Gout merupakan sejenis keradangan sendi yang disebabkan oleh asid urik yang berlebihan di dalam badan atau apabila asid urik yang tidak disingkirkan dengan berkesan daripada badan. Keadaan ini seterusnya mengakibatkan pembentukan kristal, terutamanya pada bahagian sendi seperti pada jari tangan atau kaki, buku lali, lutut, pergelangan tangan dan siku.
Pengumpulan asid urik ini kemudiannya menyebabkan penghasilan bonjolan kecil pada kulit yang dipanggil tophi. Situasi ini membuatkan pesakit berasa sangat sakit dan tidak selesa atau berasa seperti terdapat pasir di dalam sendi ketika anggota badan tersebut digerakkan.
Faktor risiko dan gejala bagi gout
Gout boleh menyerang sesiapa sahaja. Namun begitu, golongan lelaki lebih berisiko tinggi mendapat serangan gout berbanding wanita. Hal ini disebabkan oleh hormon estrogen, iaitu hormon utama golongan wanita yang menyebabkan asid urik dikumuhkan secara semula jadi melalui air kencing. Walau bagaimanapun, risiko untuk golongan wanita menghidap gout akan meningkat apabila mereka mengalami menopaus. Selain itu, faktor persekitaran seperti pengambilan alkohol dan diet yang tinggi purin secara berlebihan serta masalah obesiti boleh dikaitkan dengan penyakit gout.
Memahami tanda dan gejala penyakit gout adalah penting supaya pesakit boleh mendapatkan rawatan dengan segera. Antara gejala yang perlu diberi perhatian oleh pesakit termasuklah bengkak, berasa panas dan kemerah-merahan pada bahagian sendi, sendi berasa sakit apabila disentuh serta pergerakan yang terhad pada sendi yang terlibat. Penyakit gout yang tidak terkawal boleh menyebabkan serangan gout mendadak (serangan akut), pembentukan tophi yang berpanjangan dan batu karang. Malah, dalam sesetengah kes yang lebih serius, gout boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.
Ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan gout
Secara umumnya, matlamat utama rawatan gout adalah untuk mengurangkan tahap keradangan dan kesakitan dengan penggunaan ubat-ubatan serta menurunkan paras asid urik di dalam badan agar tiada lagi serangan sendi berlaku. Beberapa jenis ubat-ubatan lazimnya akan diberikan kepada pesakit bagi mencapai dua tujuan ini. Pemilihan ubat-ubatan dilakukan berdasarkan keadaan kesihatan semasa pesakit dan tahap keseriusan gout yang dialami. Antara ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan gout termasuklah:
Nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs)
Ubat dalam kumpulan NSAID seperti diclofenac, ibuprofen dan celecoxib berfungsi untuk menghalang proses semula jadi di dalam badan yang menyebabkan bengkak dan gejala keradangan akibat gout. Ubat NSAID berisiko mengakibatkan kesan sampingan ketidakselesaan perut. Oleh sebab itu, pesakit dinasihatkan agar mengambil ubat ini selepas atau bersama-sama makanan untuk mengelakkan kesan sampingan tersebut.
Selain itu, pengambilan ubat NSAID pada dos tinggi dan secara berpanjangan tanpa kawalan boleh memberi kesan kepada permukaan dalam perut dan usus, menyebabkan pendarahan di dalam perut serta meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang dan hati. Pesakit yang mengalami ulser perut tidak seharusnya mengambil ubat NSAID tanpa nasihat daripada doktor atau ahli farmasi.
Colchicine
Colchicine merupakan alternatif yang diberikan kepada individu yang tidak boleh mengambil ubat dalam kumpulan NSAID. Seperti NSAID, colchicine juga dapat membantu untuk mengelakkan bengkak dan gejala keradangan. Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku selepas pengambilan colchicine termasuklah loya, muntah dan cirit-birit. Pesakit warga emas lazimnya mempunyai kadar toleransi yang rendah terhadap ubat colchicine. Pesakit dinasihatkan supaya memaklumkan doktor atau ahli farmasi sekiranya mengalami kesan sampingan secara berterusan hingga menyebabkan ketidakselesaan.
Kortikosteroid
Ubat kortikosteroid seperti prednisolone pula akan dipertimbangkan untuk individu yang tidak sesuai mengambil ubat NSAID dan colchicine ketika serangan gout berlaku. Walau bagaimanapun, rawatan menggunakan kortikosteroid hanya untuk jangka masa pendek sahaja.
Allopurinol
Ubat allopurinol diberikan kepada pesakit untuk membantu mengekalkan paras asid urik di dalam darah berada pada paras normal. Ubat allopurinol bertindak dengan mengurangkan penghasilan asid urik. Allopurinol hanya boleh dimulakan setelah gejala bengkak dan sakit sendi akibat serangan gout akut pulih. Ubat allopurinol perlu diambil secara berterusan seperti diarahkan oleh doktor untuk mengelakkan paras asid urik daripada meningkat dan sekali gus mengurangkan risiko serangan gout berlaku.
Ubat-ubatan lain
Antara ubat lain yang diberikan kepada pesakit ialah febuxostat dan probenicid. Febuxostat merupakan ubat alternatif sekiranya pesakit mempunyai alahan kepada ubat allopurinol. Probenecid pula membantu dalam proses penyingkiran asid urik melalui air kencing.
Nasihat untuk pesakit dan orang awam
Pesakit dinasihatkan agar merujuk doktor bagi mendapatkan rawatan gout secara menyeluruh. Penggunaan ubat tahan sakit hanya bertujuan untuk melegakan gejala serangan gout. Malahan, pengambilan ubat tahan sakit yang tidak terkawal secara berpanjangan boleh mengakibatkan keradangan perut, pendarahan di dalam perut dan usus serta meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang. Oleh sebab itu, pesakit terutamanya golongan warga emas hendaklah mengelakkan pengambilan ubat tahan sakit tanpa kawalan secara berlebihan.
Pesakit gout atau individu yang berisiko mengalami gout digalakkan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan serangan akut gout berlaku. Antara perkara penting yang sewajarnya diambil perhatian termasuklah:
- mengamalkan pemakanan yang sihat dengan mengelakkan makanan yang tinggi kandungan purin seperti daging merah, ikan bilis, kacang, kubis, makanan laut tertentu dan minuman beralkohol,
- mengawal berat badan dan mengamalkan gaya hidup aktif dengan senaman secara berkala,
- minum air dalam kuantiti yang secukupnya untuk membantu mengurangkan pembentukan kristal asid urik di dalam badan,
- mematuhi arahan pengambilan ubat-ubatan secara teratur seperti yang diarahkan,
- menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memantau tahap asid urik di dalam badan.
Doktor mungkin akan mencadangkan pengambilan ubat-ubatan jika perubahan kepada gaya hidup tidak mencukupi untuk menghentikan episod gout daripada berlaku. Gabungan kedua-dua strategi ini dapat membantu mencegah pengumpulan asid urik yang membawa kepada serangan gout.
Walaupun terdapat ubat-ubatan atau produk suplemen kesihatan yang boleh membantu untuk mengurangkan gejala gout, namun pesakit tidak disyorkan untuk merawat gout dengan sendiri. Pesakit hendaklah lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan produk yang dijual melalui Internet. Penilaian keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh oleh doktor adalah penting bagi menentukan pelan rawatan yang sesuai berdasarkan keperluan individu.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh:
Mohd Shahiri bin Abd Ghapar
Ketua Penolong Pengarah Kanan UF52
Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti
Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi
Rujukan:
- http://myhealth.moh.gov.my/gout-3/
- http://www.myhealth.gov.my/en/gout-5/
- http://myhealth.moh.gov.my/ubat-ubatan-dalam-rawatan-gout/
- https://moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/CPG/Rheumatology/e-CPG_Management_of_Gout_(Second_Edition).pdf
- https://pharmacy.moh.gov.my/ms/berita/22-apr-2016/gout-tak-boleh-dirawat-sendiri.html
- https://www.nst.com.my/lifestyle/heal/2023/01/873897/health-stand-guard-against-gout