Seorang pesakit saya mengadu bahu beliau terasa ketat apabila cuba digerakkan. Menurut beliau, masalah ini bermula sebulan yang yang lalu. Beliau mengalami kesukaran bagi mencapai objek, memasak dan memakai pakaian.
3 bulan sebelumnya, beliau mengalami kepatahan pada pada pergelangan tangan beliau dan telah menjalani pembedahan bagi membetulkan kepatahan.
Apabila diperiksa, walaupun bahu beliau tidak bengkak atau sakit apabila dipegang, namun sendi bahu beliau langsung tidak dapat digerakkan.
Apakah Frozen shoulder?
Frozen shoulder ialah keadaan di mana sendi bahu seseorang menjadi ketat disebabkan oleh lapisan selaput sendi (capsule) menebal. Ia biasanya berlaku kepada individu berusia antara 40 ke 70 tahun dan lebih kerap berlaku pada wanita dan pesakit kencing manis.
Ia menyebabkan pergerakan sendi bahu seseorang menjadi ketat terutamanya untuk memusingkan tangan ke arah luar (external rotation).
Kenapa ia terjadi?
Punca kondisi terjadi belum diketahui sepenuhnya. Terdapat teori yang mencadangkan hyperlipidaemia iaitu kandungan lipid (lemak) yang tinggi dalam darah mungkin antara penyebabnya.
Apabila dikaji secara histologi, terdapat peningkatan sel fibroblast, myofibroblast dan juga collagen yang menyebabkan ia keadaan ini terjadi.
Frozen shoulder boleh dibahagikan kepada dua, iaitu primary frozen shoulder dan secondary frozen shoulder.
Primary frozen shoulder
Primary frozen shoulder juga dikenali sebagai adhesive capsulitis. Ia dikaitkan dengan beberapa kondisi yang tidak berlaku secara langsung kepada sendi bahu itu sendiri. Kondisi-kondisi ini termasuk:
- Masalah endokrin seperti kencing manis, hyperthyroidism dan hypothyroidism
- Masalah metabolik seperti hyperlipidaemia
- Dupuytren’s disease
- Masalah jantung
- Pendarahan otak seperti subarachnoid haemorrhage
- Kecederaan (trauma) pada anggota badan seperti kepatahan tulang tangan
- Apa sahaja kondisi yang menyebabkan pesakit tidak menggerakkan sendi bahu
Keadaan-keadaan ini menyebabkan selaput sendi bahu menebal dan seolah-olah melekat. Ini menyebabkan pergerakan sendi menjadi terbatas.
Secondary frozen shoulder
Secondary frozen shoulder pula berlaku disebabkan masalah yang berlaku secara langsung (direct) pada sendi bahu seperti pembedahan yang melibatkan sendi tersebut, kecederaan (trauma), kerosakan sendi akibat arthritis atau kerosakan otot rotator cuff yang terdapat pada sendi bahu.
Fasa frozen shoulder
Kondisi ini mempunyai tiga fasa:
- Fasa Sakit (Painful phase) – Sendi bahu terasa amat sakit
- Fasa Ketat (Stiffening phase) – Kesakitan sendi berkurangan, namun ia menjadi semakin ketat dan sukar digerakkan
- Fasa Pelembutan (Thawing phase) – Sendi bahu yang ketat semakin berkurangan dan pergerakan sendi bahu kembali kepada asal. Namun begitu, ada juga pesakit yang tidak mendapat pergerakan sepenuhnya.
Rawatan
- Ubat anti-radang dan tahan sakit – ubat Non Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDs) diberikan bagi mengurangkan kesakitan dan keradangan pada sendi bahu anda
- Fisioterapi – Matlamat fisioterapi adalah bagi menambahkan pergerakan sendi bahu pesakit. Pegawai fisioterapi akan mengajar pesakit pelbagai teknik bagi menambah pergerakan secara berkala dan beransur-ansur.
- Suntikan steroid – Sebilangan doktor memberi suntikan steroid bagi mengurangkan kesakitan pada sendi bahu pesakit.
- Manipulation under anaesthesia (MUA) – Ini bermaksud prosedur menggerakkan sendi bahu pesakit dengan keadaan pesakit diberi bius. Ia boleh dilakukan secara bius regional atau block yang akan turut berfungsi bagi mengurangkan kesakitan selepas prosedur terbabit.
- Pembedahan arthroscopy – Pembedahan secara arthroscopy atau bukaan kecil menggunakan teropong ini mungkin diperlukan sekiranya prosedur MUA di atas gagal.
- Pembedahan – Pembedahan jarang dilakukan melainkan masalah frozen shoulder itu disebabkan oleh adanya struktur yang menghalang pergerakan sendi seperti tulang dan sebagainya.
Adakah Frozen Shoulder boleh sembuh?
Tempoh bagi proses penyembuhan ini berbeza antara individu dan ia boleh mengambil masa sehingga 2 tahun untuk pulih sepenuhnya.
Sekiranya anda mengalami masalah ini, anda perlu segera ke klinik atau hospital bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Beliau juga penasihat The Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan
- Postgraduate Orthopaedics, Pau A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009, pada 144-145
- https://orthoinfo.aaos.org/en/diseases–conditions/frozen-shoulder/
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]