Cabaran Menjaga Warga Emas – Dr Abdul Rahman Abdul Kadir

Sumber: www.hmetro.com.my

Sumber: www.hmetro.com.my

Dewasa ini, selaras dengan perkembangan teknologi perubatan dan kemajuan negara, jangka hayat rakyat semakin bertambah. Sekitar awal zaman kemerdekaan dahulu purata jangka hayat rakyat adalah sekitar 47 tahun sahaja. Tetapi kini purata jangka hayat rakyat kita adalah sekitar 75 tahun (statistik WHO).

Disebabkan lebih ramai populasi geriatrik (atau terma tempatan kita: warga emas) di kalangan rakyat kita, penjagaan kesihatan kumpulan ini adalah penting dan tidak boleh diabaikan. Mereka mungkin terdiri daripada ibubapa, datuk nenek atau jiran tetangga kita. Usia lanjut bukan alasan pengabaian kesihatan. Betapa banyak kes warga emas yang tiba ke hospital dalam keadaan menyedihkan disebabkan tiada penjagaan dan pengabaian yang serius. Sedangkan mereka adalah kumpulan warga yang pernah satu ketika dahulu menyumbang kepada produktiviti negara dan lebih utama mungkin pernah membesarkan kita.

Untuk tujuan itu, saya menulis kali ini akan beberapa KECEMASAN yang mungkin berlaku di kalangan warga emas. Moga ia dapat dimanfaatkan oleh para pembaca yang mempunyai warga emas di kalangan ahli keluarga mereka.

Delirium

Kebiasaannya warga emas akan secara perlahan-lahan mengalami masalah hilang ingatan yang dipanggil nyanyuk oleh masyarakat kita. Di dalam istilah perubatan ia dipanggil sebagai dementia. Ia biasanya berlaku di kalangan orang-orang yang berumur 75 tahun ke atas dan memakan masa beberapa tahun. Perangai mereka akan menjadi seperti kanak-kanak kadang kala. Namun waris hendaklah bersabar dan kenang jasa mereka kepada anda. Syurga balasannya berjasa kepada orang tua. Malangnya, ada kes yang mana warga tua ini dipukul dan didera oleh anak-anak mereka sendiri. Insiden-insiden seperti ini semakin meningkat dan menjadi sebahagian daripada statistik keganasan domestik yang semakin meningkat.

Tetapi dementia adalah sesuatu yg berkembang perlahan. Delirium pula ada perubahan tahap kesedaran diri atau sikap, hilang kemampuan menumpukan perhatian serta kecelaruan pemikiran yang berlaku secara TIBA-TIBA. Hari sebelumnya orangnya elok sahaja tetapi hari ini tiba-tiba berlaku perubahan di atas. Ini adalah delerium. Ia adalah merupakan keadaan kecemasan.

Bawa mereka segera ke jabatan kecemasan. Banyak faktor mereka boleh mengalami delirium ini, antaranya:

  1. Ubat-ubatan yang mereka ambil. – Berkemungkinan mereka terambil lebih ubat-ubatan kerana terlupa. Oleh itu sila bawa sekali ubat-ubatan mereka apabila datang ke hospital untuk rujukan kami.
  1. Jangkitan kuman. – Tidak seperti golongan muda, demam tidak ketara simptomnya di kalangan warga tua. Mereka tidak dapat beritahu mereka ada demam sebaliknya cuma akan sebut, badan tak sedap atau kurang sihat. Jika tidak diberi tumpuan dan kuman melarat, mereka boleh mengalami delirium yang menunjukkan jangkitan sudah agak serius. Jangkitan kuman yang biasa pada warga emas adalah jangkitan pada saluran kencing, jangkitan paru2 dan juga jangkitan pada kulit di kawasan tersembunyi. Mereka mungkin malu untuk memberi tahu mereka mempunyai jangkitan di alat sulit atau tidak perasan kerana kawasan tersembunyi. Waris dan penjaga perlu peka dan mempunyai ambang yang rendah untuk membawa mereka untuk pemeriksaan.
  1. Masalah-masalh metabolik seperti kekurangan atau kelebihan gula dan sebagainya yang boleh diperiksa oleh doktor. Kegagalan buah pinggang dan hati serta tekanan darah yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah perubahan tahap kesedaran (encephalopathy). Gangguan garam elektrolit dalam badan seperti kekurangan Natrium juga boleh menyebabkan delerium.
  1. Cuaca dan keadaan persekitaran seperti terlalu panas atau terlalu sejuk juga boleh menyebabkan warga emas mengalami delerium.
  1. Masalah pada otak yang sebenar seperti stroke, pendarahan pada otak, jangkitan meningitis atau meningoencephalitis, brain abscess dan pelbagai permasalahan otak lain yang memerlukan rawatan kecemasan serta kemasukan ke wad.

Kadang kala, bagi warga emas yang tidak mampu bercakap atau kurang upaya, perkara seperti kegagalan membuang air kecil dan juga sembelit juga boleh menyebabkan mereka memgalami delirium. Itulah sebabnya delerium tidak boleh dipandang ringan sebagai, “buang tabiat atau semakin nyanyuk” kerana ia biasanya membayangkan ada sesuatu penyakit serius yang dihidapi oleh warga emas. Bawalah mereka segera ke klinik atau hospital untuk tujuan pemeriksaan.

Jatuh

Di kalangan warga emas, mereka kebiasaanya mempunyai masalah untuk berjalan dengan betul. Koordinasi anggota mereka mungkin tidak sempurna akibat usia yang uzur. Ditambah lagi jika mereka mempunyai masalah sendi atau lemah anggota badan. Pandangan mata serta pendengaran mereka juga mungkin semakin merosot menyebabkan risiko mereka jatuh adalah tinggi.

Jatuh bagi orang-orang tua tidak sama seperti jatuhnya orang muda. Tulang-tulang mereka lebih rapuh dan mereka mempunyai risiko tinggi kepatahan tulang serta kecederaan yang serius hingga mampu mengancam nyawa.

Sentiasa lihat insiden warga emas anda jatuh sebagai sesuatu yang serius. Jika terdapat sebarang kecederaan atau perubahan tingkah laku, bawalah mereka ke klinik (jika kecederaan ringan) atau hospital yang berdekatan untuk pemeriksaan. Jika ada kepatahan kaki atau peha dan berlaku kesakitan apabila anda menggerakkan pesakit atau jika pesakit tidak sedarkan diri, hubungi 999 untuk bantuan segera.

Lemah badan

Daripada panggilan kecemasan yang kami terima di hospital, kebanyakan pemanggil akan mengadu bahawa orang-orang tua yang mereka rujuk mengalami masalah lemah badan.

Harus diingat, warga emas kebiasaannya amat cekal dan tabah menghadapi penyakit. Setakat demam sikit-sikit mereka tidak akan mengadu pada kita pun. Namun apabila mereka kata mereka lemah badan dan lesu, itu adalah satu tanda amaran yang tidak boleh dipandang ringan.

Lemah-lemah badan ini boleh jadi disebabkan oleh:

  1. Jangkitan kuman
  1. Serangan jantung (Lemah badan saja TANPA SAKIT DADA!)
  1. Stroke/angin ahmar
  1. Kanser
  1. Kekurangan garam dalam tubuh seperti hypokalemia.
  1. Kesan sampingan ubat
  1. Depresi atau kemurungan.

Sebaik-baiknya aduan seperti ini tidak dipandang enteng dan perlulah dinilai serius oleh waris dan juga doktor yang merawat.

Serangan jantung

Warga emas mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami sakit jantung. Dan risiko kematian mereka adalah tinggi terutama dalam tempoh 72 jam pertama serangan jantung mereka. Merawat mereka adalah mencabar kerana, tidak seperti golongan lebih muda yang akan mengalami sakit dada, manifestasi serangan jantung terhadap warga emas adalah sangat tidak tipikal.

Mereka mungkin tidak mengalami sakit dada langsung. Mereka akan mengadu sesak nafas atau sakit gastrik, pedih ulu hati, badan tak sedap atau hanya sekadar penat dan letih. Oleh itu, mereka mesti diperiksa secara cermat dan teliti bagi memastikan mereka tidak mengalami serangan jantung yang boleh meragut nyawa mereka.

Kesimpulan:

  1. Warga emas/geriatrik semakin bertambah dalam populasi negara kita dan dunia.
  1. Menjaga kesihatan mereka adalah tanggung jawab kita bersama.
  1. Tumpukan perhatian pada mereka terutamanya aduan-aduan mereka sungguhpun berbunyi remeh.
  1. Bawa mereka berjumpa doktor dan jangan abaikan kesihatan mereka.
  1. Menjaga dan berbakti kepada orang tua adalah merupakan amalan yang besar ganjarannya. Rasulullah berbakti kepada jirannya sungguhpun jirannya adalah wanita tua yang kafir musyrik.
  1. Nampak orang tua perangai pelik sikit, selalulah berhati-hati. Mungkin mereka sedang sakit.

Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir merupakan seorang Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Melaka.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box