Ceria Sepanjang Usia: Komunikasi Berkesan – Dr Farizah Hairi

Tahukah anda, hanya di Malaysia sahaja kita menggunakan istilah Warga Emas kepada golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas. Mereka tidak lagi digelar Orang Tua. Betapa tingginya penghargaan warga Malaysia kepada Warga Emas ini. Justeru itu, budi bicara, tingkah laku dan segala bentuk interaksi dan komunikasi kita dengan mereka yang bergelar Warga Emas ini perlulah diperhalusi dan digilap sejajar dengan kedudukan mereka yang semakin berusia, semakin berharga.

Apabila dua pihak berkomunikasi, sudah pastilah mereka berhasrat agar proses pengiriman dan penerimaan maklumat, pesanan atau berita di antara dua orang atau lebih itu berkesan sehingga boleh difahami dengan mudah.

Tidak dinafikan semua orang boleh berkomunikasi. Yang paling penting, untuk memastikan komunikasi tersebut berkesan ianya boleh dipelajari, dididik dan dilatih sehingga mahir (it is a teachable skill). Apabila kita dapat berkomunikasi dengan berkesan kita akan rasa senang dan puas hati (satisfied).

Sebelum kita mengulas lebih lanjut mengenai komunikasi berkesan dengan Warga Emas, ingatlah tiga perkara ini:

  1. Prasangka buruk mengenai umur tua harus dibuang sama sekali. Bukan semua Warga Emas akan mengalami penyakit, tidak berkeupayaan dan lemah.
  2. Mungkin pada jangka masa pendek, ia akan mengambil masa untuk kita belajar cara-cara berkesan untuk berkomunikasi dengan Warga Emas, tetapi percayalah ianya amat berguna dan bermanfaat untuk jangka masa panjang.
  3. Hargai lah Warga Emas. Setiap individu adalah unik. Mungkin ada yang masih sihat dan ceria, mungkin ada yang sebaliknya. Kita haruslah jadikan hidup mereka ‘Ceria Sepanjang Usia’ seperti mana cerianya tema tulisan ini 😊

Untuk peringkat permulaan, ada lima perkara yang kita perlu titikberatkan dan ambil perhatian agar komunikasi dengan Warga Emas lebih berkesan.

Pertama, kita harus sabar dan bantu dengan seikhlas hati, terutamanya apabila berhadapan dengan Warga Emas yang mempunyai kekangan dari segi fizikal, mental dan psikologikal, seperti kurang pendegaran, bergerak perlahan, kerap lupa, hilang ingatan, pemarah, degil, sensitif, ingatlah…

Yang kurek itu kundi, Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi, Yang indah itu Bahasa.

 

Sabar itu separuh daripada iman 😊

 

Kita kena letakkan kedudukan kita berada di tempat mereka (empati), katakan kepada mereka dengan prihatin, berikan kata-kata semangat, “Atuk/nenek boleh jalan tu … Malaysia boleh. Go go go…. You can do it!”

Kedua, kita harus bertanya dan bukannya memberi arahan. Contohnya untuk sarapan pagi, jangan lah kata “Hari ini atuk/nenek makan roti canai satu keping sahaja, minum kopi kurang manis”, tetapi sebaliknya maklumkan dalam bentuk soalan, “Boleh kita sarapan sekeping roti canai dan minum kopi kurang manis pagi ini?” Pasti jawapannya boleh. Atau katakan “Pagi ni kita sarapan sekeping roti canai dan minum secawan kopi kurang manis, boleh kannnn?” Kannn. 😊

Hormatilah kehendak mereka dan berikan peluang untuk mereka membuat keputusan bersama-sama juga.

Ketiga, tanya lah mereka, jangan buat andaian sendiri. Contohnya, apabila kita rasa bilik agak panas, mungkin kita akan secara pantas memasang kipas tanpa bertanya dahulu kepada Warga Emas tersebut. Kita tidak tahu mungkin mereka tidak memerlukan kipas dipasangkan. Jadi bertanya lah dan jangan buat andaian sendiri.

“Saya nak pasang kipas ni, ok ke? Atau tak perlu?”

Keempat, sedia beri bantuan, bukannya mengarah mereka membuat sesuatu. Tidak perlulah kita menjadi pengarah. Bukannya berkata: “Atuk/nenek kena bersenam pagi-pagi ni.” “Atuk/nenek mesti makan ubat.” “Atuk/nenek, habiskan sup tu.” “Atuk/nenek jangan lupa hadir ke klinik untuk jumpa doktor.”  Sebalik nya berkata lah dengan baik, “Saya sedia bantu atuk/nenek membuat senaman pagi ini.” “Mari saya tolong atuk/nenek ambil ubat, penting untuk atuk/nenek makan ubat ini, nanti atuk/nenek makan ya.” “Mari kita habiskan sup ini ya, atuk/nenek.” “Temujanji dengan doktor itu penting ya atuk/nenek, nanti hadir ya.”

Bersikap terbuka dan lebih mendengar. Elakkan bertekak, bergaduh dan berkonfrontasi.

Kelima, beri pilihan sekiranya ada. Warga Emas mempunyai perasaan dan mereka masih mahu bersikap berdikari. Apabila berkomunikasi dengan mereka, cuba berikan beberapa pilihan yang munasabah dan dapatkan Warga Emas tersebut yang memilih keputusan akhir yang terbaik. Ini akan memperkasakan mereka dan memberikan mereka rasa yakin diri (confident).

Ramai Warga Emas masih boleh mengurus diri mereka sendiri. Sekiranya mereka perlu bantuan, dengan bantuan kita jadikanlah hidup mereka Ceria Sepanjang Usia.

Mesej utama:

  1. Komunikasi berkesan dengan Warga Emas amat penting
  2. Komunikasi berkesan boleh dididik dan dilaksanakan oleh semua orang
  3. Kajian telah membuktikan apabila kita berjaya berkomunikasi dengan baik, hasilnya amat berbaloi– Warga Emas akan akur dengan rawatan / tatacara (adhere to treatment, compliance), Warga Emas rasa ‘satisfied’, tidak timbul rasa tidak puas hati / marah.

Dr Farizah Mohd Hairi adalah professor madya dan pakar perubatan kesihatan awam di Universiti Malaya.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box