“Kenapa nak jadi doktor? Tak menyesal ke?”
Tinggal 3 bulan sebelum peperiksaan akhir jurusan perubatan tahun 5, semakin banyak pula soalan sinis seperti itu diajukan. Sering kali saya menepis soalan seperti itu dengan senyuman. Saya fikir adalah lebih baik jika saya fokus kepada peperiksaaan daripada terus dibelenggu fikiran negatif.
Mungkin saya boleh kongsikan bersama mengapa saya ingin menjadi seorang doktor, terutamanya dengan mereka yang bergelar pelajar perubatan dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah pun selesai menduduki peperiksaan tersebut.
Permulaan saya tidaklah sama seperti orang lain. Ada yang bercita-cita menjadi doktor sejak dibangku sekolah lagi. Ada segelintir pula, memilih jurusan perubatan kerana desakan ibu bapa. Maklumlah kakak, abang serta ibu bapa mereka adalah doktor. Maka, legasi itu perlu diteruskan. Bagaimanapun, saya bebas memilih program ijazah yang saya minati dan kursus perubatan bukanlah pilihan pertama. Sebagai seorang yang lasak, kursus kejuruteraan berada di tempat teratas sekali dalam senarai pilihan. Namun, saya tidak menghadkan diri semasa menghantar borang permohonan. Dengan perasaaan bongkak, saya mencabar diri dan berkata pada diri sendiri, “Look, you have gotten such good grades in SPM, let’s just do the toughest course available.” Semua jenis temuduga untuk 5 bidang berbeza telah saya hadiri. Darah mudalah katakan. Semua pun hendak dicuba.
Akan tetapi, bukan rezeki saya untuk mendapat bidang yang saya minati. Saya tidak diterima untuk kursus kejuruteraan. Pilihan yang ada pada masa itu adalah kursus perubatan dan Islamic Banking & Finance. “Dah sudah, macam mana nak pilih ni?” getus hati kecil ini. Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri. Setelah berbincang dengan kedua ibu bapa serta teringatkan prinsip diri yang saya pegang selama ini, untuk sentiasa melakukan dan memberikan usaha yang terbaik, saya memilih bidang perubatan. Saya fikir minat itu boleh dipupuk kemudian.
Perjalanan saya bermula diprogram persediaan Australian Matriculation (AUSMAT) di INTEC, Shah Alam. Selesai sahaja program selama setahun setengah itu, saya dihantar oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke Melaka Manipal Medical College (MMMC) Manipal, India untuk mengikuti kursus perubatan di sana selama dua tahun setengah dan kemudiannya pulang ke Melaka untuk menjalani sesi praktikal. Dua tahun pertama di India membuatkan saya sedar, kursus perubatan ini bukan sekadar cita-cita zaman kanak-kanak; hanya dengan memetik jari, sudah menjadi seorang doktor! Banyak dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi dari segi emosi, intelek, rohani dan jasmani. Menjelang peperiksaaan, saya pasti akan menelefon ibu di Malaysia sambil menangis teresak-esak kerana tidak tahan dengan tekanan yang saya alami.
Kelas 6 hari seminggu, ujian dan peperiksaan yang bersilih ganti, kes pembentangan yang perlu disiapkan serta perlunya bersengkang mata semata-mata untuk menyiapkan buku log, laporan dan lain-lain lagi. Tanyalah mana-mana pelajar perubatan dan doktor di luar sana tentang kehidupan mereka semasa di sekolah perubatan, mereka pasti memberikan jawapan yang sama. Sejak berada di sekolah perubatan lagi, kami sudah perlu mengorbankan masa hujung minggu bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menelaah atau menyiapkan kerja yang diberikan. Jikalau keluar bersama keluarga bersuka ria, rasa bersalah mula menyelubungi diri.
Apabila berada di tahun praktikal pula, harapan para pensyarah semakin tinggi. Lebih-lebih lagi terhadap pelajar perubatan tahun akhir. Iyalah, sekarang kami berhadapan dengan pesakit, maka tanggungjawab menjadi semakin besar. Kami harus tahu simptom-simptom penyakit, bagaimana hendak melakukan pemeriksaan dan cara merawat dengan betul. Kalau boleh hafal setiap baris di dalam buku rujukan, lagi bagus. Bila terlupa atau tersalah, kami dimarah atau mungkin diherdik, dek kerana kelemahan kami ini boleh membahayakan nyawa pesakit.
Pernah beberapa kali saya hilang semangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar, akibat daripada tekanan dan rutin seharian yang sungguh sibuk. Tetapi, tidaklah sehingga ingin berhenti. Jika ini terjadi, saya akan ambil masa untuk menenangkan fikiran, berehat dan melakukan perkara yang saya suka. Bagi saya, ‘time off’ seperti ini amat penting kerana inilah masa saya muhasabah diri dan mengingati kembali objektif saya berada dalam kursus ini.
Saya imbas kembali perkara-perkara yang membuatkan saya meminati bidang perubatan. Minat adalah perkara yang paling penting dan wajib ada dalam jiwa seseorang yang ingin menceburi bidang ini. Mungkin analogi yang paling senang untuk menggambarkan minat ini adalah seperti air laut yang ada pasang surutnya. Ada masanya, minat itu membuak-buak seperti air pasang dan adakalanya, ia surut.
Anda tahu apa yang membuatkan saya meminati bidang perubatan? Anda. Pesakit-pesakit di luar sana yang begitu baik mengizinkan kami belajar daripada mereka, yang sabar dengan kerenah kami menanyakan pelbagai soalan, yang kadang-kalanya tidak masuk akal. Para pesakit melayani kami dengan berhemah, faham dengan tugas serta tanggungjawab kami sebagai seorang doktor. Malah, mereka turut mendoakan kejayaan kami. Hati saya sering tersentuh dengan perkara-perkara kecil seperti ini. Pernah sekali, saya datang ke hospital dengan keadaan yang muram dan malas tetapi seorang pesakit berumur dalam lingkungan 50-an datang dengan senyuman dan melayan saya dengan baik. Terus hilang perasaan muram dan malas saya itu. Seharian saya berinteraksi dengan pesakit, saya berhadapan dengan pelbagai ragam. Mereka menceriakan hari saya. Ada segelintir yang tidak suka, tetapi saya faham akan keadaan mereka yang tidak selesa berada di hospital. Anda semua layak mendapat yang terbaik dari seorang doktor. Itulah motivasi saya. Kesihatan dan kesejahteraan anda di tangan kami, para doktor.
Selain itu, para pensyarah serta doktor-doktor yang berkaliber menjadi sumber inspirasi saya. Mereka cekap dalam melakukan tugas serta menguruskan pesakit. Mereka melatih kami cara untuk berfikir dengan kreatif dan kritis, memahami proses-proses yang berlaku dalam tubuh badan manusia. Kagum saya dengan kebesaran Tuhan dalam penciptaan manusia yang begitu sempurna. Setiap sel-sel kecil itu ada fungsi mereka tersendiri dan sebab mengapa ia dijadikan begitu.
Perkara yang paling menarik sekali adalah apabila saya dan kawan-kawan berlagak seperti detektif muda. Kami menemu duga pesakit yang baru dimasukkan ke hospital, menyiasat sebab mengapa mereka ditahan di wad. Setiap kes baru adalah satu misteri yang perlu diselesaikan. Rasa bangga apabila kami dapat memberitahu nama penyakit dengan tepat kerana ilmu yang kami belajar dapat diaplikasikan dengan betul.
Dari sini, sedikit sebanyak anda dapat lihat kehidupan kami sebagai pelajar perubatan dan sebagai seorang doktor. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak seperti kami pasti memahami. Pegawai perubatan dan doktor pakar di luar sana juga pasti pernah melalui zaman ini. Tidak dinafikan, bidang ini sangat mencabar dan banyak pengorbanan perlu dilakukan. Namun bagi saya, dengan minat, anda pasti dapat melakukan yang terbaik. Jikalau tidak, masakan kita ada ramai doktor pakar yang begitu berdedikasi merawat pesakit di hospital?
Pesanan saya kepada rakan-rakan, jika anda rasa tertekan, ambil ‘time off’ dan muhasabah diri anda. Teruskan perjuangan kerana ini bidang yang telah anda pilih. Kepada ibu bapa yang ghairah mahukan anak menjadi seorang doktor, bincanglah dengan mereka terlebih dahulu sebelum mendesak mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak minat. Ini kerana minat itu akan menentukan kedudukan mereka di masa hadapan. Akhir kata, doakan saya serta pelajar perubatan di luar sana menjadi seorang doktor yang berhemah, berdedikasi, lagi bertanggung jawab. Anda semua layak mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada kami!
Dr. Anis Nabillah merupakan anggota YCP yang baru sahaja tamat pengajian jurusan perubatan dan bergiat aktif dalam program sukarelawan yang dianjurkan oleh MIMPA.
Given that one’s passion is clear, ambition can be cultivated through proper guidance and exposure.
I’m glad you found yours and are doing extremely well!
” let’s just do the toughest course available.”
tiru my #whymedic tweet! lol :p
keep aiming high 🙂