BIUS UNTUK PEMBEDAHAN
Baru-baru ini saya menonton drama korea bertema komedi romantis. Kebetulan saya tonton babak hero dan heroin kedua-duanya menjalani pembedahan elektif untuk membuang ketumbuhan dipayudara (ya, lelaki pun boleh dapat barah payudara).
Kagum saya lihat babak pre-op (sebelum bedah), intra-op (semasa bedah) dan post-op (selepas bedah). Ianya dibuat dengan tepat. Baru drama komedi, bukan drama perubatan pun. Tapi tiada satu pun babak yang dibuat secara cincai-bocai.
Siap ada babak di wad sejurus lepas bedah yang menunjukkan jururawat membuat 2-hourly positioning (merubah posisi pesakit setiap 2 jam). Selepas pulih pelakonnya gigih menggunakan incentive spirometry. Pesakit kami ramai yang tak kenal incentive spirometry dan yang memerlukannya pula cukup malas nak gunakan benda yang satu itu.
***
Fakta tentang pembedahan di bawah pembiusan:
PRE-OPERATION (pra-pembedahan)
- Pesakit perlu berpuasa sekurang-kurangnya 6 jam, namun dibenarkan minum air kosong (teh tarik atau milo ais tak termasuk) sehingga 2 jam sebelum pembedahan. Usah tipu doktor bius tentang ini kerana yang terbakar paru-paru akibat termasuk asid perut nanti anda sendiri, bukan doktor. Pesakit perlu berhenti merokok sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan supaya paru-paru boleh berfungsi dengan baik sepanjang pembiusan, lebih-lebih lagi selepas pembedahan. Jika paru-paru bermasalah, nyawa anda boleh terancam.
- Pastikan anda faham tentang pembedahan. Usah turunkan tandatangan tanpa mengetahui prosedur apa yang bakal dilakukan. Sebaiknya bincang tentang pembedahan dengan doktor yang bakal membedah anda, bukan dengan doktor lain.
- Bincangkan tentang cara pembiusan yang terbaik untuk anda dengan doktor bius. Jika doktor bius mencadangkan bius tambahan (epidural atau pembiusan regional), ada baiknya anda ambil demi mengurangkan kesakitan selepas pembedahan. Fahamkan tentang kesan sampingan bius serta risiko yang mungkin terjadi, terutama jika anda ASA* 3 dan ke atas.
- Tanggalkan mekap, pewarna kuku dan perhiasan diri sebelum masuk dewan bedah. Sebaiknya mandi sebelum dibedah kerana anda akan terlantar beberapa hari atas katil selepas dibedah. Bau badan jika tak mandi boleh memeningkan kepala petugas dewan bedah.
- Tanggalkan cermin mata dan gigi palsu namun bawanya ke dewan bedah. Anda mungkin memerlukan cermin mata untuk pengesahan consent. Beritahu jika ada gigi yang longgar ataupun crown/bridge gigi yang pernah dibuat. Tercabut gigi mahal nanti kami tak tanggung.
INTRA-OPERATION (sewaktu pembedahan)
- Petugas dewan bedah akan memastikan kebenaran (consent) bedah, jadi jangan marah jika soalan sama ditanya beberapa kali (sekurang-kurangnya 3 kali). Nanti salah pesakit atau salah potong pula.
- Tenangkan diri sejurus sebelum dibius. Bacalah doa atau bermeditasi. Selain itu bertawakkallah kepada Tuhan. Pada yang atheis, pandai-pandai anda sendirilah.
- Berbaiklah dengan doktor bius kerana kami yang akan memastikan anda selamat dan tak sakit sewaktu tubuh dikerat-kerat dan darah melimpah-limpah dibedah.
POST-OPERATION (selepas pembedahan)
- Doktor bius akan menyeru nama anda kembali ke alam nyata setelah pembedahan tamat. Buka mata dan bertenang. Usah panik jika ada tiub besar di dalam mulut. Buka mulut dan batuk jika ada kahak supaya ianya boleh disedut keluar.
- Anda akan diselia di recovery bay (unit pemulihan) untuk suatu tempoh masa sehingga stabil. Pintalah ubat tahan sakit jika masih berasa sakit. Kemungkinan berasa pening dan muntah adalah perkara biasa sehinggalah beberapa jam selepas dibius.
- Sejurus sampai ke wad, jururawat akan menyelia tanda vital dan memberitahu tentang ubat tahan sakit.
- Untuk pembedahan yang melibatkan abdomen, dada atau pembedahan yang mengambil masa lama, anda akan disuruh menggunakan incentive spirometry (IS). IS ialah alat yang membantu mengembang dan menguatkan paru-paru selepas menjalani pembedahan. Paru-paru yang tak kembang dan berkahak akan menyebabkan jangkitan kuman lalu pesakit akan lambat pulih.
- Kerapkali stokin ketat dan ubat pencair darah seperti heparin akan diberikan kepada sesetengah jenis pesakit untuk mencegah darah beku. Darah beku dalam badan boleh menyebabkan maut jika termasuk jantung atau paru-paru. Doktor akan menggalakkan pesakit supaya bergerak secepat mungkin bagi memulihkan pengudaraan paru-paru dan pengaliran darah. Usah diikutkan rasa malas atau takutkan kesakitan. Ubat tahan sakit yang diberi bukan untuk anda selesa berbaring tetapi supaya lekas bergerak. Lebih cepat anda bergerak, lebih cepat pemulihan terjadi.
***
Biarkan luka bedah pulih dengan sendiri. Usah ambil pati haruan, pati gamat dan sebagainya. Anda manusia, bukan haruan atau gamat. Jadi memanglah pemulihan akan mengambil masa. Penggunaan suplemen tersebut hanya menyebabkan luka dalaman pulih secara huru-hara dan melekat-lekat dengan organ lain.
Dr Hana Hadzrami
Membius dengan kasih sayang dan amanah.
*ASA classification https://www.asahq.org/resources/clinical-information/asa-physical-status-classification-system
https://www.facebook.com/HanaHadzrami/posts/10210788509053166
Artikel ini telah diterbitkan semula dengan izin Dr Hana Hadzrami, seorang pakar bius yang juga ahli Medical Mythbusters Malaysia.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]