Fasa Anak Itik Hodoh – Dr Husna Razak

Sumber: http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/

Sumber: http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/

“Kenapa gigi hadapan anak saya sangat jarang dan senget?”

Ini adalah antara soalan-soalan yang kerap dilemparkan ke arah saya oleh ibu bapa yang hadir ke klinik. Saya faham kerisauan mereka. Mereka telah sedaya upaya menjaga kesihatan gigi anak-anak mereka sejak lahir, malah gigi susu anak mereka yang belum gugur masih putih berkilat. Namun sebaik sahaja beberapa gigi kekal mula keluar, ia keluar senget dan jarang. Apa sudah jadi?

Keadaan gigi kacip kekal yang kelihatan jarang dan senget (seperti dalam gambar A) dinamakan fasa anak itik hodoh (ugly duckling stage). Ia adalah satu fasa sementara yang terjadi semasa gigi kacip kekal mula keluar untuk menggantikan gigi kacip susu, selalu berlaku ketika kanak-kanak berusia 8-9 tahun.

Gigi kacip kelihatan senget ketika ini kerana kedua-dua belah gigi taring yang masih belum keluar menekan akar gigi kacip, menyebabkan gigi kacip kiri dan kanan senget ke tepi. Ini membuatkan gigi kacip tersebut kelihatan senget dan jarang. Situasi ini ‘diburukkan’ lagi oleh penampilan gigi kekal itu sendiri yang bergerigi di hujungnya, dan juga warnanya yang sedikit kekuningan berbanding gigi susu.

Fasa itik hodoh ini dan mekanisma pembetulannya ketika gigi taring keluar diterangkan dengan mudah dalam video ringkas ini: http://www.youtube.com/watch?v=f5J_0CJHsz4

Fasa ini adalah bersifat sementara dan akan diperbetulkan dengan sendirinya setelah gigi taring kiri dan kanan mula keluar. Biasanya, anak anda akan diletakkan bawah pemerhatian. Sekiranya anak anda memerlukan rawatan untuk membetulkan susunan gigi, doktor gigi anda akan membuat rujukan kepada pakar ortodontik yang terdekat. Rawatan ortodontik biasanya akan dimulakan setelah semua gigi kekal keluar.

Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang bekerja di Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. 

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Rujukan:

  • Textbook of Orthodontics: The Art and Science by S.I. Balaji (Arya (Medi) Publishing House, India).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box