Cerita Ahmad Dari Wad C1 – Dr. Anis Nabillah

200518914-001Ini cerita Ahmad (bukan nama sebenar). Perkenalan kami cuma seketika, namun besar impaknya buat saya.

Saya sedang berbual dengan beberapa orang pesakit di kawasan rehat Wad C1 Psikatri Lelaki, Hospital Melaka. Namun, mata saya tertumpu ke arah seorang remaja lelaki, kehulu-kehilir mengacau pesakit  yang berehat di katil masing-masing. Reaksi mereka sama, mengherdik remaja itu dan mengacah untuk memukulnya. Dia tidak mengendahkan amaran mereka, malah masih terus mengagah dan bergurau.

Tiba-tiba, laju dia meluru duduk di sebelah saya sambil menolak pak cik yang bukan main asyik bercerita. Kawan-kawan yang lain menunjukkan air muka risau kerana begitu ramai sekali pesakit mental mengelilingi saya. Mereka mula menjauhi saya dan remaja itu, lalu berbual sesama sendiri. Dalam hati, saya berkata mungkin mereka risau jika pesakit-pesakit ini bertindak agresif. “Hmm, takpelah, nak belajar kan. Beranikan diri,” pujuk saya kepada diri sendiri.

“Nama siapa?” tanya saya.

“Ahmad.” balasnya lembut.

“Umur berapa?” saya bertanya lagi.

“19.”  Ahh, hampir sebaya dengan adik saya.

Ahmad menarik-narik kertas yang saya pegang. Saya hulurkan sehelai bersama sebatang pen dan menyuruhnya menulis nama.

Saya tanya mengapa dia dimasukkan ke wad. Jujur keluar dari mulutnya, “Ahmad pukul kakak, gaduh dengan abang.”

“Kenapa Ahmad pukul kakak?”

“Sebab tak dengar cakap kakak dengan nenek.”

“Kenapa?”

“Sebab Ahmad tengok bola sampai pukul 2 pagi,” balasnya sambil tersenyum. Saya tenung mukanya, kemudian memeriksa tangannya yang sedang menulis.

“Ahmad, ni kenapa lebam?”

“Nenek pukul sebab Ahmad mengamuk.”

“Sakit?” Dia mengangguk lagi sambil terus menulis. Contengannya hanya nombor 2 yang ditulis berulang-ulang dan beberapa gambar. Saya tersenyap.

Dalam fail pesakit, Ahmad telah dikenal pasti mengalami penyakit yang dikenali sebagai ‘Mental Retardation’ atau istilah Melayunya, terencat akal. Menurut definisi dari Diagnosis and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM) IV, retardasi mental bermaksud kemampuan intelektual yang rendah, muncul sebelum umur 18 tahun dan mengganggu proses perkembangan serta kemampuan normal fungsi pada perilaku adaptif. Akan tetapi, dalam edisi terbaru DSM V, istilah ‘Mental Retardation’ telah ditukar kepada ‘Intellectual Disability’ kerana ia lebih diterima pakai dan bunyi yang kurang kasar.

Terdapat 3 kriteria yang perlu dipenuhi untuk meletakkan seseorang di bawah diagnosis ini:

  1. Penurunan fungsi intelektual secara signifikan, IQ sama atau kurang dari 70.
  2. Kegagalan fungsi adaptif sekurang – kurangnya dua area meliputi komunikasi, self-care, home living, kemampuan sosial/interpersonal, kemampuan fungsi akademi, kerja, kesihatan dan keamanan.
  3. Terjadi sebelum umur 18 tahun.

Klasifikasi ‘Intellectual Disability’ pula terbahagi kepada empat, yang dinilai berdasarkan markah IQ kanak-kanak tersebut, serta perkembangan mereka. Ahmad tergolong dalam tahap sederhana, dengan IQ antara 35-40 sehingga 50-55. Dia mampu berkomunikasi dan berbicara dengan orang sekeliling namun secara terhad dan memelukan pengawasan yang cukup. Perkembangan percakapannya juga sederhana.

“Kak, bila mak nak datang? Ahmad nak balik.”

“Ahmad rindu rumah ke?” Dia mengangguk pantas.

“Kalau Ahmad nak balik, Ahmad kena dengar cakap mak, nenek dengan kakak. Tak boleh nakal-nakal. Jangan pukul dan gaduh-gaduh. Boleh?”

“Boleh! Ahmad nak balik. Nak main bola dengan  kawan-kawan.”

Pak cik yang asyik berbual bersama saya tadi, tiba-tiba menyampuk dan menyuruh Ahmad sembahyang. Katanya dah masuk waktu. Geli hati saya. Waktu itu baru pukul 10 pagi. Lekas Ahmad bangun dan mengambil wudhu. Habis basah bajunya. Dia menuju ke pentas kecil di sebelah meja kami dan sembahyang. Selepas habis pergerakan dua rakaat dan salam, dia kembali duduk bersama kami.

“Pandai la Ahmad sembahyang. Bagus betul. Nanti kakak bagitahu nurse, Ahmad baik kat wad dan janji tak nak nakal. Ahmad tak nak kena pukul kan?”

“Tak nak.”

“Ok. Nanti Ahmad balik, jangan lupa solat dan doa kat Tuhan hari-hari. Jadi anak yang baik, tak nak susahkan mak dengan nenek. Baru la kakak sayang.”

Habis saja saya berkata-kata, Ahmad meletakkan kepalanya dibahu kiri saya. Saya terkedu. Sayang. Itulah perasaan yang dia tunjukkan kepada saya, orang asing, yang berbual dengannya selama setengah jam. Saya membiarkan saja Ahmad merehatkan kepalanya dibahu dan sambung berbual dengannya.

 Dia dihantar ke hospital kerana berkelakuan agresif terhadap ahli keluarganya dan hari ini, telah masuk hari keempat. Patutlah dia rindu nak balik ke rumah. Pesakit seperti Ahmad selalunya kurang mendapat kasih sayang dari ahli keluarga. Saya akur, bukan mudah untuk menjaga kanak-kanak yang mengalami ‘Intellectual Disability’. Walau demikian, dengan sedikit perhatian dan layanan yang lembut, pasti dapat kita mengurangkan kelakuan agresif mereka. Mereka bertindak mengikut emosi dan apa yang mereka nampak. Jadi, sekiranya mereka kerap terdedah dengan layanan yang kasar dan dipukul setiap kali melakukan kesalahan, sudah pasti ia akan memberikan kesan yang negatif kepada mereka.

Terdapat pelbagai faktor mengapa ‘Intellectual Disabilityboleh terjadi. Antaranya adalah keturunan, masalah  kesihatan ibu dan janin semasa mengandung, masalah kesihatan semasa kecil terutama sekali jangkitan kuman pada otak serta, faktor persekitaran yang tidak sihat dan kondusif untuk tumbesaran kanak-kanak. Kebanyakan daripada faktor ini boleh dicegah pada peringkat awal seperti pengambilan suplemen tambahan semasa hamil, doktor mengenalpasti dan memberikan rawatan segera sekiranya berlaku komplikasi sewaktu hamil, tidak mengambil alkohol, rokok atau ubat-ubatan yang boleh membahayakan ibu dan kandungannya, vaksinasi kepada ibu dan bayi, serta menyediakan persekitaraan yang baik untuk kanak-kanak membesar.

Ibu bapa dan ahli keluarga juga perlu mengikuti terapi untuk membantu mereka faham tentang keadaan ini. Ini kerana, kanak-kanak seperti Ahmad memerlukan sokongan dari keluarga mereka untuk berhadapan dengan masyarakat yang skeptikal dan kurang faham akan ‘Intelectual Disability’. Malah, pelajar perubatan juga perlu berani dan membuang sikap skeptikal itu. Ada segelintir yang enggan mendekati pesakit kerana takut dan beranggapan tidak ada apa yang boleh dipelajari daripada mereka.

Mungkin dari segi teori, tidak banyak yang dapat saya peroleh. Akan tetapi, Ahmad mengajar saya erti hidup, kasih sayang dan keikhlasan. Setengah jam bersama Ahmad memberi impak yang besar terhadap saya. Hormat, sayang dan fahamilah mereka. Allah menjanjikan syurga kepada mereka jadi mengapa kita harus membenci dan memandang enteng terhadap pesakit yang kurang dari segi inteleknya.

Dr. Anis Nabillah adalah editor bagi The Malaysian Medical Gazette dan seorang pegawai perubatan siswazah yang bekerja di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box