Di mana Smartphone Kita di Hari Raya Nanti? – Dr Zul Azlin Razali

Sumber gambar: Watsons

Syawal itu datang bergandingan dengan kegembiraan dan ketulusan. Kegembiraan untuk manusia ghalibnya terkait dengan semangat kekitaan atau kebersamaan. Ini kerana manusia itu sendiri spesis sosial. Kehidupan bersosial tidak syak lagi adalah keperluan abadi sepertimana berkehendaknya manusia pada air dan udara.

Apa jadi jika temasya Syawal ini kering makna sosial? Ah, pilu rasanya jika sambutan hari mulia ini tidak berteman dengan yang tersayang. Mujurlah Tuhan itu pemurah. Dia memberi manusia akal dan dipendekkan cerita, muncullah telefon pintar dari rahim sains. Telefon pintar dan media sosial mempertemukan yang tidak pernah kenal, mengeratkan yang dekat dan mengintimkan yang rapat. Kehendak bersosial dipermudahkan lagi dengan teknologi. Manusia berdamai dan bersorak. Tiada yang mempersoalkan ini.

Akan tetapi apa akan berlaku jika hari yang dinobatkan sebagai hari kemenangan ini hanya membawa keintiman buat-buat? Apa akan jadi jika benda yang dikatakan oleh Sherry Turkle itu betul? Dalam bukunya, “Alone Together: Why We Expect More From Technology And Less From Each Other” (2011), Turkle membentak yang kita ini makin cetek dalam perhubungan. Ini satu persoalan. Malahan satu kebimbangan.

Wohn, Peng dan Zytko pada tahun lepas membicarakan tentang apa bezanya bertemu muka dengan interaksi di alam maya (social networking site). Berdasarkan dapatan mereka, kedua-dua cara perhubungan ini berpotensi tinggi menatijahkan mood yang positif seperti gembira. Sesuatu yang kita sudah tahu bukan? Namun, ada dapatan lain yang dikira lebih penting iaitu interaksi temu muka (face to face) sahaja yang lebih mujarab mengurangkan rasa kesunyian dan interaksi temu muka yang lebih efektif untuk manusia mencapai kepuasan hidup berbanding interaksi alam maya.

Adakah perhubungan lewat teknologi boleh menggantikan hubungan temu muka yang organik sifatnya? Adakah ‘likes’, ‘follow’, atau ruangan ‘comment’ itu serupa dengan pujian verbal yang disertai riak muka sebenar? Adakah ikon ibu jari (thumbs up) itu membawa maksud seikhlas isyarat anggukan dan senyuman muka manusia sebenar? Penzahiran emosi di alam media sosial itu selalunya lebih positif tetapi ia tidak semestinya mencerminkan rasa sebenar. Baumgartner dan rakan-rakan (2017) sudah berhujah tentang perkara ini. Dia berpendapat bahawa manusia itu mungkin cenderung untuk tidak jujur tatkala mendedahkan emosi dalam wadah sosial media.

Sumber gambar: Watsons

Kita tidak menafikan kepentingan gajet dan telefon pintar. Kita tidak mahu masyarakat itu terperlus dalam kemunduran dan menjadi jumud tidak tentu fasal. Pesanan ini cuba mengengsot di celah-celah kemajuan ini dengan mesej bahawa manusia itu terkadang lupa apa yang utama. Dek sudah menjadi tabiat tangan itu berkelintar di keypad, sosok-sosok di depan mata tidak disantuni walaupun bergelar saudara. Dek sudah biasa bergulat dengan media sosial, kekok sungguh gayanya untuk memulakan bicara. Mungkin juga sudah sedikit ketagih ‘likes’, dia sudah tidak nampak lagi apa yang indahnya perhubungan manusia dunia sebenar itu. Dek sibuk berkongsi gambar baju baru dan ucapan Hari Raya dengan friends/followers, kita lupa mendoakan dengan sungguh-sungguh pak cik mak cik di depan mata yang kita sendiri pun tidak pernah ambil tahu penyakit mereka. Kita beraya sama-sama tetapi kita tidak bersama.

Syawal datang lagi seperti dulu-dulu juga dengan pengharapan, ketulusan dan kegembiraan. Apabila dia datang nanti, mahu tidak kita selfie bersama?

Selamat Hari Raya.

Rujukan:

  1. Wohn, D. Y., Peng, W., & Zytko, D. (2017, May). Face to Face Matters: Communication Modality, Perceived Social Support, and Psychological Wellbeing. In Proceedings of the 2017 CHI Conference Extended Abstracts on Human Factors in Computing Systems(pp. 3019-3026). ACM.
  2. Waterloo, S. F., Baumgartner, S. E., Peter, J., & Valkenburg, P. M. (2017). Norms of online expressions of emotion: Comparing Facebook, Twitter, Instagram, and WhatsApp. new media & society, 1461444817707349.

Dr Zul Azlin Razali seorang pakar psikiatri yang bertugas di USIM. Beliau ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak sidang pembaca yang budiman untuk menyertai Persidangan Antarabangsa Kesihatan Mental Muslim (International Muslim Mental Health Conference) 2018, yang akan berlangsung selepas Raya ini, pada 3-6 Julai 2018. Pelbagai tajuk yang relevan, penting dan terkini untuk marhaen dibentangkan.

Layari https://muslimmh2018.wixsite.com/mmh2018

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box