“Aduh, sakitnya kaki Abah ni, Din!” Bapa mertuaku mengadu kepadaku pada pagi hari raya Eidulfitri yang lepas. Mataku segera terpaku pada betis kiri beliau yang kelihatan membengkak dan merah menyala. Beliau menggigil.
“Kenapa ni, Bah?” Aku segera menerpa. Badan beliau agak panas. Demam. “Ni Cellulitis ni Bah” Aku dengan pantas memberi diagnosis. Aku begitu yakin dengan diagnosis yang aku buat memandangkan Cellulitis adalah kondisi yang amat kerap dirujuk kepada kami di Jabatan Ortopedik. Ia sudah seperti menjadi makanan harian kami.
Ia biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria Staphylococcus aureus atau Streptococcus species pada kulit pesakit. Jangkitan ini boleh diakibatkan oleh trauma seperti tusukan objek tajam, gigitan serangga, luka ataupun jangkitan kuman dari organ badan yang lain.
Kulit yang dijangkiti menjadi kemerah-merahan, terasa panas dan membengkak. Pesakit biasanya mengalami demam panas dan tidak mampu berjalan akibat kesakitan pada anggota yang terlibat.
Rawatan
Anda perlu segera ke hospital sekiranya mengalami tanda-tanda di atas. Kami perlu pastikan yang jangkitan tersebut adalah pada bahagian permukaan kulit sahaja dan tidak melibatkan tisu yang lebih dalam seperti fascia atau otot. Jangkitan kuman yang amat berbahaya ini dikenali sebagai Necrotising fasciitis di mana ia boleh membawa kematian sekiranya rawatan lambat diberikan.
Cellulitis boleh dirawat dengan menggunakan intravenous antibiotic iaitu ubat antibiotik yang diberikan melalui saluran darah pesakit. Anda perlu berehat selama beberapa hari di hospital bagi memastikan jangkitan kuman ini dapat dihapuskan. Bengkak padakaki akan lebih cepat surut sekiranya anda mengangkat kaki pada paras lebih tinggi melebihi paras jantung dan mengurangkan berjalan ketika rawatan diberikan.
Apabila kebengkakan kaki anda surut sepenuhnya, kulit kaki anda akan kelihatan seperti berkedut, keadaan yang kami panggil sebagai ‘wrinkle sign’. Ia membawa erti yang jangkitan tersebut telah berjaya dihapuskan dan anda akan dibenarkan pulang ke rumah.
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]