Fibroid adalah sejenis ketumbuhan tak berbahaya yang melibatkan dinding rahim. Juga dipanggil sebagai leiomyoma. Ada pelbagai jenis fibroid – merangkumi saiz yang berbeza dan lokasinya pada dinding rahim tu.
Kurang dari 1% fibroid ni bole bertukar menjadi jenis berbahaya dinamakan sebagai leiomyosarcoma.
Fibroid sangat biasa berlaku pada wanita. Tanpa disedari pun boleh ada fibroid. Kekerapanya dalam 3 wanita, seorang akan ada fibroid.
Pelbagai saiz fibroid, dari saiz milimeter hinggalah boleh jadi sebesar lebih 10 cm dan fibroid dinamakan mengikut lokasinya. Perlu tahu fibroid lazimnya tak menimbulkan apa-apa masalah sebab kadangkala kewujudannya tak disedari pun. Kalau fibroid menimbulkan masalah – masalah yg biasa adalah period banyak, period sakit (senggugut), terasa ‘benda’ menekan bahagian pundi kencing atau pada rektum menyebabkan sekejap-sekejap nak kencing, rasa nak berak tapi tak kluar apa apa pun, ada juga yang melaporkan rasa sakit.
Fibroid ni berkaitan dengan hormon wanita iaitu estrogen dan progesteron. Jadi bila sudah menopos atau putus haid, tiada bekalan hormon-hormon ini sekaligus menyebabkan saiz fibroid ni mengecut. Tapi, jika sudah putus haid, saiz fibroid pulak tidak mengecut sebaliknya semakin besar atau bertambah-tambah jumlahnya adalah tanda-tanda tidak bagus – fibroid ini mungkin adalah jenis yang bahaya (leiomyosarcoma).
Kenapa berlakunya fibroid?
-Semua pakar dan kajian demi kajian mengatakan punca sebenar fibroid ini masih belum diketahui asal usulnya.
-Banyak kajian membuktikan bahawa fibroid berkaitan rapat dengan hormon wanita sebagaimana yang saya jelaskan tadi. Sebab tu ada perkaitan obesiti dan fibroid ni.
-Kenapa obesiti ? Sebab lemak-lemak degil yg terkumpul dalam badan ni menyimpan hormon wanita. Hormon yang tersimpan dengan banyak ni dikatakan menjadi punca fibroid terjadi.
Gejala-gejala fibroid
Semua gejala dinyatakan ini bukan spesifik kepada orang yg ada fibroid. Maksudnya bukan fibroid sahaja penyebab simptom-simptom ini.
-Pendarahan period yang luar biasa banyaknya.
-Sakit period yang melampau lampau sampai tak boleh pegi kerja atau pegi kolej atau pegi sekolah dan memerlukan cuti sakit.
-Perut terasa buncit. Mungkin disangka lemak terkumpul tapi sebenarnya bengkak dari rahim atau ovari.
-Terkencing-kencing kerap. Baru kencing tadi rasa nak kencing lagi. Sebab fibroid besar boleh menekan pada pundi kenci menyebabkan rasanya nak kencing.
-Sakit bahagian bawah perut, walaupun tak period. Disebabkan berlaku perubahan degenerative pada fibroid yang menyebabkan sakit.
-Susah nak mengandung. Kalau mengandung pula tak lekat lama. Fibroid pada dinding rahim yang melibatkan penempelan janin boleh menjejaskan penempelan janin dan berakhir dgn keguguran. Walau bagaimanapun bukan fibroid sahaja boleh sebabkan keguguran, banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira.
-Untuk mereka yang hamil, fibroid pada bahagian bawah rahim boleh menganggu pemusingan bayi dalam rahim
-Fibroid yg besar jenis tergantung kat luar rahim boleh terpintal (torsion) menyebabkan sakit
Apakah rawatan yang diberikan untuk mereka yang ada fibroid?
-Fibroid yang tidak menimbulkan apa apa masalah atau kecil tak perlu dibuang dan tidak memerlukan apa-apa rawatan. Tunggu dan lihat, biasanya fibroid akan mengecil dan hilang dengan sendirinya selepas menopos.
-Ada pil hormon yang boleh dimulakan sebagai langkah pertama. Boleh berbincang dgn doktor terlebih dahulu
-Operation buang fibroid. Ada dua jenis: buang fibroid sahaja dan dan biarkan rahim untuk mereka yg bercadang untuk mengandung. Walaupun begitu masih ada risiko pendarahan dan menyebabkan rahim terpaksa dibuang. Ada kes yang memerlukan rahim dibuang bersama sama dgn fibroid lebih-lebih lagi jika doktor berasakan fibroid ini adalah jenis bahaya ataupun saiz fibroid tak kecut-kecut walaupun sudah menopos. Ada fibroid kecil yang ganggu kesuburan atau sebabkan period banyak boleh dilakukan secara hysteroscopy. Setiap operation ada risiko dan komplikasi yang boleh timbul, bawak berbincang dengan doktor dulu, ikut kesesuaian pesakit.
-Pembedahan adalah pilihan yang terakhir jika ubat-ubatan yg diberikan tidak mampu merawat fibroid.
Setiap cara rawatan perlukan penilaian klinikal dan pemeriksaan doktor dan kesesuaian pesakit.
Artikel ini ditulis oleh Dr Muhammad Izzat bin Abdul Razak, Pegawai perubatan obstetrik & ginekologi yang berkhidmat di sebuah hospital di Selangor.
Rujukan
Heavy menstrual bleeding : assessment & management NICE guideline published 14 March 2018
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]