Bolehkah Rabun Diubati? – Diana Mohamed (Optometris)

Sumber: yerkes.emory.edu

Dewasa ini, berlaku lambakan testimoni produk kesihatan mata di pasaran yang mendakwa berkesan dan hebat dalam menangani masalah rabun. Pelbagai bentuk suplemen berbentuk tablet dan tidak kurang juga yang berbentuk semburan atau titisan cecair dipercayai dapat menghilangkan masalah rabun. Adakah produk-produk ini benar-benar berkesan? Untuk benar-benar mengetahui sama ada suplemen in berkesan atau tidak, terlebih dahulu kita perlu memahami tentang rabun itu sendiri.

Mata yang berpenglihatan normal (emmetropia) membolehkan stimulus cahaya memasuki mata melalui kornea jernih yang sekata kelengkungannya (sferikal). Cahaya tersebut memasuki anak mata (pupil) yang kemudiannya melalui kanta kristalin yang boleh berubah ketebalan untuk menukar fokus seperti zoom kamera (proses akomodasi). Proses akomodasi akan membawa cahaya tersebut menumpu ke  fovea (bintik peka). Stimulus cahaya tersebut akan diterima oleh neuron mata (fotoreseptor) dan keluar menuju ke otak melalui saraf optik (optic nerve) yang akhirnya diproses di bahagian otak (cortical). Di bahagian ini stimulus cahaya tadi ditafsirkan sebagai imej objek yang dilihat.

 

JENIS-JENIS RABUN

Rabun atau kesalahan refraktif (refractive error) berlaku apabila cahaya yang masuk ke dalam mata tidak dapat difokus secara tepat di fovea. Apabila cahaya ini tidak terfokus dengan tepat, maka imej atau apa yang kita dapat lihat menjadi kabur. Terdapat 3 jenis rabun, iaitu miopia (rabun jauh), hiperopia (rabun dekat) dan astigmatism (rabun silau). Setiap rabun ini dinamakan mengikut kedudukan cahaya yang terfokus di dalam mata.

  1. RABUN JAUH (MYOPIA)

Rabun jauh terhasil apabila titik fokus cahaya terletak di hadapan retina. Rabun ini boleh berlaku apabila seseorang mempunyai bola mata yang panjang atau faktor kuasa refraktif kornea dan kanta kristalin yang tinggi. Ia menyebabkan masalah kekaburan pada jarak jauh.

  1. RABUN DEKAT (HIPEROPIA)

Rabun dekat terhasil apabila titik fokus cahaya berada di belakang retina. Rabun mata ini boleh berlaku apabila mempunyai bola mata yang pendek faktor kuasa refraktif kornea dan kanta kristalin yang rendah. Rabun ini akan menyebabkan penglihatan seseorang menjadi kabur pada jarak dekat. Apabila seseorang mencapai umur melebihi 40 tahun pula, biasanya kanta kristalin akan menjadi kenyal dan proses akomodasi menjadi kurang sempurna. Ini akan menyebabkan seseorang itu akan mula mengadu sukar melihat jarak dekat dan masalah rabun ini dipanggil presbyopia (rabun tua).

  1. RABUN SILAU (ASTIGMATISM)

Rabun silau pula berlaku apabila permukaan kornea iaitu lapisan lutsinar di hadapan mata mempunyai dua permukaan kelengkungan berbeza yang akan menghasilkan dua titik fokus yang berbeza. Ini akan menghasilkan pandangan seperti berbayang. Adakalanya pesakit mengadu penglihatan berganda pada satu mata (monokular diplopia).

 

 

APAKAH PUNCA RABUN?

Faktor genetik merupakan salah satu faktor penyebab rabun. Ini bermakna rabun boleh diwarisi sekiranya ibu bapa mempunyai rabun. Menurut Young (2007), kemungkinan anak untuk mengalami rabun jauh sekinya ibu bapa tidak mempunyai rabun adalah 7.6%. Kebarangkalian ini meningkat kepada 26.2% jika salah seorang ibu bapa mengalami masalah rabun jauh manakala sebanyak 45% sekiranya kedua-dua ibu bapa mengalami masalah rabun jauh.

Rabun juga boleh berlaku akibat faktor persekitaran. Kajian mendapati pendedahan awal serta tempoh kerja dekat yang lama boleh menyumbang kepada faktor rabun terhadap kanak-kanak. Selain itu, terdapat kajian mendapati kadar pemanjangan bola mata di kalangan kanak-kanak yang kurang melakukan aktiviti luar rumah dan kurang pendedahan terhadap matahari adalah lebih cepat berbanding kanak-kanak yang aktif melakukan aktiviti di luar rumah (Read et al., 2015). Oleh itu, kerap melakukan aktiviti luar untuk mendapatkan pendedahan cahaya matahari yang mencukupi bagi mengelakkan masalah kerabunan.

 

SIMPTOM MASALAH RABUN

  • Kekaburan penglihatan
  • Pandangan berganda
  • Silau atau terlihat gegelang cahaya pada lampu
  • Gemar mengecilkan mata (squeezing)
  • Sakit kepala
  • Ketegangan pada mata
  • Mata berair

 

TANDA-TANDA MASALAH RABUN

  • Menonton televisyen pada jarak yang dekat
  • Hilang daya tumpuan di kelas
  • Meniru kawan untuk menyalin papan hitam di sekolah
  • Prestasi pelajaran merosot
  • Membaca buku pada jarak dekat

 

BAGAIMANA RABUN DIKESAN DAN DIATASI?

Carta simbol kanak-kanak

Tugas mengesan rabun merupakan peranan utama seorang optometrist. Rabun dikesan melalui prosedur refraksi. Pengukuran tahap rabun akan dimulakan dengan ujian tahap penglihatan dengan memohon pesakit untuk membaca carta Snellen. Terdapat pelbagai versi carta yang terdiri daripada huruf, nombor atau pun bentuk E bagi pesakit yang buta huruf. Bagi bayi, tahap penglihatan boleh diukur dengan carta yang menggunakan teknik preferential looking (contoh: Cardiff Acuity Chart). Kanak-kanak yang belum menguasai huruf juga boleh diuji dengan ujian teknik matching (contoh: Kay Picture Visual Acuity Test) yang memaparkan aneka saiz bentuk gambar.

Kuasa rabun dinilai melalui proses retinoskopi dengan menggunakan alat retinoskop diiringi dengan penilaian refraksi subjektif. Bagi kanak-kanak yang berumur di bawah umur 8 tahun, refraksi sikloplegik yang menggunakan ubat titis cyclopentolate 1% akan dilaksanakan. Ubat ini merehatkan akomodasi kanak-kanak bagi membolehkan optometris mengesan ralat refraktif yang sebenar. Selepas prosedur refraksi sikloplegik, anak mata anak anda akan kelihatan membesar buat sementara waktu. Anak anda akan mengadu masalah silau dan kekaburan pada jarak dekat sekitar 6 jam. Walaubagaimanapun, penglihatan anak akan beransur kembali ke asal selepas tempoh tersebut.

 

KAEDAH PEMBETULAN MASALAH RABUN

Masalah rabun boleh dibetulkan melalui pemakaian cermin mata, kanta sentuh atau pembedahan refraktif.

  1. Cermin mata

Kaedah paling mudah untuk membawa titik cahaya kembali terfokus pada fovea untuk penglihatan yang jelas. Permulaan mungkin sukar bagi kanak-kanak untuk beradaptasi atau menjaga cermin mata. Tapi alah bisa tegal biasa, biasanya selepas 2 minggu kanak-kanak akan terbiasa menggunakannya. Ibu bapa perlu memberikan motivasi untuk mereka terus menggunakannya. Jenis kanta yang digunakan bergantung kepada jenis rabun:

  1. Kanta cekung (kanta kuasa negatif) untuk myopia
  2. Kanta cembung (kanta kuasa positif) untuk hyperopia
  3. kanta silinder untuk astigmatisma.
  1. Kanta lekap

Terdapat dua jenis kanta lekap di pasaran iaitu jenis separa keras (gas permeable lens (RGP) dan jenis lembut. Kanta lekap ini diletakkan di atas permukaan kornea bagi membetulkan rabun si pemakai.

Kuasa kanta lekap ini perlu dipreskripsikan oleh optometrist setelah melalui ujian saringan mata menggunakan slitlamp. Ujian ini perlu dilalui bagi memastikan tahap kesesuaian mata anda untuk menggunakan kanta lekap. Pemakai kanta lekap pakai buang perlu mengikut saranan tempoh gantian kanta lekap yang telah ditetapkan. Pemakai seharusnya mematuhi kaedah penjagaan serta tempoh pemakaian yang disarankan oleh optometrist. Pemakaian kanta lekap yang melebihi waktu yang dibenarkan boleh memudaratkan mata si pemakai dan meningkatkan risiko ulser kornea.

Orthokeratologi merupakan penggunaan kanta lekap jenis separa keras yang telah direka khas bagi membentuk semula permukaan hadapan kornea untuk tujuan membetulkan tahap rabun.  Kanta ini dipakai semasa tidur pada waktu malam dan dibuka pada keesokkan harinya. Kaedah ini perlu dipantau oleh optometris yang terlatih bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan menggunakan kanta tersebut.

  1. Pembedahan refraktif

Bagi pembedahan refraktif seperti LASIK ianya melibatkan pembentukan semula permukaan kornea bagi membolehkan cahaya difokuskan ke fovea dan menghilangkan rabun yang ada. Pembedahan ini boleh dilakukan setelah menjalani ujian saringan oleh Oftalmologis. Pembedahan ini tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai rabun yang tinggi (melebihi 6 diopter dan ketebalan kornea yang nipis), rabun yang berubah-ubah (tidak stabil) dan berumur 18 tahun ke bawah. Terdapat juga pembedahan melibatkan ‘clear lens extraction’ di mana proses seperti pembuangan katarak dan kanta intaokular dimasukkan ke dalam mata bagi membetulkan rabun.

Naidoo (2016) telah melaporkan seramai 101.2 juta penduduk dunia mengalami masalah penglihatan terhad manakala 6.8 juta pula mengalami kebutaan akibat masalah rabun yang tidak dibetulkan. Fakta ini amat menyedihkan memandangkan rabun merupakan masalah penglihatan yang boleh diatasi dengan mudah. Setelah memahami bagaimana rabun boleh terjadi dan bagaimana rabun boleh di atasi, segera bertemu optometristsekiranya anda mengalami masalah penglihatan. Bertindak bijak dan jangan terpedaya dengan ubat titis ajaib mahupun cermin mata ajaib yang menjanjikan kesan anti-rabun seperti yang digembar-gemburkan di pasaran.

 

Diana Mohamed seorang optometris yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia.

RUJUKAN

Naidoo K.S., Leasher J., Bourne R.R. Global vision impairment and blindness due to uncorrected refractive error, 1990–2010. Optom Vis Sci. 2016;93(3):227–234

Young, T. L. (2007). Complex Trait Genetics of Refractive Error. Archives of Ophthalmology, 125(1), 38. doi:10.1001/archopht.125.1.38

Scott A. ReadMichael J. CollinsStephen J. VincentLight Exposure and Eye Growth in ChildhoodInvestigative Ophthalmology & Visual Science October 2015, Vol.56, 6779-6787. doi:10.1167/iovs.14-15978

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box