Kencing malam (nocturnal enuresis) adalah masalah yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak. Seringkali kita mendengar keluhan ibu bapa yang anak kecil mereka kencing di tempat tidur pada waktu malam. Bahkan, ada di kalangan ibu bapa yang tertekan dengan keadaan tersebut dan memarahi anak mereka kerana tidak membuang air di tandas.
Tips dan nasihat kepada ibu bapa yang anak mereka ada masalah kencing malam
- Nasihat umum (General advice)
- Masalah kencing malam adalah sesuatu yang kerap berlaku. Kajian mendapati 15 peratus daripada kanak-kanak berusia lima tahun mengalami masalah kencing malam sekurang-kurangnya sekali seminggu.
- Masalah kencing malam akan bertambah baik dengan sendirinya untuk kebanyakan kanak-kanak.
- Kencing malam bukanlah kesalahan kanak-kanak, dan mereka tidak seharusnya dihukum kerana kencing malam.
- Kanak-kanak digalakkan untuk kencing secara tetap pada siang hari dan sejurus sebelum mereka tidur pada waktu malam (dalam empat hingga tujuh kali). Sekiranya kanak-kanak bangun pada waktu malam, bawa mereka ke tandas.
- Elakkan minuman bergula dan yang mengandungi kafein, terutamanya pada waktu lewat petang.
- Adalah sangat digalakkan kanak-kanak minum dengan kadar yang banyak pada waktu pagi dan awal tengah hari untuk mengelakkan pundi kencing mereka penuh pada waktu malam. Penggunaan diari 24 jam yang merekodkan kadar pengambilan minuman kanak-kanak amat membantu. Ibu bapa boleh membuat jadual khusus untuk mengasingkan jumlah pengambilan minuman pada waktu pada pagi, tengah hari dan petang. Sebagai contoh : 40% minuman diambil pada waktu pagi, 40% pada waktu tengahari dan 20% pada waktu petang. Kaedah ini disarankan sekiranya ia membantu kanak-kanak tersebut untuk tidak kencing malam.
- Ingatkan anak-anak untuk membuang air kecil sebelum mereka tidur dan ajar mereka untuk bangun dan membuang air kecil di tandas apabila mereka berasa hendak kencing.
- Bantu mereka untuk mengenalpasti kedudukan tandas dengan menggunakan bantuan lampu pada tandas itu sendiri dan laluan ke tandas. Ibu bapa perlu pertimbangkan penggunaan tempat duduk tandas (potty seat) di dalam bilik anak-anak sekiranya kedudukan tandas jauh daripada bilik mereka.
- Berhenti menggunakan lampin pakai buang kerana ini akan menyukarkan anak-anak daripada bangun untuk ke tandas, terutamanya kanak-kanak berumur 8 tahun ke atas. Lampin pakai buang boleh digunakan sekali sekala dalam keadaan tertentu seperti ketika bermalam di rumah saudara mara.
- Penggunaan cadar atau lapik kalis air dapat membantu daripada bau air kencing yang kurang menyenangkan.
- Sekiranya kanak-kanak kencing malam, galakkan mereka untuk ke tandas sebelum menukar kepada baju baharu. Ibu bapa boleh meletakkan tuala kering di atas bahagian katil yang basah, atau boleh mengasingkan katil kepada beberapa lapisan, berselang-seli cadar yang dipasang dengan pad kalis air. Ini dapat membantu mengeluarkan baju dan cadar yang basah dengan cepat dan mudah dan mengelakkan keperluan untuk mengemas semula katil. Tinggalkan baju tidur dan tuala kering supaya kanak-kanak dapat mencarinya dengan mudah.
- Anak-anak perlu digalakkan untuk membantu mengemaskan katil pada waktu pagi, termasuk menyalin dan membasuh cadar. Pastikan anak-anak membersihkan diri secara kerap untuk mengelakkan bau air kencing pada kulit mereka.
- Ibu bapa hendaklah berpesan kepada adik beradik yang lain supaya tidak mengejek anak-anak yang kencing malam.
- Terapi perbuatan (Behavioural therapy) untuk kencing malam
- Terapi motivasi (Motivational therapy)
Terapi motivasi melibatkan rekod perkembangan kanak-kanak. Mereka akan mendapat ganjaran yang lebih sekiranya lebih lama tidak kencing malam. Ibu bapa dan anak-anak perlu bersetuju tentang ganjaran dan boleh meletakkan pelekat pada kalendar untuk setiap hari yang mana anak-anak tidak kencing malam. Terapi motivasi ini adalah kaedah yang bagus untuk dicuba kepada kanak-kanak yang kecil.
- Loceng kencing malam (Bedwetting alarm)
Antara kaedah paling efektif untuk mengawal kencing malam adalah dengan menggunakan loceng kencing malam. Kaedah ini selalunya dikhususkan kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke atas dan tidak digunakan sebagai rawatan peringkat awal disebabkan faktor kos yang tinggi dan memerlukan motivasi yang tinggi. Ibu bapa mungkin boleh mencuba kaedah loceng ini sekiranya latihan terapi perbuatan tidak berjaya selepas tiga hingga enam bulan. Kaedah loceng ini berfungsi menggunakan sensor yang mengesan titisan air kencing yang keluar pada peringkat awal. Apabila sensor diaktifkan, ia akan memberi signal kepada loceng yang bertindak untuk mengejutkan kanak-kanak melalui bunyi, cahaya atau getaran. Walau bagaimana pun, ada sesetengah kanak-kanak tidak bangun, walaupun loceng tersebut berbunyi. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan membantu mengejutkan anak-anak pada peringkat awal, walaupun anak-anak akan belajar bangun dengan sendirinya selepas itu. Proses ini penting dan akan menentukan kejayaan terapi loceng. Anak-anak perlu bangun dan sedar sewaktu proses hendak ke tandas pada waktu tengah malam dan bukannya mengigau sepanjang tempoh tersebut. Penggunaan loceng ini akan diteruskan sehingga anak-anak tidak lagi kencing malam selama tiga hingga empat minggu berturut-turut. Ini akan mengambil masa antara lima minggu sehingga enam bulan. Turutan ini akan dimulakan semula sekiranya anak-anak masih kencing malam.
- Rawatan ubatan (desmopressin)
Desmopressin merupakan ubat yang dapat mengurangkan penghasilan air kencing. Ia digunakan untuk merawat masalah kencing malam di kalangan kanak-kanak. Dalam kebanyakan kes, terapi motivasi dan loceng kencing malam akan dicuba terlebih dahulu selama tiga hingga enam bulan sebelum rawatan desmopressin dipertimbangkan. Ini adalah kerana rawatan ubatan ini agak mahal, mempunyai lebih kesan sampingan dan kemungkinan untuk masalah kencing malam berulang adalah tinggi. Ubat desmopressin seharusnya digunakan bersama-sama dengan terapi perbuatan.
Ubat desmopressin boleh didapati dalam bentuk pil dan diambil sejurus sebelum tidur bagi mengurangkan jumlah air kencing yang terhasil sewaktu tidur. Ia boleh digunakan secara tetap (setiap malam) atau dalam tempoh yang singkat (contohnya ketika kanak-kanak menghadiri perkhemahan).
Kesan sampingan yang serius amatlah jarang berlaku, tetapi boleh terjadi sekiranya kanak-kanak minum terlalu banyak sebelum tidur. Sekiranya kanak-kanak mengambil ubatan ini, mereka tidak boleh minum sejam sebelum dan 8 jam selepas pengambilan ubat desmopressin. Hampir 60-70% daripada kanak-kanak yang mengambil rawatan ini mempunyai kemungkinan untuk mengalami masalah kencing malam semula. Peratusan ini boleh meningkat sekiranya kanak-kanak berhenti mengambil ubat desmopressin secara mengejut.
- Rawatan komplimentari dan alternatif
Antara rawatan komplimentari dan alternatif yang pernah dicuba kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kencing malam termasuklah akupuntur, rawatan chiropraktik dan hypnosis. Akan tetapi, tiada data saintifik yang jelas menyokong keberkesanan rawatan-rawatan ini. Justeru itu, rawatan komplimentari dan alternatif tidak digalakkan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kencing malam.
Ditulis oleh,
Dr Mohd Aizuddin bin Abd Rahman
Pakar Perubatan Keluarga,
Jabatan Perubatan Keluarga,
IIUM Kuantan
Rujukan:
- Patient education: Bedwetting in children (Beyond the Basics). https://www.uptodate.com/contents/bedwetting-in-children-beyond-the-basics?search=enuresis&topicRef=2863&source=see_link