Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan peningkatan mendadak kes Chikungunya iaitu sebanyak 39 kes telah dilaporkan. Dari jumlah ini, sehingga 23 kes telah dilaporkan di negeri Selangor. Namun, Chikungunya ternyata jarang diperkatakan. Adakah Chikungunya ini sama dengan demam denggi? Adakah ianya bahaya? Sebelum ini kita seringkali didedahkan berkenaan demam denggi berbanding dengan jangkitan kuman bawaan nyamuk yang lain. Oleh itu, ikuti penjelasan ringkas berikut berkenaan perbezaan dan persaaman Chikungunya dan denggi:
Perbezaan Virus:
Kedua-keduanya merupakan kuman virus yang boleh dialami oleh manusia terutama di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Timur Mediterranean dan Pasifik Barat. Negara Malaysia tidak terkecuali, demam denggi telah lama dilaporkan di Malaysia sejak sekitar tahun 1902 manakala Chikungunya mula diperkatakan di negara kita sejak dilaporkan pada tahun 1998. Kedua-dua virus ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang sama, iaitu nyamuk Aedes. Nyamuk Aedes mudah membiak pada tempat air bersih yang bertakung seperti bekas-bekas kosong, tayar kereta terbuang, lapik pasu bunga dan longkang. Kedua-dua virus ini akan menunjukkan gejala kepada pesakit dalam tempoh 3 hingga 12 hari selepas dijangkiti melalui gigitan nyamuk Aedes. Virus denggi mempunya empat jenis virus yang berbeza manakala terdapa tiga jenis genotaip Chikungunya (iaitu genotaip Asian, West African dan Central/East African). Wabak Chikungunya pertama kalinya berlaku pada 2008 di Malaysia.
Gejala jangkitan:
Secara umumnya, kedua-dua jangkitan ini hadir dengan gejala yang hampir sama. Malah, seseorang pesakit boleh menghidap kedua-dua penyakit dalam satu masa yang sama. Namun, amat penting untuk membezakan antara kedua-duanya kerana masing-masing memberi implikasi yang berbeza.
Chikungunya bermula dengan gejala demam panas yang mengejut berserta sakit sendi yang teruk. Ia juga mengakibatkan sakit kepala, sakit otot, sakit mata dan ruam pada kulit. Ruam kelazimannya mula muncul pada badan dan lengan. Kebiasaannya pesakit akan mengalami gejala kurang daripada seminggu dan sembuh dengan sendirinya tanpa membawa maut. Walau bagaimanapun, sebahagian pesakit mungkin boleh mengalami gejala sakit sendi yang berlarutan sehingga setahun atau lebih.
Manakala denggi boleh menyebabkan gejala demam yang berbeza keterukannya dan selalunya berlaku secara beransur. Ruam untuk denggi juga tidak berlaku sekerap yang berlaku untuk Chikungunya. Ia mula muncul di tangan, kaki dan muka. Demam denggi boleh membawa maut. Demam denggi juga boleh hadir dengan gejala-gejala yang merbahaya seperti muntah berterusan, sesak nafas, pendarahan, badan yang sangat lemah dan kurang selera makan terutama pada fasa kritikal sebelum semakin baik pada fasa pemulihan. Justeru, keperluan untuk pemerhatian dan rawatan di Hospital adalah jauh lebih tinggi untuk kes demam denggi berbanding Chikungunya.
Pengesanan:
Demam denggi dapat disahkan melalui pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan sampel darah. Ujian pengesanan antigen dan antibodi terhadap penyakit denggi dilakukan melalui dua kaedah iaitu Ujian Rapid Denggi di klinik dan Enzyme-linked immunoassay (ELISA) di makmal. Ujian Rapid denggi merupakan kaedah paling cepat dan ringkas untuk mengesan demam denggi. Manakala kes Chikungunya pula boleh disahkan dengan pemeriksaan darah yang lebih lanjut di makmal.
Rawatan:
Rawatan kedua-dua jangkitan ini adalah sama iaitu dengan memastikan pesakit mampu mengambil minuman dan makanan secukupnya. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit. Sekiranya pesakit tidak mampu minum/makan atau terdapat gejala yang merbahaya, pesakit perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. Tidak seperti demam denggi, kebanyakan kes Chikungunya hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.
Kawalan dan pencegahan:
Kedua-dua jangkitan virus ini dapat dicegah dengan menjaga kebersihan persekitaran dan menghapuskan segala kawasan pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Pemeriksaan rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali amat penting untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
Untuk pencegahan secara individu, sapuan pencegah serangga pada kulit juga boleh dipakai jika terdedah semasa keluar bersiar, terutama semasa di siang hari. Pemakaian baju berlengan panjang dan seluar panjang juga amat digalakkan semasa keluar bersiar.
Berikut adalah ringaksan perbezaan utama antara Chikungunya dan demam Denggi:
Perbezaan | Chikungunya | Denggi |
Permulaan demam panas | Mendadak | Secara beransur |
Tempoh gejala demam | 1-2 hari | 3-7 hari |
Ruam pada kulit | Kerap berlaku | Boleh berlaku |
Kehadiran gejala-gejala merbahaya | Sangat jarang | Mudah berlaku |
Sakit sendi | Kebiasaanya lebih teruk, kerap berlaku dan boleh berlarutan sehingga sebulan | Berlaku untuk tempoh yang agak singkat |
Keperluan rawatan di Hospital | Jarang | Kerap terutama dengan gejala-gejala merbahaya |
Kesimpulannya, Chikungunya dan denggi adalah dua jangkitan kuman virus yang hampir serupa tetapi tidak sama. Denggi boleh menyebaban kematian manakala Chikunguya boleh menyebabkan gejala sakit sendi yang sangat teruk. Apa yang penting, sekiranya anda mengalami tanda dan gejala penyakit-penyakit ini, tidak kiralah samada Chikungunya atau denggi, dapatkanlah rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan. Namun, pencegahan itu adalah jauh lebih baik dari mengubati. Bersama kita mencegah pembiakan nyamuk Aedes.
Dr. Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Klinik Kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau. Artikel ini ditulis sempena peningkatan kes Chikungunya untuk menigkatkan kesedaran umum.
Rujukan:
1) Garis Panduan Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Chikungunya Di Malaysia Edisi 2.
2) Clinical Practice Guidelines – Management of Dengue Infection in Adults Third Edition.
3) Guidelines for Prevention and Control of Chikungunya Fever. WHO, Regional Office for South-East Asia
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]