“Bila Patah Saya ni Nak Bercantum ni, Doktor?” – Dr Ahmad Mahyuddin

Sumber: www.telegraph.co.uk

Sumber: www.telegraph.co.uk

“Bila tulang saya nak baik ni, doktor?”

“Kenapa dah berbulan-bulan tak baik lagi patah saya ni, doktor?”

“Kalau saya ambil supplement kalsium lagi cepat tak tulang saya bercantum, doktor?”

“Kalau masuk besi tulang saya lagi cepat bercantum ke, doktor?”

Ini adalah antara puluhan soalan yang kerap ditanya oleh pesakit kepada kami. Memang tidak menghairankan sebab setiap orang mahu kecederaan mereka cepat sembuh. Hakikatnya, setiap tisu di dalam badan kita mempunyai tempoh masa yang spesifik untuk sembuh. Kulit, otot, ligamen, tendon dan tulang sembuh mengikut proses yang hampir serupa terapi tidak sama.

Tempoh penyembuhan bergantung kepada pelbagai faktor. Bagi komuniti perubatan, ia melibatkan puluhan faktor serta proses patofisiologi yang kompleks. Namun, bagi tujuan perbincangan di sini saya hanya ingin membincangkan beberapa faktor secara umum yang sesuai bagi masyarakat awam.

Faktor-faktor ini ada yang boleh dikawal dan ada juga yang berada di luar kawalan kita sebagai pesakit dan juga sebagai pengamal perubatan. Jom kita lihat perkara ini dengan lebih lanjut lagi.

Faktor Luar Kawal

  1. Umur
  2. Lokasi kepatahan
  3. Jenis kepatahan
  4. Masalah kesihatan

Faktor Yang Boleh Dikawal

  1. Nutrisi
  2. Rokok
  3. Kepatuhan kepada rawatan 

Faktor Luar Kawal

Umur

Proses penyembuhan amat bergantung kepada umur pesakit. Lebih muda seseorang, lebih cepat kepatahannya akan sembuh. Kepatahan budak berusia 2 tahun adalah 2 kali ganda lebih cepat berbanding pesakit dewasa berusia 20 tahun.

Kepatahan pada kanak-kanak juga dikatakan lebih ‘forgiving’ dimana hujung tulang yang patah tidak perlu diletakkan secara 100 peratus sempurna bagi mencapai penyembuhan ke tahap asal. Ia berupaya melalui proses yang dipanggil ‘remodelling’ di mana kepatahan yang bercantum bengkok pada peringkat awal akan kembali menjadi normal selepas tempoh tertentu hasil daripada proses Remodelling ini. Malah, kepatahan yang berselisih dan menyebabkan kaki mengalami 2-3cm kependekkan sekali pun masih boleh kembali menjadi normal bagi kanak-kanak di bawah usia 6 tahun. Betapa hebatnya ciptaan Tuhan!

Jenis dan Lokasi kepatahan

Kepatahan tulang boleh melibatkan tulang tangan (upper limb), tulang kaki (lower limb), tulang belakang (spine), tulang pinggul (pelvis), tulang selangka (clavicle dan scapula), tulang rusuk (ribs dan sternum) dan tengkorak (skull).

Tulang-tulang ini mempunyai tempoh masa penyembuhan yang berbeza bergantung kepada lokasi kepatahan dan jenis kepatahan yang berlaku. Contohnya, tulang tangan orang dewasa yang bersifat berputar dan beserpihan (spiral, comminuted fracture) akan mengambil masa 6-8 minggu bagi tulang baru (callus) mula timbul dan 12 minggu (3 bulan) bagi betul-betul sembuh. Jika kepatahan bersifat kepatahan melintang sahaja tanpa serpihan (simple transverse fracture), ia boleh mengambil masa sehingga 8 minggu. Itu sebabnya, simen (Plater of Paris – POP) dipasang selama 6 minggu bagi kepatahan tangan orang dewasa dan 3 minggu bagi kanak-kanak.

Bagi kepatahan yang melibatkan kaki, secara puratanya ia akan mengambil masa lebih 4-6 minggu lebih berbanding kepatahan tangan untuk sembuh.

Bekalan darah kepada tulang juga memainkan peranan yang amat penting bagi proses penyembuhan. Ia berperanan membawa segala zat dan sel-sel penyembuhan ke tempat ketahan berlaku bagi proses penyembuhan mengambil tempat. Oleh itu, kepatahan tulang betis (tibia) lebih berisiko untuk tidak bercantum kerana kekurangan bekalan darah yang membekalinya berbanding tulang peha (femur).

Masalah Kesihatan Pesakit

Ramai pesakit yang mengalami kepatahan telah mempunyai masalah kesihatan sebelum kemalangan berlaku. Masalah kesihatan yang tidak dikawal boleh mempengaruhi proses penyembuhan tulang. Diabetes Mellitus (Kencing manis) contohnya, jika kadar gula di dalam darah adalah tinggi dan tidak terkawal, ia akan membantutkan proses penyembuhan luka dan tulang pesakit.

Faktor Boleh Kawal

Nutrisi

Nutrisi memainkan peranan yang amat penting bagi proses penyembuhan berlaku. Badan kita memerlukan tenaga, protein, dan zat galian seperti kalsium dan fosfat bagi membolehkan proses ini berjalan lancar. Protein amat penting bagi pembetukan tisu yang baharu serta bagi membolehkan kadar albumin iaitu sejenis protein pengangkutan (transport protein) menjalankan tugasnya iaitu membawa nutrisi serta sel-sel penyembuhan ke tempat yang cedera.

Budaya masyarakat kita yang terlalu suka berpantang memberi kesan yang negatif terhadap proses penyembuhan. Ayam dan telur contohnya, adalah 2 sumber makanan yang amat kaya dengan protein. Saya amat tidak menggalakkan pesakit saya berpantang, melainkan mereka memang mempunyai allergi terhadap sumber makanan tersebut.

Rokok

Rokok mengandungi pelbagai bahan berbahaya kepad badan manusia. Kandungan rokok bukan sahaja boleh merosakkan sel cilia di rongga pernafasan, malah ia juga menyebabkan salur darah pesakit mengecut (constricted). Salur darah yang mengecut ini adalah amat tidak efisyen bagi proses penyembuhan berlaku kerana ia menyebabkan kurang sel-sel penyembuhan (zat makanan, garam galian dan bahah kumuh) yang boleh bergerak melaluinya berbanding salur darah yang normal.

Saya selalu nasihatkan pesakit agar berhenti merokok bagi membolehkan kepatahan mereka dapat bercantum dengan cepat. Jika mereka berhenti terus daripada merokok adalah lebih baik untuk kesihatan diri mereka bagi jangkamasa panjang.

Kepatuhan kepada rawatan

Patuh kepada nasihat doktor dan jururawat adalah amat penting bagi membolehkan kepatahan sembuh dengan sempurna mengikut masanya. Setiap tulang yang patah mempunyai tempoh tertentu dimana tiada beban (load) yang patut dikenakan ke atasnya dan ia sendi tidak boleh digerakkan, dan juga tempoh dimana beban perlu dikenakan dan sendi sudah boleh dibenarkan bergerak. Masa bagi pesakit sudah boleh mula berpijak berbeza antara setiap individu. Jangkamasa ini amat bergantung kepada umur pesakit, jenis dan lokasi kepatahan serta xray yang dilakukan semasa temujanji rawatan susulan.

Jika beban diletakkan terlalu awal, kepatahan akan menjadi bengkok dan berkemungkinan patah kembali. Sebaliknya, jika lambat pula, kepatahan mungkin akan mendapat komplikasi gagal bersambung (non-union).

Simen yang dipasang juga perlu dijaga dengan teliti. Jika terkena air ia akan menjadi lembut dan pecah. Jika terlalu ketat atau longgar, pesakit perlu segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi berlaku.

Kesimpulan

Cepat atau lambatnya kepatahan akan sembuh bergantung kepada banyak faktor. Selain faktor fisiologi tulang yang tidak akan berubah secara asasnya, ia juga bergantung kepada diri setiap pesakit. Pesakit yang sanggup menjaga kesihatan diri, mengikuti setiap nasihat yang diberikan serta berhenti merokok akan mempunyai peluang lebih cerah bagi kepatahan beliau sembuh dengan cepat.

Sebalinya, pesakit yang tidak berdisiplin dalam menjaga nutrisi diri, terlalu berpantang dan merokok akan berisiko mendapat komplikasi tulangnya gagal bercantum (non-union) yang mungkin memerlukannya melalui pembedahan bagi membantu proses penyembuhan berlaku.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

  1. Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller, page 13-14
  2. Postgraduate Orthopaedics, Pau A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009, page 469

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box