Bermula dengan cabaran peningkatan kes Influenza di kalangan pelajar sekolah sejak Januari 2020, kini negara kita dan juga seluruh dunia digemparkan pula dengan wabak virus yang boleh membawa maut dan belum ditemui rawatan yang khusus mahupun vaksin untuk mengekang jangkitan ini – dikenali sebagai COVID-19. Jangkitan Koronavirus ini terlebih dahulu dikenalpasti bermula di bandar Wuhan, China pada hujung 2019 sebelum merebak ke negara serantau yang lain.
Sehubungan dengan itu, langkah pencegahan telah diperkenalkan dengan giat, termasuklah galakan penggunaan topeng muka dan hidung bagi mereka yang berisiko terdedah kepada jangkitan ini. Persoalannya, sejauh manakah pemakaian topeng ini berkesan dalam mencegah jangkitan, terutama jangkitan Koronavirus ini? Jawapannya bergantung kepada jenis topeng dan cara pemakaiannya yang betul. Justeru, mari kita kenali dengan lebih lanjut berkenaan penutup mulut dan hidung ini.
JENIS PENUTUP MULUT DAN HIDUNG
1) Penutup muka / pembedahan – satu lapisan
Penutup mulut dan hidung jenis ini seringkali digunakan kerana harganya yang jauh lebih murah dan ringan untuk dipakai. Namun perlulah disedari topeng ini dicipta bertujuan ketika para staff kesihatan sedang melakukan prosedur bagi mengelakkan tempias cecair atau lendir terkena dari atau ke kawasan muka. Ianya agak ringkas dan tidak mampu menapis mahupun menghalang kemasukan kuman seperti virus atau bakteria. Topeng jenis ini selalunya hadir dengan dua tali pengikat dihujung untuk disangkut pada telinga atau tali untuk diikat pada keliling kepala.
2) Penutup muka / pembedahan – tiga lapisan
Penutup mulut dan hidung ini hampir sama dengan kategori penutup muka yang pertama tadi tetapi dihasilkan daripada tiga lapisan permukaan dan sedikit sebanyak mampu mengelakkan penyebaran virus Koronavirus melalui pernafasan secara umum. Ianya antara yang sesuai untuk digunakan oleh orang awam seperti yang telah dinyatakan oleh pihak pakar perunding penyakit berjangkit baru-baru ini. Namun, penutup muka jenis ini adalah jenis pakai buang di mana perlu diganti dengan yang baru setelah beberapa jam penggunaannya dan tidak boleh dipakai untuk tempoh masa yang lama dari segi keberkesanannya. Topeng ini juga selalunya tidak mempunya saiz tertentu dan kebarangkalian tidak sesuai untuk saiz muka yang kecil.
3) Topeng muka pernafasan (pakai buang)
Ianya merupakan salah satu topeng pernafasan yang mampu menapis udara dengan lebih berkesan bagi mengelakkan jangkitan kuman. Topeng jenis ini adalah menepati tahap keperluan yang telah ditetapkan oleh National Institute for Occupational Safety and Health (NIOSH), sebuah agensi berpusat di Amerika Syarikat yang menjalankan kajian dan menetapkan piawaian keselamatan para pekerja. Antara jenis topeng muka yang terkenal dalam kategori ini adalah N95. Huruf ‘N’ bermaksud topeng ini mampu menapis udara yang tidak berminyak ketika bernafas. Topeng ini direka khusus untuk menapis sehingga 95 peratus zarah halus berukuran 0.3 mikron atau lebih dalam udara pernafasan seharian. Terdapat juga jenis yang lain seperti N97 dan N100 yang merujuk kepada peratusan zarah yang berjaya ditapis. Topeng ini direka untuk melekap kemas pada muka dan menutup mulut dan hidung dengan lebih sempurna. Topeng ini tidak direka untuk diguna semula tetapi boleh dipakai sehingga melebihi lapan jam jika masih berfungsi dengan baik.
4) Topeng muka pernafasan (boleh diguna semula)
Topeng jenis ini selalunya dicipta untuk penggunaan yang berterusan dan berulang kali. Sebagai contoh, ianya digunakan oleh pegawai bomba dan mereka yang seringkali mengendalikan bahan kimia yang berbahaya. Peratusan penapisan udara juga hampir sama dengan topeng muka pernafasan pakai buang. Ianya juga agak kompleks dan lebih berat berbanding topeng atau penutup mulut dan hidung yang lain.
CARA PEMAKAIAN PENUTUP MULUT DAN HIDUNG YANG BETUL
1) Jenis Pembedahan
1-Tutup keseluruhan hidung dan mulut. Ikat tali pertama (atas) mengelilingi kepala di atas paras telinga.
2-Kemudian ikat tali kedua mengelilingi kepala di bawah paras telinga.
3-Gunakan kedua-dua belah tangan dan bentukkan kepingan logam di atas hidung mengikut bentuk hidung.
2) Jenis Pernafasan (N95)
1-Kendurkan tali getah dengan menarik antara satu hingga dua inci supaya tali getah tidak terlalu tegang.
2-Takupkan penutup mulut dan hidung bermula di bawah dagu dan logam penyepit hidung di sebelah atas hidung.
3-Letakkan tali getah pertama (atas) mengelilingi kepala di atas paras telinga.
4-Manakala tali kedua ditarik ke belakang dan di bawah paras telinga.
5-Pastikan tali getah tidak terpintal.
6-Gunakan kedua-dua tangan dan bentukkan kepingan logam membentuk bentuk atas hidung.
7-Untuk memastikan pemakaian topeng adalah sempurna, cuba hembus dengan kuat ketika anda memakai penutup muka atau topeng tersebut:
- Sekiranya udara keluar dari keliling hidung, bermaksud pemakaian topeng tersebut adalah longgar dan tekan sekali lagi kepingan logam supaya melekap lebih kemas pada hidung.
- Sekiranya udara keluar dari tepi topeng, ketatkan lagi tali getah ke belakang di bawah paras telinga.
Elakkan daripada langkah-langkah yang kurang tepat ketika masih memakai penutup mulut dan hidung:
1-Memakai penutup mulut dan hidung secara tidak sempurna
2-Menggaru dalam hidung atau mulut dengan memasukkan jari di celah topeng
3-Mendedahkan hidung
4-Berkongsi topeng dengan orang lain
5-Mengguna semula penutup mulut dan hidung yang telah dipakai (bukan jenis pakai semula)
6-Meletakkan penutup mulut dan hidung di merata-rata tempat setelah menggunakannya. Seharusnya hendaklah dibuang ke dalam bekas sampah tertutup.
Kesimpulannya, penggunaan penutup mulut dan hidung mampu mencegah penyebaran dan jangkitan kuman asalkan masyarakat umum bijak memilih jenis penutup mulut yang telah disarankan, mengikut keperluan dan keadaan serta memakainya dengan cara yang tepat dan betul. Langkah pencegahan paling penting adalah menjaga kebersihan diri (kerap membasuh tangan dengan betul https://www.mmgazette.com/2019-ncov-who-menyarankan-semua-untuk-kerap-mencuci-tangan-tetapi-bagaimana-cara-cara-yang-tepat-dan-betul-dr-farizah-mohd-hairi/) dan elak terdedah kepada situasi yang berisiko tinggi jangkitan (seperti tempat sesak atau pergi melawat tempat yang telah dinyatakan sebagai berisiko tinggi).
Ditulis oleh:
Dr Shaiful Ehsan
Pakar Perubatan Keluarga
International Islamic University Malaysia
Rujukan:
1) UpToDate – Patient education: COVID-19 (2019 novel coronavirus).
2) Institute of Medicine. 2006. Reusability of Facemasks During an Influenza Pandemic: Facing the Flu. Washington, DC: The National Academies Press. https://doi.org/10.17226/11637.
3) MyHealth – Penutup Mulut dan Hidung
4) Metro (30 Jan 2020) – Topeng muka tiga lapis paling selamat
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]