Kami pakar-pakar elektrofisiologi suka membayangkan diri sebagai tukang wayar apabila menyelesaikan masalah denyutan jantung. Biasanya ketika pertama kali berkongsi diagnosis bersama pesakit yang mengalami sekatan jantung (heart block), soalan yang sering ditanyakan adalah “Doktor, adakah saluran darah dalam jantung saya tersekat?” dan jawapan saya serta-merta adalah “TIDAK, tidak sama sekali”.
Saya ingin menggunakan peluang serta platform ini untuk berkongsi bersama orang awam apa sebenarnya “sekatan jantung” dan apa yang berlaku sekiranya sekatan jantung penuh berlaku.
Kita tahu bahawa jantung mempunyai 4 ruang, bahagian dua atas, juga dikenali sebagai atrium, dan bahagian 2 bawah dinamakan ventrikel. Jantung mengepam pada kadar minimum 86400 kali sehari, dan tidak berhenti sehingga kita mati. Jadi, apa yang membolehkan jantung berdegup atau mengepam dengan efisien dan tanpa henti ialah signal-signal elektrik yang dijana secara automatik dari suatu tempat kecil dalam atrium yang dinamakan SINUS NODE (SA NODE).
Isyarat-isyarat yang dijana oleh sinus node akan melalui ventrikel menerusi ATRIOVENTRICULAR NODE (AV NODE) dan menyebabkan kedua-dua atrium mengecut semasa melaluinya. AV node mempunyai tugas khas iaitu mengawal kelajuan elektrik yang melalui atrium kepada ventrikel atau lebih dikenali sebagai gatekeeper. Dari AV node, isyarat akan melalui sel-sel khas yang hampir serupa dengan sistem wayar elektrik di rumah, memastikan isyarat dari SA node tiba di otot jantung dan mengecutkan ventrikel lalu mengepam darah keluar ke seluruh badan.
Bagus, kini anda telah memahami asas sistem wayar dalam jantung. Sekatan jantung secara ringkasnya adalah isyarat-isyarat elektrikal yang mengawal kadar denyutan jantung separa atau sepenuhnya tersekat dalam perjalanan dari atrium ke ventrikel menyebabkan kadar denyutan jantung yang perlahan.
Siapa mengalami masalah ini?
Masalah ini boleh ada sejak lahir (kongenital) atau dialami kemudian dalam hidup (perolehan) akibat sebab-sebab seperti serangan jantung, keradangan pada otot jantung, perubatan, umur lanjut, dan lain-lain.
Apakah simptom-simptom yang mungkin saya alami sekiranya mengalami sekatan jantung?
Kebanyakan masanya, para pesakit adalah asimptomatik (tanpa simptom) dan keadaan hanya diketahui apabila ECG dijalankan. Simptom biasanya bergantung pada keterukan keadaan. Darjah ketiga biasanya lebih simptomatik daripada peringkat pertama. Tanda-tanda termasuk rasa pening, selalu pengsan, sesak nafas dan sakit dada sesekali.
Terdapat berapa jenis sekatan jantung?
Sekatan jantung mempunyai 3 peringkat: pertama, kedua, dan ketiga (juga dikenali sebagai sekatan jantung penuh). Peringkat pertama adalah yang paling ringan manakala peringkat ketiga adalah paling teruk.
Bagaimana sekatan jantung didiagnos?
Diagnos bagi sekatan jantung merupakan diagnosis ECG sepenuhnya. ECG ialah alat yang digunakan oleh doktor sejak bertahun dahulu untuk merekod aktiviti elektrik jantung untuk menentukan pelbagai jenis masalah jantung. Kadangkala sejenis rakaman ECG yang dikenali sebagai HOLTER digunakan untuk merekod aktiviti elektrik jantung selama 24 jam berterusan. Peringkat sekatan jantung ditentukan oleh corak rakaman ECG.
Adakah rawatan diperlukan dan adakah terdapat sebarang rawatan bagi keadaan ini?
Rawatan bergantung pada penyebab dan peringkat sekatan jantung. Bagi peringkat pertama dan kedua, tiada rawatan diperlukan melainkan anda menunjukkan simptom. Pesakit peringkat ketiga semestinya memerlukan rawatan. Rawatan diberi bergantung kepada penyakit disebaliknya. Penyebab yang boleh berbalik seperti kesan sampingan ubat atau serangan jantung mungkin pulih serta merta dengan merawat penyebabnya. Sekiranya sekatan jantung berada tetap pada peringkat ketiga maka pesakit memerlukan pacemakers.
Apa itu PACEMAKER?
Pacemaker ialah sebuah alat bersaiz kotak mancis setebal syiling versi lama 50 sen yang diletakkan dibawah permukaan kulit berdekatan tulang selangka bahagian kiri (kadangkala pada bahagian kanan). Terdapat wayar yang disambungkan dari pacemaker ke bahagian kanan jantung menerusi pembuluh darah. Prosedur ini dilakukan dalam makmal elektrofisiologi dan dibawah sedasi penuh. Setelah prosedur dijalankan hanya parut kecil boleh dilihat. Alat ini menggunakan denyutan elektrik untuk mendorong jantung berdenyut pada kadar normal.
Apa akan berlaku sekiranya saya mengalami sekatan jantung peringkat ketiga dan tidak mahu menggunakan pacemaker?
Terdapat risiko sekatan jantung sepenuhnya jika tidak dirawat, dan ini membawa risiko berlakunya serangan jantung dan kematian.
Sekiranya saya menggunakan pacemaker, adakah gaya hidup saya terbatas?
Biasanya, 6 minggu pertama adalah penting bagi pesakit mengikut arahan doktor untuk memastikan kedudukan wayar stabil. Selepas ini, selain sukan lasak, pesakit boleh meneruskan aktiviti-aktiviti normal seperti sediakala.
Perlukah saya membuat perjumpaan susulan bersama pakar kardiologi?
Ya Pesakit-pesakit ini perlu berjumpa pakar kadiologi dari masa ke semasa bagi memastikan pacemaker berfungsi secara normal dan optimal. Biasanya pacemaker boleh bertahan selama 10 tahun sebelum perlu digantikan.
Dr. Barveen Aisha Abu Baker (MBBS IIUM, MRCP UK) seorang felow unit Elektrofisiologi DI IJN, Kuala Lumpur. Rencana ini diterjemahkan dari yang asal di https://www.mmgazette.com/doctor-what-is-a-heart-block-dr-barveen-aisha-abu-baker/ oleh Nur Nadhirah.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]