Bergantung kepada jenis, jangkitan E.coli (Escherichia coli) boleh menjadi sesuatu yang teruk.
Walaupun yang hidup dalam usus kita tidak merbahaya dan membentuk sebahagian daripada saluran usus yang sihat, sesetengah jenis E.coli adalah patogenik/merbahaya dan jangkitan boleh membawa kepada simptom-simptom merangkumi ketidakselesaan abdominal, kekejangan, cirit-birit, dan penjelmaan luar usus termasuk (tetapi tidak terhad kepada) keadaan yang mengancam nyawa dikenali sebagai Sindrom Hemolisis Uremia atau SHU.
JENIS-JENIS E. coli
E.coli terdiri daripada kumpulan bakteria yang pelbagai. Strain E.coli patogenik (jenis yang menyebabkan simptom) dikategorikan kepada enam patotip.
- Shiga toxin-producing E. coli (STEC) – jenis ini biasa dilaporkan dalam berita berkenaan wabak penyakit bawaan makanan. Meskipun terdapat pelbagai jenis E.coli dalam kumpulan ini, pegawai kesihatan profesional secara umumnya membahagikan bakteria ini kepada E.coli O157:H7 (atau E.Coli O157), dan bukan E.coli O157.
- Enterotoxigenic E. coli (ETEC)
- Enteropathogenic E. coli (EPEC)
- Enteroaggregative E. coli (EAEC)
- Enteroinvasive E. coli (EIEC)
- Diffusely adherent E. coli (DAEC)
Rencana ini memberi fokus utama kepada E.coli patogenik yang paling biasa didapati iaitu Shiga-toxin producting E.coli atau lebih dikenali dengan akronim ‘STEC’.
CARA JANGKITAN DAN PENCEGAHAN
Cara jangkitan adalah faeco-oral, bermaksud ‘najis ke mulut’.
Jangkitan bermula apabila terdapat najis manusia atau binatang dalam mulut. Bunyinya menjijikan, tetapi berlaku lebih kerap dari anda sangka terutamanya di kawasan tanpa sanitasi yang lengkap dan bekalan air bersih yang terhad, misalnya ketika banjir.
Adakah anda ingat kali terakhir ke tandas and apa yang dilakukan kepada tangan selepas itu?
Baik anda ingat, kerana beberapa minit yang diambil untuk membasuh tangan setelah selesai urusan menentukan sama ada anda akan dijangkiti atau tidak.
Anda perlu sedar bahawa tangan kotor merbahaya kepada orang awam, lebih-lebih lagi apabila anda mula bersalaman dan masak untuk orang lain.
Apa yang boleh dilakukan?
- Basuh tangan betul-betul dengan sabun setelah menggunakan tandas, menukar lampin, memegang haiwan dan bersentuhan dengan tempat tinggal haiwan (termasuk zoo), dan tentunya sebelum menyediakan makanan atau makan. Kebersihan, kebersihan, kebersihan.
- Masak makanan dan didih air sepenuhnya tanpa mengira betapa bersih atau suci rupanya. Lebih-lebih lagi jika dilihat kurang bersih.
- Elakkan susu mentah, hasil tenusu serta jus yang belum dipasteurkan.
- Elakkan berenang dalam air banjir yang boleh menyebabkan air banjir ditelan tanpa sengaja. Juga elakkan dari menelan air ketika berenang dalam tasik, kolam, sungai, kolam renang, dan kolam kanak-kanak belakang rumah. Ingat untuk basuh tangan jika bersentuhan dengan mana-mana kawasan awam.
- CEGAH pencemaran silang di tempat penyediaan makanan dengan membasuh sepenuhnya tangan, permukaan kerja, papan memotong, dan peralatan selepas bersentuhan dengan daging mentah.
SIMPTOM-SIMPTOM
Tempoh masa antara menelan STEC dan berasa sakit dinamakan ‘tempoh inkubasi’ iaitu dalam 3-4 hari selepas pendedahan. Tempoh ini boleh secepat 1 hari atau selama 10 hari. Simptom biasanya bermula sedikit demi sedikit dengan sakit perut atau cirit-birit tanpa pendarahan dan menjadi lebih teruk dalam beberapa hari. Pembaca perlu ambil perhatian, tiada dua individu adalah sama tetapi simptom-simptom tertera di bawah adalah antara tanda-tanda biasa jangkitan STEC.
- Kekejangan perut yang teruk;
- Cirit birit (selalunya berdarah);
- Hilang selera makan;
Kebanyakan pesakit akan pulih dalam 5-7 hari. Sesetengah pesakit akan mengalami sedikit ketidakselesaan dan sesetengah lagi menghadapi keadaan yang mengancam nyawa seperti Sindrom Hemolisis Uremia (SHU).
SHU ialah penyakit kompleks pelbagai sistem dicirikan oleh anemia hemolitik (perpecahan sel darah merah), trombositopenia (kadar platelet rendah), dan kegagalan renal akut.
Simptom-simptom SHU berbagai-bagai, termasuk (tetapi tidak terhad kepada) yang berikut;
- Kelebaman;
- Kadar pengeluaran kecing yang rendah dan berkurang;
- Kelihatan pucat (palor);
- Bintik-bintik merah kecil (petechiae);
- Jaundis;
RAWATAN
Diagnosis biasanya dijalankan menggunakan kultur najis, kemudiannya teras rawatan adalah sokongan bendalir dan penghidratan. Antibiotik tidak diperlukan, dan beberapa kajian kontroversial mengemukakan risiko berlaku SHU dengan jangkitan STEC.
Rujukan hospital dan kemasukan dijamin bagi mereka yang mengalami dehidrasi dan ketidakseimbangan kerana kedua-duanya boleh membawa kepada keadaan yang dinamakan hipovolemia (kehilangan isipadu) dengan kemungkinan berlaku kerosakan organ.
RUMUSAN
Walaupun sesetengah E.coli membentuk sebahagian daripada usus yang sihat, sesetengah lagi seperti yang disebut di atas adalah tidak. Bakteria-bakteria ini boleh menjejaskan kesihatan dan juga mengancam nyawa.
Perkara-perkara mudah seperti membasuh tangan dan kebersihan dalam menyediakan makanan amat bermakna untuk kesihatan anda. Bagi mereka yang tinggal di kawasan cenderung berlaku banjir, jangan guna air banjir untuk membasuh peralatan dan pastikan anak-anak dan yang tersayang tidak bermain dalamnya.
Didih air untuk minuman dan dapatkan bantuan perubatan jika was-was.
Meskipun satu lagi rencana diperlukan untuk mengulas tentang kebersihan, masyarakat boleh lakukan lebih baik untuk mengelakkan penyakit bawaan makanan. Bukan sahaja dengan mengamalkan kebersihan di rumah, tetapi juga memberi tekanan kepada pengusaha restoran untuk menjaga kebersihan premis. Petunjuk baik untuk tahu sama ada restoran tersebut menjaga kebersihan dalam penyediaan makanan ialah keadaan tandas. Ketiadaan sabun dan cecair pembasmi kuman adalah amaran berjaga-jaga. Tandas yang kotor tanpa sebarang sabun di dalamnya memperihalkan banyak perkara.
Jauhi tempat-tempat begini dan nasihatkan orang lain untuk lakukan yang sama.
Mari berusaha menjadikan negara dan orang-orang yang tersayang selamat.
Dr. Kamal Amzan bertugas dalam bidang Kesihatan Awam di Sabah, dan pada yang sama penulis ruangan The Malay Mail Online. Beliau boleh dihubungi menerusi Twitter di @drkamalamzan. Rencana ini diterjemahkan dari rencana asal di https://www.mmgazette.com/the-e-coli-in-you-dr-kamal-amzan/ oleh Nur Nadhirah.
RUJUKAN
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12190370
http://cid.oxfordjournals.org/content/early/2012/03/16/cid.cis299.full.pdf+html
http://aem.asm.org/content/66/10/4555.full
http://cid.oxfordjournals.org/content/39/1/1.full
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]