Di Sebalik Keputusan Untuk Membunuh Diri #ReachOut – Dr Ruziana Masiran

Source: www.freemalaysiatoday.com

Sumber: www.freemalaysiatoday.com

Prakata dari MMG

Tarikh 10 September telah dipilih sebagai Hari Mencegah Bunuh Diri Sedunia (World Suicide Prevention Day) dengan harapan dapat mengurangkan kejadian tragis ini melalui peningkatan kesedaran orang ramai. ‘Connect, communicate and care’ merupakan tema WSPD 2016. Menyambungkan individu-individu yang perlukan bantuan kepada saluran formal atau informal (Connect), menyediakan suasana yang sesuai untuk berkomunikasi dua hala antara komuniti dan mereka yang perlukan bantuan (Communicate) serta menzahirkan rasa prihatin di setiap lapisan masyarakat (Care) diharap dapat membantu golongan yang mungkin sebelum ini merasakan mereka tiada harapan. The Malaysian Medical Gazette terpanggil untuk bersama-sama membantu usaha ini dengan kempen #reachout kami, yang akan menerbitkan semula artikel-artikel penting tentang bunuh diri dan isu-isu kesihatan mental. Sertailah kami di Facebook dan Twitter dan bersama kita berusaha meningkatkan kesedaran tentang isu yang amat penting ini.

Bunuh diri adalah punca kematian bagi kira-kira 1 juta orang setiap tahun, dengan anggaran kadar mortaliti global sebanyak 16 orang per 100,000, atau satu kematian dalam setiap 40 saat. Malang sekali, kadar ini dijangka akan meningkat kepada satu kematian dalam setiap 20 saat menjelang tahun 2020. Di Malaysia, National Suicide Registry Malaysia (NSRM)/ Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia merekodkan purata bunuh diri tempatan adalah sebanyak 2 kes sehari pada tahun 2011. Seiring dengan laporan-laporan jenayah yang membanjiri siaran berita dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kes-kes bunuh diri juga sering diberi perhatian oleh media sedunia. Kita difahamkan yang gejala bunuh diri berpunca daripada pelbagai faktor sosiokultural dan sosioekonomik yang kompleks. Namun begitu, gejala bunuh diri juga sebenarnya berkait rapat dengan gangguan mental terutamanya penyakit murung, atau depresi, dan penyalahgunaan bahan.

Bunuh diri bukan sahaja menyebabkan kerugian ketara dari segi sumber produktif manusia, ia turut memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga yang ditinggalkan. Inilah akibat yang paling sukar ditanggung daripada kejadian bunuh diri. Buat pekerja dalam bidang kesihatan dan pengamal kesihatan mental terutamanya, bunuh diri adalah komplikasi utama dalam majoriti gangguan mental. Pakar psikiatri kerapkali diminta berjumpa dengan pesakit yang hadir atas sebab cubaan bunuh diri yang gagal, memudaratkan diri dengan sengaja dan menaruh keinginan untuk membunuh diri bersama gejala depresi dan psikotik. Golongan ini terdiri daripada orang-orang yang berfikir tentang membunuh diri. Sebahagian daripada mereka benar-benar tidak dapat lagi meneruskan kehidupan dan ingin menamatkannya. Bagi mereka yang gagal dalam cubaan membunuh diri, mereka akan ditanyakan mengenai niat mereka dan kesihatan mental mereka akan diperiksa. Selalunya, proses ini akan dilakukan oleh professional kesihatan.

Sayangnya, segelintir pihak mungkin menganggap golongan ini lemah dan lebih malang lagi, ‘gila’. Golongan yang mahu membunuh diri ini diejek, dipulaukan rakan-rakan dan kadang-kala, diberhentikan kerja. Meskipun kedengaran melampau, cubaan mengakhiri nyawa sendiri berlaku setiap hari dan ini adalah realiti yang perlu dihadapi.

Contoh;

Bayangkan seseorang yang dibebani kemurungan selama bertahun-tahun. Kita namakan orang ini ‘Puan B’. Puan B pendamkan kemurungannya, dan meneruskan hidupnya sebagai seorang ibu, pekerja, isteri dan ahli keluarga sambil perlu memapaparkan imej yang sempurna kepada orang-orang sekelilingnya. Ini tentunya bukan tugas yang mudah. Dia hidup dari hari ke hari, memikirkan nasib dirinya di masa hadapan (atau mungkin hanya hari esok?). Namun, dia tidak punya tempat untuk mengadu dan tiada siapa dapat membantunya jadi, hanya Tuhanlah yang menjadi tempat dia mencurahkan perasaan. Sampai satu tahap, Puan B terfikir yang jalan keluar yang paling mudah adalah bunuh diri. Sebagai seorang yang berpelajaran dan berpengetahuan (seperti dalam kebanyakan kes cubaan bunuh diri dewasa ini), percanggahan kognitif (‘cognitive dissonance’) akan berlaku. Antara yang mungkin berlaku bagi Puan B adalah pergelutan dalaman dengan kenyataan yang perbuatan membunuh diri adalah haram dalam kebanyakan, jika bukan semua, agama. Selain itu, faktor lain yang mungkin membuatkan Puan B tidak melaksanakan niatnya adalah wajah anak-anaknya yang menangisi jenazahnya dan pemikiran yang memudaratkan diri merupakan perbuatan yang cuma dilakukan oleh orang-orang yang tidak berfikiran panjang dan tidak dapat memberi penyelesaian yang baik untuk masalahnya. Senario-senario ini akan bermain berulang kali di mindanya, sehingga dia tidak mampu lagi bertahan dan kehabisan punca. Apabila Puan B tewas pada keadaan ini, dia mula melakukan persediaan yang berkaitan dengan idea bunuh dirinya seperti meninggalkan nota atau wasiat.

Bagi individu seperti Puan B, bunuh diri adalah jawapannya. Bagi mereka, itu adalah jawapan yang terbaik bagi menamatkan penderitaan mereka. Apabila penderitaan ini berakhir, tiada siapa lagi yang akan terus terseksa. Oleh itu, bunuh diri adalah suatu pengorbanan. Secara literal dan retorik. Dalam pemikiran kami ahli-ahli pengamal kesihatan, ini adalah terlalu altruistik untuk menjadi kenyataan. Kami katakan yang bunuh diri adalah solusi bagi pengecut. Tetapi, bukan bagi mangsa dan mereka yang terselamat dalam cubaan bunuh diri. Bunuh diri adalah satu penyelesaian buat mereka. Mereka terperangkap dalam penderitaan mental dan emosi selama bertahun-tahun dan nyawa yang mereka mahu ambil hanyalah nyawa mereka sendiri. Bagi mereka, apabila kehidupan ini tidak memberi apa-apa makna buat mereka, maka lebih banyaklah sebab untuk mereka meninggalkan dunia ini daripada terus hidup di dalamnya.

Tidak. Saya bukanlah menyokong perbuatan membunuh diri. Saya cuma mahu kita lihat mangsa dan mereka yang terselamat daripada cubaan bunuh diri dari perspektif yang berbeza. Tanpa stigma. Tanpa prejudis. Tetapi dengan timbang rasa dan belas kasihan. Kita patut memahami yang antara keperluan paling asas berdasarkan hierarki Maslow adalah keperluan dalam bentuk keselamatan dan fisiologi. Oleh itu, kematian bukanlah sesuatu yang mudah untuk didambakan. Malah, melaksanakannya adalah lebih sukar kerana mereka ini melawan naluri asas iaitu untuk hidup dengan selamat. Amat penting untuk kita fahami yang mereka bukanlah benar-benar mahu menamatkan nyawa sendiri; yang mereka mahu tamatkan adalah penderitaan mereka, baik fisikal, mental mahupun emosional.

Kata-kata ini acapkali dipetik – “membunuh diri tidak akan pernah menjadi jawapannya, mendapatkan bantuan adalah jawapannya”. Walaubagaimanapun, apabila seseorang memilih jawapan yang salah, haruslah kita bertimbang rasa dan mempunyai rasa empati terhadap mereka. Jika tidak, tidak layaklah kita digelar sebagai ahli professional yang mengambil berat.

Jika artikel ini menyentuh anda, dan jika anda rasa anda memerlukan bantuan, hadirkanlah diri anda ke hospital berdekatan agar boleh dirujuk kepada kami di unit psikiatri. Secara alternatifnya, doktor umum anda di klinik kesihatan, kerajaan ataupun swasta, juga mungkin dapat membantu. Akhir sekali, jika anda merasa sepi dan kesunyian dan tidak mempunyai sesiapa untuk jadi teman bicara, hubungilah Befrienders.

Dr. Ruziana ialah pensyarah dalam bidang psikiatri dan mengajar di Universiti Putra Malaysia. Beliau ialah ahli dewan eksekutif bagi ‘Early Career Psychiatrist’. Artikel ini diterjemahkan dari artikel asal https://www.mmgazette.com/suicide-a-question-to-many-an-answer-to-some-dr-ruziana/ oleh Dr Maimun.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

screen-shot-2016-09-08-at-9-39-04-am

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box