Itu antara keluhan dan pertanyaan yang sering diungkapkan oleh para ibu bapa, mahupun pesakit itu sendiri apabila keadaan kulit mereka masih tidak sembuh sepenuhnya dalam tempoh masa yang diharapkan. Lebih tepat lagi, ianya seringkali diutarakan oleh pesakit-pesakit kulit kronik seperti eczema ketika mendapatkan rawatan di klinik pakar kulit mahupun di klinik-klinik kesihatan kerajaan yang lain. Keluhan dan keresahan yang dilemparkan ini berpunca daripada kurangnya pengetahuan mereka terhadap penyakit kulit yang dihadapi.
Perlu diingatkan bahawa penyakit kulit tersebut adalah penyakit yang senantiasa datang dan pergi. Ianya tidak akan dapat dihilangkan secara sepenuhnya tetapi boleh dikawal seperti penyakit-penyakit kronik yang lain. Ini adalah kerana punca utama penyakit tersebut adalah lebih kepada hubungkait antara faktor dalaman dan luaran, bukannya jangkitan kuman semata-mata yang boleh dihilangkan dengan rawatan antibiotik.
Penyakit atopik dermatitis (eczema) seringkali dikaitkan dengan faktor keturunan dan alahan. Ia adalah penyakit radang kulit yang menyebabkan rasa gatal yang teruk serta boleh mengganggu kualiti tidur dan kehidupan seharian. Kebiasaannya, ia mula muncul pada kanak-kanak sebelum berusia dua tahun dan seringkali menunjukkan gejala dalam bentuk ‘pasang dan surut’, iaitu ada kalanya kelihatan terkawal (remission) dan ada kalanya bertambah teruk (exacerbation). Namun, bagi tahap yang teruk, pesakit mungkin akan mengalami gejala kegatalan dan radang kulit secara berpanjangan.
Antara tanda-tanda penyakit atopik ekzema ini termasuklah keadaan kulit yang kering, merah dan kelihatan bersisik. Ianya bertambah teruk apabila digaru berulang kali. Sekiranya dibiarkan, kulit akan tercedara akibat kesan garuan yang berterusan menyebabkan kuman boleh memasuki kawasan kulit yang lebih dalam dan mengakibatkan jangkitan. Jangkitan ini sekaligus memarakkan lagi kitaran gejala atopik eczema. Tambahan pula, kawasan kulit yang cedera akibat garuan berterusan juga akan meninggalkan parut dan kulit menjadi keras, bersisik dan kering.
Radang kulit ini melibatkan kawasan kulit tertentu mengikut umur pesakit tersebut. Secara umum, atopik ekzema seringkali melibatkan kawasan muka, badan, hadapan lutut dan belakang siku atau kawasan tidak berlipat (extensor surface) di kalangan bayi. Manakala bagi kanak-kanak yang lebih berumur dan dewasa, ianya seringkali melibatkan kawasan kulit yang belipat (flexor surface) seperti belakang lutut, hadapan siku, hadapan pergelangan kaki, tengkuk dan sekitar mata.
Pesakit atopik eczema juga seringkali mengalami beberapa penyakit alahan yang lain seperti radang alahan pada mata (allergic conjunctivitis), alahan pada hidung (allergic rhinitis) dan juga penyakit asma atau lelah (bronchial asthma). Ahli keluarga terdekat juga seringkali mengalami masalah kulit atau penyakit alahan yang sama. Penyakit eczema dan alahan ini seringkali menjadi teruk apabila mereka terdedah kepada bahan-bahan yang menggalakkan pengeluaran dan pengaktifan sel-sel radang dan alahan. Sebagai contoh makanan laut, cuaca yang panas dan kering, habuk, tekanan atau kemurungan, hama mahupun akibat jangkitan kuman. Apa yang memeranjatkan adalah bahan-bahan yang terdapat dalam produk pencuci muka dan badan juga mampu meningkatkan keradangan kulit pada pesakit eczema.
Rawatan TERPENTING ekzema adalah bermula dengan penerangan dan pemberian maklumat yang tepat kepada ibu bapa dan pesakit. Mereka perlulah memahami bahawa penyakit ekzema ini adalah bersifat kronik, iaitu tidak dapat dibasmi secara menyeluruh tetapi boleh dikawal agar keadaan yang teruk dapat dikurangkan. Mereka perlu bersedia menghadapi penyakit ini untuk jangka masa yang LAMA. Biarpun ada di antara pesakit yang sembuh daripada penyakit ini ketika meningkat dewasa, namun ianya bukanlah sesuatu yang pasti dan lebih bergantung kepada individu. Justeru, para ibu bapa perlulah diberi penekanan untuk memberi sapuan ubat secara berterusan dan tidak sesekali putus asa. Sikap “doctor shopping” atau mengambil ubat-ubatan yang pelbagai hanya akan melambatkan kesan penyembuhan dan merugikan masa serta wang. Keadaan akan bertambah buruk jika kesan sampingan dari ubat-ubatan yang pelbagai pula muncul. Penerangan penting yang lain termasuklah mengenalpasti punca keadaan kulit semakin teruk dan mengelakkan diri daripada terdedah kepada bahan-bahan alahan tersebut. Elakkan memakai pakaian yang tebal dan pilihlah pakaian yang diperbuat daripada kain kapas. Penggunaan penghawa dingin ketika malam juga adalah digalakkan untuk mengekalkan suhu yang selesa ketika tidur dan dapat mengelakkan peluh.
Selain daripada itu, penjagaan kulit yang rapi perlulah dititikberatkan. Ini termasuklah sentiasa membiarkan kulit dalam keadaan lembap dan mengamalkan tabiat mandi dengan kerap. Elakkan daripada membiarkan kulit terdedah dalam keadaan panas terik untuk tempoh masa yang lama. Penggunaan krim pelembap amat membantu. Ianya boleh dijadikan sabun ketika mandi, disapu ketika rehat,ketika mempunyai masa terluang ataupun ketika dirasa kulit agak kering. Elakkan daripada memakai pelbagai jenis sabun di pasaran selain krim pelembap yang telah disarankan oleh doktor ataupun setelah mendapatkan pengesahan dari doktor berkenaan sabun yang ingin digunakan.
Sapuan krim steroid boleh dilakukan ke atas kulit yang menunjukkan tanda-tanda radang iaitu merah ataupun kawasan kulit yang mengeras, tebal atau bersisik. Penggunaan krim steroid adalah selamat. Namun, kekuatan steroid yang digunakan perlulah setara dengan keadaan radang kulit. Krim steroid yang paling rendah kekuatannya yang mampu mengurangkan radang perlulah digunakan. Elakkan daripada menggunakan krim steroid yang kuat untuk tempoh masa yang lama. Seelok-eloknya tidak melebihi tempoh masa dua minggu. Krim steroid yang kuat ini hanya boleh diberikan atas nasihat doktor pakar kulit. Perlu diingatkan bahawa penggunaan krim sederhana atau kuat perlu dielakkan pada kanak-kanak dan juga pada kawasan yang lembut dan nipis seperti kawasan kemaluan.
Selain daripada itu, jumlah sapuan krim steroid yang diperlukan sebenarnya adalah sedikit. Ianya hanya memerlukan kuantiti sebesar satu bahagian hujung jari yang perlu disapu rata dan nipis dalam bentuk bulatan. Ulangi langkah yang sama pada kawasan kulit lain yang perlu disapu. Ia perlu disapu sekali atau dua kali sehari sahaja. Para ibu bapa dan pesakit juga perlulah memahami fungsi krim steroid yang sebenar iaitu sebagai anti radang dan bukannya sebagai pelembap. Justeru, krim steroid tidak perlu disapu tebal. Untuk kesan yang lebih baik, krim steroid boleh disapu dalam tempoh 30 minit selepas sapuan krim pelembap.
Walau bagaimanapun, adalah lebih baik bagi pesakit yang mengalami masalah kulit yang teruk untuk mendapatkan rawatan lanjut daripada klinik-klinik pakar di hospital. Ini adalah kerana jumlah isipadu krim yang besar hanya boleh didapati di klinik pakar. Manakala di klinik kesihatan, krim sapuan yang disediakan adalah dalam isipadu yang kecil dan hanya bertahan sekitar seminggu hingga ke dua minggu. Ini selalunya menjadi masalah untuk mereka yang memerlukan krim pelembap yang banyak. Di klinik pakar kulit, krim pelembap ini dapat diberikan sekitar 500 gram sebulan.
Antara rawatan-rawatan yang lain bagi ekzema termasuklah pengambilan ubat antihistamin untuk mengawal rasa gatal pada kulit. Antihistamin juga boleh diberikan terutama bagi mereka yang seringkali mengalami gangguan tidur akibat gatal yang keterlaluan. Justeru itu, kesan sampingan mengantuk daripada antihistamin sebenarnya sangat membantu pesakit ekzema untuk tidur lebih lena. Namun begitu bagi kanak-kanak, antihistamin yang tidak mengantuk (generasi kedua antihistamin) seperti loratadin perlulah diutamakan. Walaubagaimanapun, pengambilan ubat tahan gatal atau antihistamin pada kanak-kanak berusia kurang dua tahun adalah tidak dibenarkan. Rawatan lain yang perlu termasuklah penggunaan antibiotik jika terdapat tanda-tanda jangkitan kuman pada kulit. Antibiotik boleh diberikan oleh doktor untuk tempoh seminggu hingga ke sepuluh hari. Sapuan antibiotik juga boleh disapu pada kawasan jangkitan kuman selain memakan ubat antibiotik.
Justeru itu, berdasarkan penjelasan di atas, jawapan yang tepat kepada pertanyaan “Doktor, tak ada ubat sapuan lain ke?”, adalah:
“Tiada, kerana apa yang anda perlukan adalah pemahaman dan maklumat yang tepat berkenaan penyakit kulit, penyapuan ubat yang sedia ada secara berterusan, kesabaran dan masa! Sesungguhnya kami tidak ada krim ajaib!”.
Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.
Dr. Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Rujukan:
- Atlas of Paediatric Diseases – Dermatitis & Psoriasis 2014
- Uptodate – Atopic dermatitis
- American Family Physician – Atopic eczema
- Clinical Medicine – Kumar & Clark
- Malaysia Paediatric Protocol 3rd edition
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]