Apabila MMG meminta saya menulis sesuatu sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia yang menggendong tema “Young People and Mental Health in a Changing World”, saya sedikit buntu mahu disajikan topik apa. Selang beberapa jam (dan hari) rupanya bukan topik yang merisaukan saya tetapi ada perkara lain. Kita letakkan di tepi dahulu kerisauan itu. Mari kita perkatakan tentang Daya Kebingkasan (resilience) anak muda.
Bingkas ini bangkit dari jatuh, dari bawah, dari sesuatu yang buruk dan barangkali hina. Bangun dengan cergas setelah ditolak jatuh dan diterajang oleh ujian-ujian hidup. Daya kebingkasan harus ada untuk setiap sosok manusia. Daya kebingkasan seolah-olah satu benteng atau senjata halimunan sang manusia untuk memerangi musuh-musuh kehidupannya samada bentuk fizikal, psikologikal atau spiritual. Daya kebingkasan berupaya melindungi insan dari kesan jangka panjang stres iaitu penyakit mental. Senarai pendek di bawah ini bukan bermaksud ia sebagai ramuan sakti menghindarkan sihir kejahatan penyakit-penyakit psikiatri ini. Ia adalah kesimpulan yang diambil dari pengalaman penulis menggeluti isu kesihatan mental. Penyakit mental, jika ada, tetap perlu dirawat dengan profesional dan mengikut susur galur yang betul.
Ada beberapa tabiat kecil yang memupuk daya kebingkasan ini:
- Hubungan sosial
- Walaupun zaman moden ini menuntut ketidakbergantungan, hakikatnya berkali-kali sudah pakar dan saintis membuktikan hubungan manusiawi itu resepi paling mujarab membina kendiri dan jati diri.
- Ketidakbergantungan mutlak bukan jalan harmoni.
- Tradisi memaafkan
- Terkait dengan hubungan sosial, sekali lagi sains menyarankan sikap memaafkan ini diamalkan kerana ia ada unsur neurobiologi yang boleh membentuk sifat positif dalam menanggapi cabaran hidup.
- Kebaikan yang kecil
- Tidak perlu menjadi adiwira cuba menyelamatkan jutaan anak pelarian atau berhempas pulas mencipta teknologi menghapuskan kebuluran dunia ketiga, tetapi cukup dengan kebaikan kecil seperti memberi makan tengahari untuk seorang, memberi pesanan ringkas positif untuk dua tiga rakan yang di dalam kesusahan atau menolong membersihkan ruang awam atau tandas masjid.
- Syaratnya, kebaikan kecil ini melibatkan satu (atau lebih) orang lain tanpa pengharapan apa-apa.
- Syarat keduanya, harus ada ketekalan dan konsisten.
- Empati
- Empati yang sesungguhnya, iaitu meletakkan diri kita pada situasi orang lain. Bukan sahaja apabila berhadapan dengan orang susah (yang kita tidak kenali) tetapi empati lebih menarik diaplikasikan apabila berhadapan dengan orang yang menjengkelkan atau orang yang kita sedang berargumentasi.
- Empati adalah satu sikap yang menuntut perenungan. Ia tidak automatik dan tidak boleh berlaku lewat nasihat atau paksaan. Berempati memerlukan latihan dan sekali lagi ditekankan, perenungan.
- Pelabelan emosi,
- Anak muda (atau anak yang tidak begitu muda juga) harus disedarkan bahawa emosi satu reaksi dan emosi bukan pengakhiran segala-galanya.
- Rasa/emosi dan bertindak/pelakuan ke atas rasa itu adalah dua perkara berbeza. Rakan baik melakukan prank nakal lalu kita, sebagai mangsa prank itu, marah semarah-marahnya. Marah itu tidak dinafikan tetapi apa yang kita lakukan dengan marah itu yang wajib direnung dan difikirkan. Adakah mahu menumbuk rakan itu? Menyimpan dendam dengan pembalasan yang paling hebat di masa depan? Atau menggunakan marah itu dengan berjogging, bermain muzik atau menulis ekspresif di jurnal atau menangis di hamparan sejadah meminta pada Tuhan? Perasaan marah itu datang tanpa boleh ditahan-tahan dan terima sahaja ia. Tapi reaksi terhadap marah itu sesungguhnya di dalam kawalan kita. Terpulang pada anak muda apa yang harus dilakukan dengan marah itu.
- Isu penyakit mental dan stres kronik menjadi masalah kerana sebab ini. Manusia sering tidak dapat membezakan emosi itu dengan reaksi terhadap emosi itu. Manusia harus sedar bahawa emosi seperti sedih, marah dan lain-lain itu adalah natural. Cuma sahaja bertindak merosakkan diri i.e menghisap dadah, itu tidak boleh disamakan dengan perasaan tersebut. Tindakan terhadap emosi itu boleh dipilih-pilih (yang merosakkan atau yang membina diri) walaupun emosi yang dirasakan tidak boleh dipilih-pilih.
Soalnya adakah daya kebingkasan atau resilience ini sesuatu yang ada semulajadi di dalam diri anak-anak muda generasi millennial atau Y (lahir pasca 1984 menurut definisi Simon Sinek) dan generasi Z (lahir antara 1996-2010) ini? Apabila menonton parodi YouTube “A Millenial Job Interview”, dalam sinis kita mentertawakan Amy yang memohon pekerjaan itu, kita merenung dengan tidak tenteram apa yang sudah berlaku pada dunia zaman ini. Kemudian kita menonton pula klip Simon Sinek tentang millennial di tempat kerja, ia sedikit-sebanyak memberi kita faham.
Semua ini boleh dipendekkan, dalam satu rumus; kemajuan peradaban membawa manusia bertemu kapitalisme dan modernisme. Kemudian kedua ini memberanakkan individualisme dan ia perlahan tumbuh menjadi narsisisme. Itulah kitaran dunia yang kita lihat sekarang. Pewaris dunia adalah anak-anak sekarang yang dibesarkan dalam dunia yang kita sediakan dalam keadaan individualistik dan narsisistik. Maka persoalannya adakah daya kebingkasan (resilience) mereka sama seperti daya kebingkasan generasi perang dunia/ pasca perang dan kita sendiri (bergantung siapa anda/kita yang membaca ini)?
Saya kembali tentang kerisauan saya awal tadi. Menulis dan membincangkan tentang masalah anak muda, seperti daya kebingkasan ini barangkali bukan masalah utama. Yang saya bimbangkan, siapa yang membaca tulisan ini? Siapa yang akan mewacana artikel ini, golongan baby boomers (lahir pasca perang, lahir antara tahun1946-1964) atau generasi X (lahir pada penghujung 1960an hingga awal 1980an)? Kita berpanjang lebar berdiskusi tentang anak muda, tapi apakah mereka merasakan kita relevan dan mendengar percakapan kita? Mereka di sebelah kita, menghirup udara yang sama dan barangkali menikmati makanan yang serupa tetapi adakah mereka bercakap dalam ‘bahasa yang sama’? Kita mengadu mereka tidak memahami kita tetapi sebaliknya juga benar, mereka juga barangkali hairan mengapa kita tidak memahami mereka. Persoalan utama bukannya pengisian itu tetapi wahana dan alat perhubungan kita itu, adakah saluran dan gelombang komunikasi kita seiring lantas mesej-mesej penting seperti Daya Kebingkasan ini sampai ke pundak dan cepu jemala intelektual mereka.
Bak kata Amy ketika ditanya tentang Facebook dalam temudaga kerjanya (dengan ketawa yang dipanjangkan helanya), “..that’s for old people, like my parents…”
Jadinya ‘Amy’, adakah kau membaca tulisan ku ini?
Dr Zul Azlin juga mengulas kemurungan dalam generasi muda (Millenial dan Generasi Y) dalam buku terbarunya “Depresi: Terpuruk Rasa Ingin Mati”. Dapatkan di toko-toko buku berdekatan atau langsung sahaja ke facebook beliau (ya Amy, I am one of those old people) https://web.facebook.com/zulazlin.razali.1
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]