Sempena Ramadhan Mubarak ini berbagai persediaan yang harus dilakukan untuk memastikan kesempurnaan ibadah. Ibu-ibu mengandung dan wanita yang sedang menyusukan anak juga tidak terlepas dari kegembiraan menyambut bulan yang mulia ini.
Kekeliruan berlaku bagi ibu-ibu mengandung sama ada berpuasa boleh menganggu kesihatan diri sendiri atau kandungan. Berpuasa di bulan ramadhan selama 13-14 jam tidak terlalu memudaratkan seperti berpuasa lebih dari 24 jam. Walaupun berpuasa tidak diwajibkan ke atas wanita mengandung yang mana kesihatan diri sendiri atau bayi yang dikandung dikhuatiri. Namun ianya adalah digalakkan jika tiada sebarang kemudharatan. Keperluan utama untuk penyediaan berpuasa adalah memastikan kesihatan sebelum mengandung dan ketika mengandung adalah di tahap yang selamat.
Cabaran terutamanya berlaku pada 3 bulan pertama kandungan dimana ramai wanita mengandung yang cenderung kepada muntah yang berlebihan, keletihan, pedih ulu hati dan juga rasa mual yang keterlaluan. Bagi wanita yang menghadapi tanda-tanda ini, adalah dinasihatkan bagi mereka untuk tidak memaksa diri untuk berpuasa kerana ini mungkin memudaratkan keadaan tersebut. Kebanyakan wanita yang mengandung di peringkat kedua dan ketiga, tidak mempunyai masalah untuk cuba berpuasa dengan memastikan pengambilan makanan yang betul. Mengandung bukan alasan untuk makan berlebihan terutamanya di bulan Ramadhan.
Pengambilan makanan tinggi protein dan berkalori seperti daging amatlah digalakkan semasa berpuasa. Manakala pengambilan makanan yang tinggi serat melambatkan proses penghadaman dan ini akan mengelakkan rasa kelaparan lebih awal dari selalunya. Untuk mengelakkan masalah penyahidrasi, elakan mengambil makanan yang tinggi sodium seperti ikan atau telur masin dan perbanyakkan pengambilan air sekurang-kurangnya 2-3 liter sehari. Waktu berbuka juga sangat penting, pengambilan makanan yang bersederhana dan kerap daripada pengambilan makanan berkabohidrat tinggi dalam masa yang singkat. Ini mungkin mengakibatkan masalah penghadaman dan memudaratkan.
Bagi wanita yang menyusukan anak, masalah yang paling dirisaukan adalah mengenai kualiti dan kuantiti susu ibu ketika berpuasa. Bagi ibu yang menyusukan anak kurang dari 6 bulan dimana pemakanan menyeluruh bayi daripada susu ibu sahaja, kemungkinan berpuasa tidak digalakkan. Permasalahan jarang berlaku bagi ibu-ibu yang menyusukan anak lebih dari 6 bulan, kerana makanan tambahan boleh diberikan.
Melalui beberapa kajian yang dibuat, berpuasa untuk tempoh kurang daripada 24 jam tidak menganggu kuantiti susu ibu. Adaptasi individu semasa berpuasa selalunya memastikan keperluan badan cukup dengan proses pembakaran kalori dan ini mungkin membantu dalam proses penghasilan susu ibu. Dari sini, kuantiti susu ibu mungkin tidak terjejas. Kualiti susu ibu juga tidak banyak berubah dan sekiranya ada adalah disebabkan pengambilan makan yang tidak seimbang ketika berpuasa terutamanya makanan tinggi magnesium, kalium dan zink yang tidak mencukupi. Untuk mengurangkan masalah ini, pengambilan pils multivitmin sampingan yang mengandungi elemen-elemen tersebut amat membantu.
Pengambilan air yang mencukupi amatlah penting. Ia membantu organ dalaman untuk berfungsi dengan baik dan ini membantu dalam proses penghadaman dan pencernaan makanan dengan baik. Selain itu untuk mengurangkan penyahidrasi, ibu-ibu digalakkan untuk mengurangkan aktiviti harian dan tidak terlalu terdedah pada cahaya matahari.
Tiada bukti menunjukkan perkembangan bayi akan terbantut kerana ibu berpuasa kerana kandungan lemak dalam susu ibu tidak berubah. Tetapi amatlah penting untuk memastikan keperluan bayi mencukupi semasa bulan Ramadhan dengan pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat serta pengambilan air yang mencukupi. Pengambilan makanan tinggi protein dan serat semasa sahur dan berbuka boleh menghindari permasalahan berpuasa semasa menyusu.
Berpuasa merupakan salah satu tuntutan sebagai umat Islam, dan sekiranya kita mampu melakukan di waktu mengandung dan meyusukan anak ini adalah sesuatu yang perlu dibanggakan. Pengambilan sahur yang sempurna adalah penting dan tidak harus diendahkan. Tahap kesihatan yang optimal sebelum, semasa mengandung dan diwaktu menyusukan bayi membolehkan ibadah tersebut dilakukan dengan berkesan dan bebas risiko samada kepada bayi ataupun ibu itu sendiri.
Mejar (Dr) Che Hasnura merupakan seorang pakar sakit puan yang pernah berkhidmat bersama pasukan tentera Malaysia di luar negara. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]