Catatan Diari Seorang Pembuli – Dr Zul Azlin

Sumber: www.ecaasu.org

Sumber: www.ecaasu.org

Diari 1

Hampir setiap hari, Hakim (bukan nama sebenar) menyaksikan pergaduhan di antara ibu dan bapanya di rumah. Mereka bukan sahaja bertengkar, malah ada kalanya bapa akan melayangkan penampar ke muka ibunya. Apabila ibu marah dan sedih, Hakim dan adik-adiknya pula menjadi mangsa. Selain daripada itu, Hakim dianggap anak yang paling nakal di dalam keluarga. Semenjak kecil lagi Hakim sangat aktif dan tidak boleh duduk diam setempat. Disebabkan terlalu aktif, adik beradik Hakim juga tidak menyukainya. Walaupun kelakuan ini semakin berkurangan apabila Hakim melangkah ke darjah 5, dia masih dianggap pelajar yang lemah dan kurang minat belajar. Ada guru yang cuba menasihati keluarganya supaya di bawa berjumpa doktor tetapi tidak kurang juga guru-guru yang sudah tidak endah dengan perangainya. Jauh di lubuk hati, Hakim sebenarnya rasa tertekan. Dia marah dan kecewa dengan kelakuan ibu bapanya. Walaubagaimanapun dia tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan tekanan emosi yang dialaminya. Apa yang Hakim tahu, dia berasa puas apabila membuli pelajar lain di sekolah. Sudah ramai pelajar merasai penangan tumbukannya. Kadangkala Hakim akan meletakkan sampah atau binatang-binatang kecil ke dalam beg pelajar lain. Hakim rasa seronok walaupun seringkali dikenakan tindakan disiplin. Seolah-olah tekanan emosi yang dialaminya di rumah hilang begitu sahaja apabila membuli pelajar lain di sekolah.

Kurang mahir dalam cara menangani emosi dan tekanan

Kisah ini menunjukkan bagaimana tekanan emosi yang terhasil daripada pergolakkan di antara ibu dan bapa, membentuk Hakim menjadi seorang pembuli. Secara tidak langsung dia “diajar” bahawa dengan cara keganasan segala emosi negatif boleh hilang begitu sahaja. Melihat kesengsaraan orang lain seolah-olah memberi kepuasan dan kekuatan yang dia tidak dapat kecapi ketika di rumah. Hakim tidak diberi peluang untuk belajar cara perhubungan sesama manusia yang sihat. Bagi Hatim, keganasan adalah satu-satunya cara untuk membebaskan dirinya dari dunia realiti yang memeritkan.

Kurang jati diri

Penemuan di barat menunjukkan si pembuli sering tidak mempunyai hubungan yang baik dengan adik beradik, serta ibu dan bapa. Mereka juga kerap memendam emosi. Hakim sebenarnya sudah hilang keyakinan ke atas kebolehan diri untuk maju secara positif. Pakar perubatan psikiatri berpendapat bahawa si pembuli sebenarnya mempunyai jati diri yang rendah atau ‘low self esteem’ walaupun ada kajian lain mengatakan sebaliknya.

Penyakit psikiatri dan buli

Tambah memilukan lagi, tiada siapa pernah memikirkan kemungkinan Hakim mengalami penyakit psikiatri ‘Gangguan Kurang Tumpuan dan Hiperaktif’ atau ‘Attention Deficit and Hyperactive Disorder (ADHD)’. ADHD boleh dirawat jikalau diberi perundingan menyeluruh dan kadangkala dengan bantuan ubat-ubatan. Perubahan positif lebih cerah jika dikesan dan didiagnos di peringkat awal oleh Pakar Perubatan Psikiatri atau Ahli Psikologi Klinikal. Penyakit mental seperti ADHD dan masalah disiplin dan ‘tingkah laku tegar’ (‘Conduct Disorder’) dikaitkan dengan pembuli dalam beberapa kajian sains. Akan tetapi hal ini jarang dititikberatkan ketika membicarakan isu buli.

 

 

Diari 2

Wendy (bukan nama sebenar) berasal dari keluarga yang berada. Dia merupakan anak tunggal kepada pasangan suami-isteri yang terkenal dalam dunia perniagaan. Sejak kecil, Wendy banyak menghabiskan masa dengan pengasuh yang sering bertukar-tukar kerana ibu-bapanya begitu sibuk menguruskan perniagaan. Wendy akan dilimpahkan dengan pelbagai kurniaan materialistik tetapi kurang interaksi bermakna dengan ibu-bapanya. Walaubagaimanapun, Wendy mempunyai rekod akademik yang cemerlang dan dia juga dikenali sebagai pelajar universiti yang tercantik di kampusnya. Dia mempunyai ramai kawan dan peminat yang sedia menuruti permintaannya pada bila-bila masa. Wendy rasa megah dengan gelaran dan pengaruh yang dimilikinya. Namun demikian, ada sahaja pelajar lain yang berani merampas statusnya, iaitu Mary (bukan nama sebenar). Wendy rasa geram kerana Mary selain daripada mempunyai paras rupa yang cantik, Mary juga kelihatan begitu mesra dengan teman lelakinya. Didorong oleh perasaan cemburu dan benci, Wendy telah berjaya mendapatkan sekeping gambar yang memalukan Mary. Kini, hampir seluruh pelajar di kampus telah melihat gambar tersebut yang diedarkan melalui media sosial. Wendy rasa gembira apabila mendengar Mary telah berpindah ke kampus lain akibat penyebaran gambar tersebut. Sekarang tiada siapa lagi yang berani menyakitkan hatinya.

 

‘Relational bully’

Naratif ini pula adalah contoh klasik jenis buli secara tidak langsung yang tidak melibatkan keganasan fizikal – ‘indirect bully’. Ia juga dipanggil ‘relational bully’ di mana mangsa disakiti dengan cara dimalukan melalui media sosial. Tujuan asal masih sama iaitu untuk menyakiti mangsa tetapi di sini terdapat provokasi yang tidak disengajakan oleh pihak mangsa. Contoh lain ‘relational bully’ adalah dengan cara pemulauan atau penyebaran khabar angin yang tidak benar.

Ciri-ciri narsisistik seorang pembuli

Walaupun tiada unsur-unsur keganasan dan Wendy tidak pernah didedahkan dengan kaedah komunikasi yang kasar, dia mempunyai konsep kendiri bahawa dia pasti memiliki segala yang dihajati tanpa mengira caranya. Kumpulan pakar psikologi Rebecca et al telah membangkitkan teori bahawa personaliti narsisistik dan kurang empati merupakan punca utama kelakuan membuli. Di antara ciri-ciri personaliti narsisistik adalah sentiasa berharap dipuja, secara mendalam merasakan dirinya lebih penting daripada orang lain, cenderung untuk merendah-rendahkan dan mengeksploitasi orang lain.

Pembuli yang sofistikated

Perkembangan Wendy semasa kanak-kanak dipengaruhi oleh interaksi dengan ibu-bapanya. Kemahiran keibu-bapaan maladaptif (‘maladaptive parenting’) yang sentiasa memberi ganjaran, pujian dan dimanjakan dengan berlebihan membentuk perwatakan dan personalitinya. Wendy secara zahirnya bukanlah individu yang memiliki jati diri yang rendah dan kemahiran untuk memulakan interaksi bukan menjadi isu utama (tidak seperti DIARI 1). Sebab itulah bentuk bulinya lebih sofistikated iaitu bersifat sosial dan tidak langsung. Akan tetapi kekurangan unsur-unsur empati dan kebolehan untuk memikir tentang kemaslahatan insan lain berpotensi melahirkan pembuli tegar. Pembuli jenis ini sering dilihat dalam hubungan sosial di tempat kerja.

Sumber: mashable.com

Sumber: mashable.com

Diari 3

George (bukan nama sebenar) lahir dari keluarga yang bergelumang dengan kemiskinan. Anak bongsu daripada lima adik beradik, George adalah satu-satunya anak yang bersekolah. Walaupun agak cemerlang ketika di sekolah rendah, ayahnya tidak pernah menghargai pencapaiannya. Sebaliknya kerap kali merungut betapa susahnya mengeluarkan perbelanjaan sekolahnya. Akibat daripada tabiat kuat minum arak bapanya; George, ibunya dan abang-abangnya sering menjadi mangsa pukul ayahnya. Keganasan dan kekasaran menjadi lumrah dalam keluarganya. Salah seorang daripada abang-abangnya pernah ditangkap polis kerana sengaja memusnahkan harta benda awam dan terlibat dalam pergaduhan. George yang kini sudah masuk ke tingkatan 4 mengepalai satu kumpulan kecil di kalangan rakan sebaya yang sering mengugut, memukul dan meminta duit daripada murid-murid yang lain. Kadangkala cikgu sendiri juga diancamnya. Mangsa-mangsa bulinya bertindak sama ada memberi segala kemahuannya atau berpindah sahaja ke sekolah lain. George menyangka inilah zaman kegemilangannya.

‘Role model’ di rumah

Sekali lagi persekitaran rumah dan keluarga memberi contoh kuat kepada individu bagaimana untuk menjalani kehidupan sebenar. George meniru tingkah-laku bapa dan abangnya dan lambat laun keganasan baginya adalah satu-satunya konsep komunikasi yang berkesan. Apa yang dihajati dapat direalisasi dengan keganasan atau sekurang-kurangnya dengan cara yang menyakiti orang lain.

Berkehendak kepada pengiktirafan

Pembentukan konsep kendiri George ketika usia masih mentah dicorakkan dengan cara yang tidak baik. Pencapaian akademik tidak menatijahkan balasan setimpal atau sekurang-kurangnya penghargaan daripada bapanya. Dengan cara keganasan, dia dapat ‘menundukkan’ manusia lain dengan kehendaknya. Selain daripada itu, dia mendapat ‘pengiktirafan’ dari rakan sebaya dan ini membantu menaikkan jati dirinya; yang tanpa disedarinya hanyalah untuk sementara waktu.

Peranan sekolah dan guru-guru

Pentadbir sekolah dan guru-guru berperanan penting untuk mengawal tindak-tanduk George dan kumpulannya. Kempen dan kesedaran tentang kes buli di kalangan murid-murid secara amnya perlu dijalankan supaya mereka tidak takut untuk melaporkan kejadian buli. Kehadiran ‘pemerhati pasif’ ketika kejadian buli secara tidak langsung memberi galakkan kepada si pembuli. Program perlu diadakan untuk mengubah golongan ‘pemerhati pasif’ ini supaya menjadi pengadu.

Kesimpulan

Buli adalah salah satu subset pelakuan agresif yang berlaku secara berulang tanpa provokasi dan bertujuan untuk menyakitkan hati atau fizikal mangsa. Pembuli sering dianggap lebih kuat atau lebih berpengaruh daripada mangsa buli. Terdapat pelbagai jenis buli; secara langsung (keganasan fizikal) atau secara tidak langsung (pemulauan, penyebaran perkara yang memalukan mangsa). Zaman berteknologi kini pula heboh dengan gejala buli di alam maya atau di media sosial – ‘cyber-bully’.

Isu buli sangat kompleks. Kajian-kajian yang telah dibuat di peringkat antarabangsa dan tempatan begitu banyak. Satu artikel pendek begini tidak mungkin dapat memberi kupasan sepenuhnya walaupun hanya difokuskan kepada si pembuli. Sekurang-kurangnya di sini kita telah faham dinamik seorang pembuli itu. Seseorang itu tidak dilahirkan sebagai pembuli. Gabungan faktor-faktor percampuran individu, kemahiran keibubapaan, masalah psikiatri, kemahiran bersosial, pembentukan personality dan persekitaran, berinteraksi untuk menentukan punca perlakuan buli.

Dr. Zul Azlin adalah seorang pakar psikiatri dan pensyarah di Universiti Sains Islam Malysia.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

  • Azizi Y, Yusoof B,Shahrin H, M. Sharif M, Zurhana M. Indeks Perlakuan Buli di Kalangan Pelajar-pelajar di Sekolah Menengah dan Rendah. Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia. 2008.
  • Connolly I, O’Moore M. Personality and family relations of children who bully. Personality and Individual Differences. 2003; 35: 559-567
  • Gini G. Social Cognition and Moral Cognition in Bullying: What’s Wrong? Aggressive Behavior. 2006; 32(6): 528-539.
  • Kumpulainen K, Rasanen E, Puura K. Psychiatric Disorders and the Use of Mental Health Services among Children Involved in Bullying. Aggressive Behavior. 2001; 27: 102-110.
  • Lereya ST, Muthanna S, Wolke D. (2013) Parenting behavior and the risk of becoming a victim and a bully/victim : a meta-analysis study. Child Abuse & Neglect
  • Smith PK. Bullying: Recent Developments. Child and Adolescent Mental Health. 2004; 9(3): 98-103.
  • Rebecca PA, Eileen YLO, Joylynn CYL, Eulindra WL. From Narcissistic Exploitativeness to Bullying Behavior: The Mediating Role of Approval-of-Aggression Beliefs. Social Development. 2009; 1-15.
  • Wan Salwina WI, Nik Ruzyanie NJ, Tuti Iryani MD, Shamsul AS, Aniza I, Zasmani S. The Association between the Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) Symptoms and Bully/Victim Problem among Malaysian Sixth-Graders. ASEAN Journal of Psychiatry. 2010; 11(1).
  • The Desk Reference to the Diagnostic Criteria from DSM-5. American Psychiatric Association. 2013.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box