Denggi: Sikap Negatif Yang Perlu Dielakkan #MsiaEndsDengue – Dr Helmy Hazmi

Sumber: www.thestar.com.my

Sumber: www.thestar.com.my

Denggi: Sikap negatif yang perlu dielakkan

Anda bersetuju dengan pelbagai warta anti-denggi yang diwar-warkan. Anda simpati dengan mangsa-mangsa denggi dan berfikir, “Ya, tindakan perlu diambil. Kita tak boleh kalah dengan nyamuk yang kecil!”

Namun pada minit seterusnya semangat anti-denggi itu terus dilupakan. Semuanya hangat-hangat tahi ayam.

Ingat bagaimana sesetengah rakan sekelas digelar “Bob” atau “gedempol” kerana mereka berbadan besar? Atau “kaki galah” kerana kaki yang panjang atau “kaki bangku” kerana tidak pandai bermain bola sepak? Dalam separuh sedar kita meletakkan label menyingkap peribadi masyarakat setempat di kawasan wabak denggi.

Berikut adalah contoh-contoh sikap negatif masyarakat setempat yang mungkin wujud di kawasan wabak denggi. Pastikan anda tidak termasuk dalam golongan-golongan tersebut.

TIDAK PEDULI @ Peduli apa aku??!

Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan mencegah denggi tapi enggan melaksanakannya. Kebanyakan warga Malaysia sedar akan penyebab-penyebab denggi dan cara-cara menghapuskannya tetapi bersikap acuh tak acuh dalam mengambil tindakan.

TIDAK BERDIKARI @ Ini semua salah dia!

Golongan ini sentiasa bersahut “Kerajaan harus bertindak untuk menyelesaikan wabak denggi”. Mereka berkeupayaan sempurna, berbadan sihat dan waras berfikir. Namun memilih untuk duduk di dalam lubang cacing – berpanas bawah matahari yang terik menunggu hujan turun.

PENGOTOR @ Oh, rumah kau tu yang ada kelapa berlonggok kat depan tu ek?

Wabak denggi di kawasan perumahan biasanya mempunyai satu ciri yang sama – tahap kebersihan yang kurang memuaskan. Di kawasan perumahan begini boleh dilihat botol-botol plastik bertaburan, tayar lama terbiar di persimpangan, serta bauan yang tidak menyenangkan dari longkang-longkang tersumbat. Jelas kelihatan penduduk kawasan tersebut suka tinggal bersama nyamuk.

PERCAYA PERKARA TAHAYUL @ Ini semua konspirasi! Jangan percaya!!

Manusia-manusia seperti ini percaya mereka kebal terhadap denggi. Kepercayaan bahawa sistem imun yang kuat hasil latihan gim yang kerap akan melindung dari jangkitan apabila digigit nyamuk pembawa denggi.

Ada juga yang percaya pengambilan daun betik, jus jambu batu dan 100plus boleh menghindari denggi dan mengubatinya.

Terdapat juga kepercayaan bahawa membiasakan diri digigit nyamuk boleh melalikan badan dari nyamuk Aedes. Bagi mereka yang berumah di sebelah hutan, mereka tidak mengendahkan nyamuk dan menganggap nyamuk-nyamuk ini tidak merbahaya dan suci kerana berasal dari hutan. Ada juga orang-orang tua yang percaya gigitan nyamuk tidak dapat menembusi kulit mereka yang tebal.

KURANG KEFAHAMAN @ Kawasan denggi? Macam bersih je..!

Kumpulan hidup dalam penafian. Kaum Adam terutamanya memandang rendah sang nyamuk dan fikir nyamuk turut gentar dengan mereka. Nyamuk tidak mempedulikan sama ada anda olahragawan pingat emas atau tidak ketika mencari mangsa dalam kelaparan.

Selagi anda berada dalam persekitaran nyamuk tersebut, anda tetap menjadi sasarannya.

TIDAK DISIPLIN @ Buang je, nanti ada orang sampah mai pungut!

Di Jepun, semua penduduk rumah pangsa bertanggungjawab untuk kebersihan kawasan tersebut. Pada setiap Ahad pertama, ketua setiap rumah atau keluarga wajib mengambil bahagian dalam gotong-royong. Kegagalan menghadiri gotong royong tersebut akan dikenakan denda. Setiap keluarga atau rumah diperuntukkan dalam jadual untuk membersihkan sampah-sampah besar.

Bayangkan perkara ini diamalkan di Malaysia. Bak pepatah lama, alah bisa tegal biasa, dan denggi akan tinggal hanya sejarah. Di mana nilai-nilai murni yang selalu dibanggakan?

Adakah masyarakat setempat terlalu lali melihat sampah melimpah keluar tong sampah hanya untuk dikerumuni nyamuk? Adakah masyarakat sudah leka dengan kayu buruk dan tayar lama dan dianggap sebagai perhiasan di tepi jalan?

Saya pasti anda tidak mahu dikaitkan dengan sifat-sifat seperti yang dinyatakan. Melawan denggi ialah peperangan yang memenatkan. Ianya memeras tenaga semua orang terlibat. Kita perlukan keajaiban. Keajaiban yang datang daripada diri kita sendiri – tenaga rakyat.

Dr. Helmy Hazmi pakar perubatan komuniti serta pengkhususan dalam bidang Epidemiologi dan Biostatistik. Beliau kini bekerja di Sarawak. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemah dari artikel asal https://www.mmgazette.com/dr-helmy-hazmi/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan:

  • Wong, L. P., & AbuBakar, S. (2013). Health beliefs and practices related to dengue fever: a focus group study. PLoS Negl Trop Dis., 7(7).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box