Cahaya Semulajadi: Menggalakkan Produktiviti dan Kesejahteraan di Pejabat – Dr Amira Raudhah Abdullah

Pengenalan

Ramai di antara kita bekerja di pejabat dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, menghabiskan sebahagian besar masa dikelilingi oleh lampu neon dan skrin komputer. Bagi individu yang memang rutin bekerja di pejabat, bayangkan masa yang diluangkan di tempat kerja selama bertahun-tahun. Namun, tidak ramai yang menyedari impak pencahayaan pejabat terhadap tahap produktiviti kerja dan kesihatan. Rekaan pejabat sepatutnya menitikberatkan keperluan pekerja untuk menerima pencahayaan semulajadi. Apabila rekaan pejabat memberi penekanan kepada cahaya semulajadi, ia bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi kerja tetapi juga memperbaiki kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental.

 

Bagaimana Otak Memproses Cahaya

Otak kita mempersepsi cahaya melalui dua cara bertujuan untuk membentuk imej yang kita lihat, dan untuk mengawal fungsi tubuh tanpa sedar.

 

  1. Sistem Pembentukan Imej (Penglihatan Visual)
  • Rod dan Kon: Sel rod membantu kita melihat dalam cahaya malap, sementara sel kon membolehkan kita melihat warna dalam cahaya terang. Kedua-dua jenis sel ini menukar cahaya menjadi isyarat elektrik yang dihantar ke otak.
  • Penghantaran ke Korteks Visual: Isyarat dari rod dan kon dihantar melalui saraf optik ke korteks visual di bahagian belakang otak di lobus lobus oksipital. Di sinilah otak menafsirkan warna, kedalaman, dan pergerakan untuk menghasilkan imej.
  1. Sistem Non-Image-Forming (NIF) (Tanpa Penglihatan Sedar)
  • ipRGCs: Sel istimewa ini mengesan cahaya sekitar, terutama cahaya biru, dan tidak membentuk imej. Ia bertindak untuk mengawal fungsi badan seperti kitaran tidur-jaga dan rembesan hormon.
  • Laluan Retinohipotalamus (RHT): Sel ipRGC menghantar isyarat cahaya terus ke nukleus suprachiasmatic (SCN) di hipotalamus, iaitu “jam utama” tubuh. Ini mengatur ritma harian kita, seperti waktu tidur dan pengeluaran hormon melatonin.
  • Tindak Balas Fisiologi: Melalui sistem NIF ini, pendedahan cahaya boleh meningkatkan kewaspadaan, menyesuaikan suhu badan, dan mengekang pengeluaran melatonin tanpa kita perlu “melihat” cahaya itu secara sedar.

Ringkasnya, cahaya bukan sahaja membantu kita melihat tetapi juga mengawal banyak fungsi penting tubuh, seperti tidur, mood, dan tahap tenaga.

 Cahaya Semulajadi dan Kesan Positif terhadap Kesejahteraan Keseluruhan

Cahaya semulajadi memainkan peranan penting dalam mengatur ritma sirkadian, iaitu jam biologi tubuh kita yang mengawal waktu tidur dan berjaga, serta mempengaruhi hormon dan fungsi otak. Pendedahan yang kurang kepada cahaya semulajadi dan terlalu banyak cahaya tiruan boleh mengganggu ritma ini, menyebabkan keletihan, kesukaran fokus, dan ketidakstabilan mood. Sebaliknya, cahaya semulajadi yang mencukupi membantu meningkatkan pengeluaran hormon serotonin, yang dikaitkan dengan mood yang lebih positif dan kebolehan fokus yang lebih baik.

Kajian menunjukkan bahawa individu yang bekerja atau berada dalam bangunan dengan akses kepada cahaya semulajadi melaporkan pelbagai manfaat, termasuk:

  • peningkatan penglihatan,
  • pengurangan masalah rabun jauh,
  • pengurangan keletihan mata,
  • pengurangan sakit kepala, serta
  • rangsangan positif terhadap fisiologi sirkadian dan prestasi kognitif.

Cahaya Semulajadi di Pejabat dan Kesan Terhadap Produktiviti

Kajian menunjukkan bahawa pekerja yang terdedah kepada cahaya semulajadi lebih produktif berbanding mereka yang bekerja di bawah cahaya tiruan sahaja.  Kajian menunjukkan bahawa organisasi yang memberi perhatian kepada pencahayaan semulajadi di tempat kerja mencatatkan peningkatan produktiviti pekerja. Contohnya, syarikat seperti Lockheed Martin dan VeriFone telah melaporkan penurunan ketidakhadiran pekerja sebanyak 15% dan peningkatan kehadiran sebanyak 47% selepas merangka bangunan yang mengutamakan cahaya semulajadi untuk penghuni bangunan. Pekerja cenderung memilih cahaya semulajadi berbanding cahaya tiruan kerana ia memberikan faedah dari aspek fizikal, fisiologi, dan psikologi. Dengan pencahayaan natural, mata menjadi kurang letih, dan otak dapat fokus lebih lama. Sebuah kajian mendapati pekerja di pejabat dengan tingkap besar yang membenarkan masuknya cahaya semulajadi lebih bertenaga dan cepat bertindak balas dalam tugas yang memerlukan kecekapan mental.

 

Reka Bentuk Pejabat yang Menyokong Produktiviti Melalui Pencahayaan Semulajadi

Untuk mendapat manfaat ini, reka bentuk pejabat yang baik perlu mengambil kira elemen pencahayaan. Antara cara yang berkesan termasuk:

  • Penggunaan Tingkap Besar dan Kawasan Berbukaan Cahaya
    Reka bentuk pejabat dengan tingkap besar dan kawasan berbukaan cahaya untuk membolehkan pendedahan kepada spektrum cahaya penuh.
  • Reka Bentuk Pelan Lantai yang Menggalakkan Aktiviti Luar
    Reka bentuk lantai yang memudahkan pekerja keluar ke ruang luar seperti verandah atau balkoni (dilindungi untuk keselesaan), tanpa mengira cuaca.
  • Tahap Cahaya Semulajadi Tinggi dengan Kawalan Pencahayaan yang Boleh Diubah
    Sediakan ruangan dengan tahap cahaya semulajadi tinggi serta perlindungan yang boleh dikawal seperti bidai atau skrin untuk mengelakkan silau, dan ketidakselesaan mata. Ini memberikan fleksibiliti kepada pekerja.
  • Penggunaan Kaca dengan Transmisi Spektrum Penuh dan kaca pembias cahaya
    Gunakan kaca yang membenarkan transmisi cahaya spektrum penuh, memastikan cahaya dalam pejabat secara menyeluruh.
  • Tanaman Hijau ke dalam reka bentuk pejabat

 

Meletakkan tanaman berhampiran tingkap bukan sahaja menambah kesegaran, tetapi juga membantu menapis udara dan memperbaiki mood pekerja.

Penutup
Cahaya semulajadi bukan sahaja memperindah ruang kerja tetapi juga memberikan manfaat besar kepada produktiviti dan fungsi otak. Reka bentuk pejabat yang mengambil kira pencahayaan natural mampu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif, sihat, dan produktif. Oleh itu, pada masa hadapan, jumlah pencahayaan semula jadi harus diberi perhatian serius dalam reka bentuk pejabat.

Reference:

Huang X, Tao Q, Ren C. A Comprehensive Overview of the Neural Mechanisms of Light Therapy. Neurosci Bull. 2024 Mar;40(3):350-362. doi: 10.1007/s12264-023-01089-8. Epub 2023 Aug 9. PMID: 37555919; PMCID: PMC10912407.

Bedrosian, T., Nelson, R. Timing of light exposure affects mood and brain circuits. Transl Psychiatry 7, e1017 (2017). https://doi.org/10.1038/tp.2016.262

Aries, M., Aarts, M., & van Hoof, J. (2013). Daylight and health: A review of the evidence and consequences for the built environment. Lighting Research & Technology, 47(1), 6–27. doi:10.1177/1477153513509258

Horr, Y. A., Arif, M., Kaushik, A., Mazroei, A., Katafygiotou, M., & Elsarrag, E. (2016). Occupant productivity and office indoor environment quality: A review of the literature. Building and Environment, 105, 369–389. https://doi.org/10.1016/j.buildenv.2016.06.001

Dr Amira Raudhah Abdullah

Lecturer (Anatomy)

PhD (Anatomy), USM; MMED (Anatomy), MAHSA; 

MSc. Safety Health & Environment (SHE) UM, BSc USM.

Faculty of Medicine & Health Sciences,

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box