“Doktor, berapa banyak buah kurma boleh saya makan?” Itu adalah antara persoalan yang sering diungkapkan oleh pesakit kencing manis yang juga ingin menikmati keberkatan berbuka puasa dan keindahan di dalam bulan Ramadhan. Tidak dinafikan, buah kurma atau tamar (kering) merupakan antara buah yang sangat berkhasiat dan afdal dari segi perubatan dan Islam. Namun, ia juga adalah antara buah yang manis dan perlu diambil kira, terutama oleh golongan kencing manis.
Apakah kelebihan buah tamar dari segi perubatan?
- Makanan pemberi tenaga – Sebiji buah tamar kering yang bersaiz sederhana besar mampu memberikan kira-kira hampir 70 kcal tenaga. Justeru, tidak hairanlah ianya sering menjadi juadah utama ketika berbuka puasa dan sahur oleh masyarakat Islam.
- Pencernaan yang baik – Buah kurma mengandungi tahap serat yang tinggi, yang mana mampu melancarkan sistem pencernaan usus dan mengelakkan masalah sembelit.
- Antioksida – Kurma mengandungi nutrisi antioksida yang tinggi, yang mana bagus dalam mengawal penyakit kronik dan mengekalkan kesihatan minda.
- Kesihatan jantung – Kurma mengandungi zat potassium dan magnesium yang diperlukan untuk keseimbangan fungsi jantung.
- Kesihatan tulang – Kurma juga mengandungi nutrien fosforus, kalsium, magnesium dan selenium yang membantu dalam kekuatan tulang.
- Indeks gula yang rendah – Walaupun buah tamar ini manis, ianya masih memiliki sifat indeks gula yang rendah. Justeru, tamar tidak menyebabkan kenaikan gula yang sangat tinggi sekiranya diambil secara sederhana.
- Kesihatan minda – Buah kurma mengandungi ejen antioksida dan anti-radang yang mana dapat mengekalkan kesihatan kognitif dan pemikiran yang cerdas.
Berapa banyakkah kandungan gula dalam sebiji tamar?
Sebiji tamar bersaiz sederhana besar mengandungi kira-kira 16 gram gula natural. Ini bersamaan dengan satu biji pisang, secawan anggur atau laici, mahupun sebiji epal bersaiz sederhana. Kedengaran agak tinggi bukan? Walau bagaimanapun, tamar tergolong dalam kategori buah berindeks gula rendah dan sederhana, di mana bacaan gula tidak akan terus menokok tinggi secara mendadak.
Jadi berapa banyakkah buah kurma atau tamar yang sesuai untuk pesakit kencing manis?
Walaupun buah kurma merupakan antara kategori buah yang berindeks gula rendah dan sederhana, namun ianya hanya sesuai diambil sebanyak satu ke dua biji buah sahaja dalam satu-satu masa oleh pesakit kencing manis. Ini penting bagi mengelakkan bacaan gula yang tidak stabil. Tips lain termasuklah memakan buah kurma bersama makanan lain yang mengandungi protein dan serat, seperti bersama sajian makanan utama ketika berbuka, untuk mengelakkan kenaikan paras gula yang lebih cepat.
Kesimpulannya, buah kurma atau tamar (kering) mengandungi nutrisi yang sangat tinggi dan berkhasiat. Biarpun ianya dikaitkan dengan makanan berbuka ketika Ramadhan, pesakit kencing manis hendaklah berpada-pada dalam pengambilan buah kurma, iaitu dalam kuantiti yang terkawal. Sesungguhnya kesederhanaan itu juga dituntut dalam Islam, dan keberkatan Ramadhan masih boleh dirasai dengan bersederhana.
Rujukan:
- Rahmani, Arshad H et al. “Therapeutic effects of date fruits (Phoenix dactylifera) in the prevention of diseases via modulation of anti-inflammatory, anti-oxidant and anti-tumour activity.” International journal of clinical and experimental medicine vol. 7,3 483-91. 15 Mar. 2014
- Mirghani, Hyder Osman. “Effect of dates on blood glucose and lipid profile among patients with type 2 diabetes.” World journal of diabetes vol. 15,6 (2024): 1079-1085. doi:10.4239/wjd.v15.i6.1079