Cakna Kosmetik Selamat- Norvena Hisyam

1. Definisi kosmetik

Kosmetik dan wanita memang tidak dapat dipisahkan. Umum mengetahui, terdapat lambakan pelbagai produk kosmetik yang berada di pasaran. Sekiranya produk kosmetik itu selamat, ianya tiada masalah, yang membimbangkan kita adalah produk kosmetik yang merbahaya.

Secara definisi, produk kosmetik adalah sediaan yang digunakan secara luaran sahaja (external use only) pada bahagian tubuh badan manusia untuk membersih, mewangi, mencantikkan dan menghilangkan bau badan dan ia dikawal di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952. Sebarang tujuan perawatan (indikasi perubatan) seperti menghilangkan masalah jerawat adalah bukan kategori kosmetik.

2. Kosmetik timbang kilo

Antara isu gempar yang kini ini tular di media sosial dan akhbar adalah berkenaan wujudnya produk kosmetik krim timbang kilo yang dibeli secara pukal dari negara luar seperti Thailand dan China. Ia dikatakan dibotolkan semula kemudian dijual secara online. Untuk makluman, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menghalang penjualan produk dari luar negara untuk dipasarkan ke Malaysia. NAMUN, sebelum produk tersebut dipasarkan, pengedar perlulah mendapatkan kelulusan daripada KKM melalui prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Farmasi Regulatori Negara (NPRA). Sekiranya diragui, pendaftaran kosmetik tersebut tidak akan diluluskan.

3. Ciri-ciri produk kosmetik yang selamat adalah seperti berikut :

    1. Mempunyai nombor notifikasi tulen
    2. Tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti Racun Berjadual
    3. Perlu digunakan secara berterusan
    4. Formulasi yang sesuai dengan kegunaannya. BUKAN dalam bentuk suntikan atau untuk dimasukkan ke dalam rongga badan.
    5. Bukan untuk tujuan rawatan seperti MERAWAT masalah jerawat.

4. Kesan sampingan bahan terlarang di dalam produk kosmetik

Terlalu kerap dipaparkan di dada-dada akhbar, perihal kesan sampingan produk kosmetik. Ada yang menyebabkan kulit kemerahan seperti melecur dan ada yang sangat teruk hingga bernanah. Ini adalah antara kesan sampingan yang terjadi sekiranya terdapat bahan-bahan terlarang yang dicampurkan ke dalam produk kosmetik tersebut. Antara yang dikenalpasti adalah hydroquinone, tretinoin dan raksa (merkuri). Ketiga-tiga bahan ini disalahgunakan sebagai ejen pemutihan di dalam produk kosmetik. Semakin tinggi kandungan bahan tersebut di dalam produk kosmetik, semakin kritikal kesan sampingan yang akan dialami pengguna.

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra-violet (UV) merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Manakala tritenoin jika digunakan oleh wanita hamil, boleh memudaratkan kandungan yang sedang dikandung. Ini kerana tritenoin telah terbukti secara perubatan mempunyai kesan sampingan kepada janin (teratogenic).

Raksa atau merkuri pula boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Tambahan pula, sebarang produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

5. Adakah produk stem sel dan kolagen diklasifikasikan sebagai produk kosmetik dan adakah Kementerian Kesihatan Malaysia memantau penjualan produk ini?

Keghairahan penjual dalam mendapatkan keuntungan dalam pasaran produk kosmetik dan keterujaan pengguna untuk terus kekal cantik tidak dinafikan sangat sukar dibendung. Ada penjual yang mula memasarkan produk stem sel dan juga produk kolagen untuk tujuan kecantikan sedangkan kandungan di dalamnya tidak dapat dipastikan keselamatannya. Walaupun produk sebegini bukan kategori kosmetik, ia boleh diklasifikasikan sebagai produk makanan atau produk farmaseutikal bergantung kepada kandungan di dalam produk. Dari segi pemantauan di Malaysia, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM akan memantau produk makanan dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara akan mengambil tindakan sekiraya ada campurpalsu dengan Racun Berjadual.

6. Di zaman yang lebih moden ini, terdapat pelbagai inovasi dalam industri kecantikan. Diiklankan di sana sini, “Anda boleh cantik dengan satu suntikan Vitamin C sahaja”. Adakah ia selamat?

Sinonim dengan kecantikan, wujud pula produk dalam bentuk formulasi suntikan. Secara definisi, produk kecantikan dalam bentuk suntikan bukan kategori kosmetik namun kerap disalahertikan dalam media. Keselamatan penggunaan produk kosmetik ini juga boleh diragui. Selain dikendalikan oleh individu yang tidak bertauliah, pengguna juga boleh terdedah kepada alahan akibat suntikan. Dari segi pengendalian suntikan, kaedah aseptik adalah penting bagi mengelakkan faktor jangkitan ke dalam sistem badan yang boleh menyebabkan maut.

7. Tip penting bagi pengguna produk kosmetik:

    1. Kenalpasti produk tersebut adalah kosmetik atau bukan kosmetik.
    2. Gunakan produk kosmetik bernotifikasi (NOT).
    3. Pastikan nombor NOT tersebut adalah tulen. Buat semakan di laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/ atau emel kepada kosmetik@npra.gov.my. Hubungi talian 03-78835400 untuk maklumat lanjut.
    4. Elakkan mempercayai iklan-iklan yang melampau berkenaan produk kosmetik.
    5. Gunakan hak anda sebagai pengguna untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan produk sebelum membeli.

8. Peranan media dalam mengiklankan produk

Tidak dinafikan peranan media adalah sangat penting dari segi pengiklanan sesuatu produk. Pihak media boleh bekerjasama dengan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membuat semakan terhadap produk yang akan diiklankan di radio mahupun televisyen. Ia adalah salah satu langkah yang signifikan dalam usaha mengelakkan pengguna daripada terjebak dengan penggunaan produk kosmetik yang tidak selamat seterusnya mengurangkan penjualannya di Malaysia.

NORVENA HISYAM

PEGAWAI FARMASI

KEMENTERIA KESIHATAN MALAYSIA

RUJUKAN:

Garis Panduan Kosmetik

http://npra.moh.gov.my/

Kenyataan Akhbar KPK 23 Februari 2018 – Produk-produk Kosmetik Yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia,

https://kpkesihatan.com/2018/02/23/kenyataan-akhbar-kpk-23-februari-2018-produk-produk-kosmetik-yang-dikesan-mengandungi-racun-berjadual/

Kenyataan Akhbar KPK 21 Januari 2017 – Kawalan dan Tindakan Oleh KKM Ke Atas Produk Kosmetik di Pasaran

Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia,

https://kpkesihatan.com/2017/01/21/kenyataan-akhbar-kpk-21-januari-2017-kawalan-dan-tindakan-oleh-kkm-ke-atas-produk-kosmetik-di-pasaran/

Ciri-ciri Kosmetik Selamat

http://www.knowyourmedicine.gov.my/node/9371

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box