Ceria Sepanjang Usia: Marilah kita sama-sama banteras ‘Ageism’ – Dr Farizah Hairi

Apabila melihat atau berinteraksi dengan Orang Tua, apakah yang terlintas di dalam fikiran kita? Adakah istilah-istilah ini …“sakit”, “lemah”, “nyanyuk”, “sunyi”, “sensitif”, “keras kepala”, “perlahan”, “merungut”, “tidak produktif”… berlegar-legar di dalam fikiran kita?

Pernahkah anda berfikiran begini?

Menurut Kamus Bahasa Inggeris Cambridge dan Kamus Bahasa Inggeris Oxford, ‘Ageism’ adalah layanan yang tidak setimpal ke atas seseorang kerana usianya (Ageism is an unfair treatment of a person because of their age).

Sikap negatif atau diskriminasi terhadap Orang Tua dan Penuaan ini sebenarnya telah lama wujud dan berakar umbi dalam sejarah dunia.

Cumanya istilah ‘Ageism’ atau prasangka buruk mengenai umur, terutamanya usia tua, mula diperkenalkan oleh Dr Robert Neil Butler, Pakar Psikiatri dari Amerika Syarikat pada tahun 1969. Beliau telah menerajui pemahaman, pengetahuan dan rawatan terhadap golongan Warga Emas.

Dr Butler menerangkan bahawa ‘Ageism’ merupakan prasangka stereotaip dan diskriminasi terhadap seseorang hanya disebabkan usia mereka yang tua. Pemerhatian ini mirip kepada isu perkauman yang timbul disebabkan perbezaan warna kulit. Dr Butler mendapati prasangka buruk atau stereotaip dan diskriminasi ini berlaku pada peringkat individu dan juga peringkat institusi. Timbulnya perasaan tidak selesa, tidak suka, lantas secara tidak langsung akan mengelakkan diri seseorang itu daripada berhubung atau berinteraksi dengan mana-mana Warga Emas. Pada peringkat institusi pula, diskriminasi yang dilihat berlaku dalam sektor perumahan (contohnya rumah flat yang tiada lif (low-rise walk-up flats), tiada ‘ramp’ untuk kerusi roda, lantai yang licin, atau pencahayaan yang kurang terang), pekerjaan (contohnya tiada peluang pekerjaan selepas umur persaraan, tiada majikan yang hendak menggajikan pekerja Warga Emas) dan pelbagai jenis perkhidmatan (contohnya tidak dibenarkan memandu kenderaan walaupun masih sihat, terpaksa beratur dan menunggu lama atau di arah ke hulu dan ke hilir untuk mendapatkan perkhidmatan atau rawatan di klinik dan hospital) (Butler, 1989; Butler, 2005).

Akibat daripada ‘Ageism’ atau prasangka buruk mengenai umur, kemungkinan besar Warga Emas akan terabai, dipinggirkan dan tersisih dalam masyarakat mereka sendiri. Emosi dan perasaan mereka akan terjejas. Mereka akan rasa tidak dihargai, kurang yakin diri dan hidup umpama membebankan orang lain.

Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama banteras ‘Ageism’, bermula dengan lima cara berikut: –

Pertama, gunakan istilah Warga Emas untuk golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas, bukan lagi memanggil mereka Orang Tua, kerana semakin mereka berusia, mereka semakin berharga!

Kedua, didik diri sendiri dan orang lain mengenai proses penuaan.Proses penuaan adalah proses yang normal. Berbanggalah dengan usia yang semakin tua.

Ketiga, kenalpasti stereotaip terhadap golongan tua. Prasangka buruk mengenai umur tua harus dibuang sama sekali. Bukan semua Warga Emas akan mengalami penyakit, tidak berkeupayaan dan lemah. Ramai Warga Emas masih boleh mengurus diri mereka sendiri. Selain daripada itu, kenalpasti juga jenaka yang mendiskriminasi golongan tua dan elak menggunakannya.

Keempat, galakkan kehidupan antara generasi. Kemeriahan interaksi di antara generasi membantu merangsangkan fungsi kognitif, menambahbaik kesihatan mental dan mencergaskan fizikal golongan berusia.

Kelima, didik kanak-kanak menghormati golongan tua.

Jadikanlah kehidupan Warga Emas kita sentiasa Ceria Sepanjang Usia tanpa ‘Ageism’ 😊.

Mesej utama:

  1. Hormatilah Warga Emas
  2. Paparkan isu positif mengenai Warga Emas
  3. Ageism perlu dibanteras dari awal

Dr Farizah Hairi adalah Professor Madya dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Malaya.

 

Rujukan:

  1. Cambridge Advanced Learner’s English Dictionary (4thEdition) 2017, Cambridge University Press.
  2. North, M. S., & Fiske, S. T. (2012). An inconvenienced youth? Ageism and its potential intergenerational roots. Psychological Bulletin, 138(5), 982.
  3. Langer, N. (1999). Changing youngsters’ perception of aging: Aging education’s role. Educational Gerontology, 25(6), 549–554.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box