Hamil dan mampu berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadhan merupakan salah satu gol sesetengah ibu.
Malahan, bulan penuh rahmat ini mahu dipenuhi dengan amalan yang tidak berhenti. Ada yang merasakan sedikit renyah apabila perlu menggantikan puasa jika tidak mampu berpuasa sewaktu hamil.
Ada juga bimbangkan keadaan dimana bayi tidak dapat nutrisi secukupnya dan menyebabkan terganggu pembesarannya kerana berpuasa.
Walau bagaimanapun, menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,
“Selepas meneliti dalil, kami lebih cenderung kepada pendapat mazhab Syafie dan Hanbali yang menyatakan hendaklah qadha sahaja jika kedua-duanya bimbang terhadap diri sendiri sahaja. Sebaliknya jika juga dibimbangi terhadap anak dan dirinya maka hendaklah diqadha dan membayar fidyah.”
http://www.muftiwp.gov.my/…/irsya…/irsyad-fatwa-umum/1969-31
Ada beberapa keadaan dimana ibu hamil dilarang untuk berpuasa iaitu:
- Tiga bulan pertama kehamilan (first trimester) jika mengalami simptom alahan, muntah dan hyperem melampau.
- Ibu yang demam, tidak sihat atau muntah-muntah sewaktu awal kehamilan atau sepanjang kehamilan selepas dinilai oleh pakar perubatan.
- Ibu yang mempunyai risiko tinggi pre-eclampsia, atau penyakit autoimmune, atau penyakit jantung juga selepas dinilai oleh pakar perubatan.
- Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis (type 1 diabetes, type 2 diabetes, atau GDM yang memerlukan rawatan metformin/ insulin)
- Tetapi, jika insulin diambil kurang dari 30unit, ibu masih boleh berpuasa selepas dinilai oleh doktor.
- Ibu dengan GDM on Diet control masih boleh berpuasa seperti biasa TETAPI jangan mengambil makanan melebihi keperluan badan. Elak ambil makanan tinggi gula.
- Ibu yang janinnya mempunyai masalah pembesaran melalui penilaian doktor.
- Berpuasa pada musim panas dengan waktu siang yang lebih panjang di terutama dinegara barat atau dalam keadaan dimana boleh menyebabkan ibu mengalami dehidrasi.
Tetapi, jika ibu-ibu hamil dan sihat mahu berpuasa, anda perlu mendapat nutrisi yang secukupnya.
- Waktu saya hamil dahulu, saya amalkan mengisar kurma bersama susu sebagai menu utama bersahur untuk menambahkan tenaga dan memastikan saya kenyang sepanjang hari.
- Ambil makanan seimbang, bukan di dalam tin ataupun yang tinggi kandungan garam. Ambil sumber karbohidrat dan protein secukupnya untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Ibu hamil yang bekerja perlu memastikan keperluan nutrisi dipenuhi agar tidak mudah merasa letih.
- Elakkan juga mengambil makanan tinggi gula bagi mengelakkan kandungan gula dalam darah menjadi tinggi. Gula tinggi dalam darah akan menyebabkan anda mudah mengantuk.
- Minum air kosong, elakkan kafein.
- Minum air kosong sewaktu bersahur dan minum air kosong setiap selang 1 jam selepas berbuka puasa.
- Minuman berkafein akan menyebabkan anda kerap ke tandas dan menyebabkan anda kekurangan air di dalam badan.
Anda perlu BERBUKA PUASA apabila:
- Anda merasa pening dan haus yang ketara.
- Merasa seperti ingin pengsan.
- Berat badan tidak bertambah mengikut usia kehamilan.
- Air kencing anda seperti teh pekat dan berbau kurang enak.
- Loya dan muntah
Jika anda ragu-ragu dengan kemampuan anda untuk berpuasa sewaktu hamil, dapatkan nasihat doktor kerana kesihatan kedua-dua ibu dan anak amat penting.
Jika anda mempunyai masalah sewaktu hamil, jangan paksa diri anda berpuasa semata-mata mahu kejar berpuasa penuh sepanjang bulan.
Jangan sesekali merasa rugi terpaksa berbuka puasa kerana keadaan anda dan kandungan anda, anda perlu memastikan diri anda dan kandungan anda sihat sehinggalah waktu melahirkan.
Jangan skip dari bersahur. Bersahur seadanya dan jangan berlebih-lebihan.
Jangan lupa ambil vitamin yang dibekalkan oleh Klinik Kesihatan.
Jumpa doktor dan dapatkan nasihat doktor bagi menilai kesesuaian anda untuk berpuasa sewaktu hamil.
Bel Nawhen
Jururawat Dewan Bedah
Rujukan:
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]