Diabetes mellitus (Kencing manis) dan Penglihatan Anda – Diana Mohamed (Optometris)

Pak Hassan (bukan nama sebenar) mengeluh. Beliau memandang ke arah ubat kencing manis yang baru sahaja diambil dari klinik. Baru sahaja doktor memulakan rawatan insulin untuk membantu kawalan gula dalam darahnya. Maklum sahaja usai musim perayaan, segala jenis juadah pasti tidak ketinggalan dijamah.

Masih terdengar-dengar suara doktor yang menasihatkan agar menjaga pemakanan untuk mengawal penyakit diabetes yang dialaminya. Bacaan gula dalam darahnya meningkat tinggi. Sambil menggosokkan cermin matanya, rasa tidak puas hati mula menguasai diri. Cermin matanya kini seperti tidak membantu pandangannya. Adakalanya penglihatannya terang sahaja dan adakalanya kabur tidak menentu. Sudah tiga kali cermin mata ditukar tetapi masalah sama berlaku lagi.

 

Pak Hassan merupakan antara penghidap diabetes mellitus (DM) atau turut dikenali sebagai penyakit kencing manis di Malaysia. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, seorang daripada lima orang rakyat Malaysia mengidap penyakit yang tidak berjangkit ini.

Pesakit DM boleh mengalami pelbagai masalah mata termasuk katarak, glaucoma, masalah kornea (keratopathy), paralisis saraf okulomotor dan juga masalah retina (diabetic retinopathy). Namun pada peringkat awal, kekaburan yang bersifat sementara kerap berlaku. Keadaan ini seringkali menyebabkan pesakit bertindak menukar cermin mata dengan kerap. Artikel ini mengulas tentang bagaimana Diabetis Mellitus mempengaruhi perubahan tahap penglihatan seseorang.

 

BAGAIMANA DIABETES MELITUS MEMPENGARUHI TAHAP PENGLIHATAN ANDA

Hyperglycemia atau yang membawa maksud kandungan gula dalam darah yang tinggi, merupakan salah satu indikator pesakit DM. Perubahan aras gula dalam tubuh akan menyebabkan berlakunya perubahan refraktif yang boleh berlaku secara transient (sementara) atau kronik (berpanjangan). Keadaan ini akan mengubah tahap penglihatan seseorang.

Perubahan ketara penglihatan berlaku apabila pesakit berada dalam keadaan hiperglisemik. Biasanya pesakit akan melaporkan mula mengalami masalah kekaburan selepas mengambil makanan. Proses osmosis akan berlaku menyebabkan akues (air dalam bebola mata) masuk ke dalam kanta kristalin. Kanta kristalin merupakan bahagian dalam mata yang amat penting untuk memastikan sistem fokus penglihatan berada dalam keadaan optimum. Proses osmosis mengakibatkan ketebalan kanta kristalin bertambah dan permukaan kanta berkenaan menjadi lebih curam.

Kajian menunjukkan perubahan kuasa rabun (refractive error) adalah seiring dengan peningkatan tahap gula dalam darah. Apabila kadar gula kembali ke tahap normal, akues akan keluar semula daripada kanta kristalin dan tahap penglihatan akan kembali kepada asal. Ini menyumbang kepada perubahan tahap rabun pesakit DM.

Proses osmosis yang berterusan akibat pengumpulan sorbitol dalam kanta kristalin turut akan mengubah bentuk sel-sel kanta kristalin dalam jangka masa panjang. Ini akan menyebabkan kanta kristalin mulai tidak lutsinar dan membentuk katarak. Perubahan indeks refraktif turut berlaku dan mengakibatkan perubahan kuasa cermin mata anda, sama ada peningkatan rabun jauh atau penurunan rabun dekat (myopic shift).

NASIHAT KEPADA PESAKIT DIABETUS MELITUS

  1. Tahap penglihatan anda bergantung kepada kadar gula dalam darah. Adakalanya penglihatan akan kabur sementara apabila selepas makan dan pulih semula selepas beberapa ketika. Oleh itu, jangan tergesa-gesa untuk menukarkan cermin mata. Keadaan ini sering berlaku di kalangan pesakit DM terutamanya pada peringkat awal masalah DM.
  1. Sekiranya anda baru sahaja memulakan rawatan insulin, anda dinasihatkan untuk menunggu sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum menukar cermin mata yang baru. Biasanya akan berlaku perubahan yang drastik terhadap tahap rabun anda akibat penurunan mendadak gula dalam badan sebaik sahaja memulakan rawatan DM. Setelah 3 bulan, dengan kawalan gula dalam badan yang stabil, kuasa mata anda yang sebenar akan kembali.

Optometris biasanya akan bertanyakan tentang tahap kawalan gula anda sebelum melaksanakan pemeriksaan refraksi. Sekiranyanya aras gula dalam darah tinggi, maka terdapat keperluan untuk optometris mengulang semula prosedur berkenaan sebelum cermin mata dipreskripsikan. Ini bagi membantu optometris untuk mempreskripsikan kuasa  cermin mata yang terbaik untuk anda.

  1. Sekiranya anda mengalami masalah katarak pada peringkat awal, pengawalan tahap gula dalam darah dapat melambatkan proses pematangan katarak. Anda digalakkan untuk menggunakan cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan ultraviolet (UV) untuk mengelakkan masalah silau apabila melakukan aktiviti di luar rumah. Cermin mata tidak lagi boleh membantu pandangan anda sekiranya katarak anda telah menebal dan anda perlu mendapatkan rawatan selanjutnya dengan pakar oftalmologis. Katarak akan dirawat melalui pembedahan untuk mengeluarkan kanta kristalin yang telah legap dan menggantikannya dengan kanta intraokular.
  1. Elakkan menggunakan ubat yang mendakwa boleh menghilangkan rabun atau katarak. Tiada ubat titis yang mampu menghilangkan katarak atau rabun. Usah terpedaya dengan iklan produk yang berada di pasaran. Jangan mengambil sebarang produk tanpa merujuk dengan doktor anda.
  1. Sekiranya anda baru sahaja didiagnosakan mengidap DM, dapatkan pemeriksaan saringan fundus fotografi dengan optometris berdekatan sekurang-kurangnya setahun sekali. Masalah diabetic retinopathy merupakan penyakit mata yang boleh menyebabkan kebutaan sekiranya dibiarkan. Optometris akan merujuk anda kepada pakar oftalmologi sekiranya perlu untuk rawatan selanjutnya.
  1. Kekaburan yang mengejut dan teruk adalah antara simptom yang mungkin berlaku akibat pendarahan dalam mata akibat diabetik retinopati. Awas jika anda mengalami simptom lain seperti objek kelihatan terherot atau tompokan hitam pada pandangan mata anda, segera dapatkan rawatan dengan pakar oftalmologi sekiranya anda mengalami masalah ini.

Akhir sekali, kualiti penglihatan pesakit Diabetes Mellitus amat bergantung kepada tahap kawalan penyakit berkenaan. Semua pesakit perlu cakna terhadap tahap gula dalam darah diri sendiri bagi mengurangkan risiko untuk mengalami komplikasi penyakit berkenaan. Sayangi penglihatan anda kerana ianya terlalu berharga. Pastikan anda menjalani saringan penglihatan dengan optometris atau pakar oftalmologi sekurang-kurangnya setahun sekali untuk mengesan sebarang komplikasi diabetes pada mata anda. Pengesanan awal dapat menyelamatkan penglihatan anda.

 

RUJUKAN:

  1. Kaštelan, Snježana & Gverović Antunica, Antonela & Pelčić, Goran & Gotovac, Marta & Marković, Irena & Kasun, Boris. (2018). Refractive Changes Associated with Diabetes Mellitus. Seminars in Ophthalmology. 33. 1-8. 10.1080/08820538.2018.1519582.
  2. Huntjens, B. & O’Donnell,C. (2016) Refractive error changes in Diabetes Melitus. Optometry in Practice, 7(3) pp 103-114.
  3. Calvo-Maroto, A. M., Perez-Cambrodí, R. J., Albarán-Diego, C., Pons, A., & Cerviño, A. (2014) Optical quality of the diabetic eye: a review. Eye (London, England), (2014):28(11), 1271–1280.
  4. Andreas Pollreisz and Ursula Schmidt-Erfurth, (2010) Diabetic Cataract—Pathogenesis, Epidemiologyand Treatment, Hindawi Publishing Corporation, Journal of Ophthalmology, Article ID 608751, 8 pages
  5. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019. (2020) Institut Kesihatan Umum, Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box