahu apakah SEBENARNYA kandungan bahan itu. Jangan biarkan minuman anda tidak diawasi. Waspada dengan keadaan sekeliling. Perhatikan bagaimana kelakuan dan tindakan orang lain yang mengambil dadah atau minuman tersebut.
- Ingatlah had anda. Sesetengah orang mempunyai takat ambang yang lebih tinggi kepada dadah-dadah tertentu justeru, dadah yang sama dos mungkin boleh mengakibatkan ‘high’ yang selamat untuk orang A tetapi membawa maut kepada orang B. Maka, ada orang boleh kata dia boleh ‘hadap 6 biji pil sekali jalan’ – tetapi anda boleh ‘tersawan babi’ dengan hanya dua pil sahaja. Jika anda sudah lama tidak mengambil dadah, tahap toleransi anda pastinya menurun.
- Sesetengah dadah boleh tercemar atau bercampur dengan bahan perangsang lain. Contohnya MDMA atau pil ecstasy boleh tercampur dengan LSD, efedrin, ketamin (pelali kuda) atau toksin lain termasuklah racun tikus, serbuk kaca mahupun racun serangga. Carilah kit ujian ketulenan dadah supaya anda boleh menguji ketulenan bahan tersebut – dadah tercemar boleh mengandungi racun yang membunuh penggunanya.
- membawa atau menyimpan dadah ialah haram di sisi undang-undang. Jika ditangkap polis, anda boleh ditahan, dibuang sekolah atau kolej, kehilangan lesen memandu atau dibelasah oleh ibu bapa anda.
- Kekal terhidrat. Jangan minum alkohol atau minuman ringan (biasanya mengandungi kafein). Minumlah air masak. Pastikan ada sebotol air bersama anda sepanjang masa.
- Sentiasa juga mengawasi orang lain di sekeliling anda. Jika anda ternampak sesiapa – kawan ataupun orang asing – yang tampak kurang sihat, mintalah bantuan secepat mungkin. Jika anda nampak sesiapa diserang sawan atau tumbang di lantai tari, bantulah dia. Jika anda tahu caranya, anda boleh beri bantuan kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans.
Walau bagaimanapun, jika anda tidak tahu cara memberi bantuan kecemasan dan sokongan nyawa yang asas, anda boleh belajar. Ia suatu kemahiran yang berharga dan mampu menyelamatkan nyawa anda atau orang tersayang. Anda boleh baca dengan lanjut tentang bantuan cemas dan sokongan nyawa asas di sini https://www.mmgazette.com/first-aid-basic-life-support-dr-khoo-yoong-khean/
Maaf jika bunyinya macam berkhutbah tetapi saya rasa saya perlu berkongsi semua isi hati saya ini. Memasukkan tiub pernafasan ke dalam seorang yang muda remaja, yang sedang berbuih-buih mulutnya dilanda sawan sangatlah tidak menyeronokkan. Cubalah beritahu ibu bapa seorang gadis bahawa jantung anak dara mereka telah berhenti akibat terlebih dos dan gadis itu tidak bertindak balas kepada usaha resusitasi jantung. Tiada doktor yang suka berada dalam situasi itu.
Saya cuma berharap dengan penulisan ini, mungkin beberapa belia akan membacanya dan belajar untuk mengambil langkah persediaan. Mungkin selepas ini kita boleh mengelak kematian tragis akibat dadah, yang hakikatnya boleh dielakkan.
Jadi, silalah berparti tetapi sentiasa berparti dengan selamat. Agar kami tak perlu jumpa anda di wad kecemasan, sakit ataupun bertarung nyawa.
Baca lagi tentang Keselamatan Diutamakan: Suatu Pendekatan Berasaskan Realiti
http://www.drugpolicy.org/sites/default/files/Safety_First_2012_Final.pdf
Dr. Nur Hidayati sedang belajar untuk menjadi pakar kesihatan dalaman dan seorang kolumnis tetap untuk Malaysian Medical Gazette. Artikel ini diterjemah oleh Azizul Ismie daripada artikel asal https://www.mmgazette.com/how-to-party-without-dying-dr-nur-hidayati/
Artikel ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malaysian Medical Gazette.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]