Gangguan Stres Pasca Trauma Di Kalangan Petugas Kesihatan – Dr Firdaus Datuk Abdul Gani

ptsdApabila terdapat kemerosotan dari segi prestasi kerja di kalangan petugas kesihatan disebabkan oleh masalah kesihatan mental, ramai yang memberi fokus kepada kemurungan atau pun stres di tempat kerja. Walau bagaimanapun, terdapat juga diantara mereka sebenarnya mengalami gangguan stress pasca trauma ataupun post-traumatic stress disorder.

Post-traumatic stress disorder” (PTSD) atau gangguan stres pasca trauma boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengan persitiwa yang menakutkan atau mengancam nyawa.

Trauma ditakrifkan sebagai kecelaruan keadaan fizikal atau psikologi yang dihasilkan akibat tekanan yang disebabkan kecederaan pada tubuh dan peristiwa pahit sama ada secara fizikal atau mental (Frank M. Ochberg, 1991). Mengikut sejarah, ia banyak ditemui di kalangan anggota tentera Amerika yang terlibat dengan perang Vietnam dan pada mulanya dikenali sebagai “Combat Neurosis”.

Secara amnya mereka yang berisiko tinggi adalah mereka yang terlibat dalam peperangan, mangsa rogol, mangsa bencana serta terlibat dalam kemalangan yang ngeri. Walaubagaimanapun, di kalangan petugas kesihatan pula, kumpulan yang berisiko adalah di kalangan mereka yang terlibat dalam pengendalian wabak penyakit (outbreak), pasukan perubatan bencana (relief team), terkena jarum (needle prick injury), terlibat dalam kes mediko-legal serta mengalami gangguan seksual di tempat kerja.Ini kerana trauma yang dialami adalah lebih spesifik kepada bidang tugas perubatan. Sebagai contoh, kebanyakan wabak yang melanda seperti ‘Sudden Acute Resipiratory Syndrome’ (SARS), H1N1 serta Mers-CoV adalah wabak yang merbahaya dan boleh menyebabkan kematian. Ini mendatangkan trauma kepada petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dalam pengendalian kes-kes tersebut kerana mereka menganggap ia sebagai satu ancaman kepada kesihatan mereka.

Bagi mereka yang terlibat dalam pengendalian bencana, mereka turut merasa sedih disebabkan oleh perasaan “empathy” kepada mangsa bencana.Pengendalian mangsa bencana adalah sangat mencabar dan sukar untuk seseorang individu itu melihat beban yang ditanggung. Ada diantara sukaralewan perubatan yang merasa kecewa ataupun tidak mampu untuk membantu mangsa sepenuhnya disamping mengalami kepenatan fizikal dan mental apabila berada di lapangan.

Secara amnya, walaupun kebanyakan individu (50-90 %) pernah mengalami trauma sepanjang hayat mereka (Kessler et al,1995; Bresslau et al 1998),hanya lebih kurang 20-30% akan mendapat PTSD. Adalah di dapati bahawa wanita mempunyai dua kali ganda risiko untuk mendapat PTSD berbanding lelaki sepanjang jangka hayat mereka (10.4 % berbanding 5 % bagi lelaki) (Kessler et al,1995). Di Amerika Syarikat, kajian yang telah dijalankan ke atas kakitangan perkhidmatan kecemasan (Emergency Medical Services), mendapati bahawa 9.3 % memenuhi criteria PTSD (Blumefield et al,2007).

Di peringkat antarabangsa, petugas kesihatan yang menghadiri misi kemanusiaan di kawasan bencana di bawah pertubuhan palang merah (Red Cross) serta “Salvation Army” disediakan perkhidmatan kaunseling sebagai salah satu prosedur standard untuk mencegah gejala PTSD.

Terdapat 3 gejala utama iaitu Imbasan semula (Re-experiencing), Simptom pengelakan (Avoidance) serta hypersensitivity iaitu peningkatan kepekaan deria (DSM-IV)

Gejala Imbasan semula melibatkan:

  • Mimpi ngeri
  • Memori atau imej yang datang berulang-ulang dan kadangkala datang tiba-tiba tanpa sebab.
  • Mengaitkan keadaan semasa dengan peristiwa lalu sehingga menjadi terlalu berhati-hati dan berwaspada.
  • Selalu beremosi, sedih, rasa marah, rasa bersalah dan takut tanpa sebab.

Gejala Pengelakan:

  • Cuba mengelakkan apa juga bentuk situasi, individu dan peristiwa yang boleh mengingatkan kepada peristiwa trauma.
  • Dalam keadaan kronik, mangsa boleh menjadi kebas atau kaku apabila cuba untuk melupakan peristiwa trauma.
  • Mengalami gangguan perhubungan dengan keluarga. Lebih suka menyendiri.

Gejala hypersensitiviti:

  • Mudah terkejut
  • Tahap kewaspadaan yang melampau
  • Sukar memberi tumpuan
  • Amat berhati-hati dengan persekitaran
  • Sentiasa merasa gugup dan gementar

Jika gejala tersebut berlangsung kurang daripada sebulan, seseorang itu mungkin mengalami gangguan stres akut atau dikenali sebagai “Acute stress disorder/reaction” tetapi jika melebihi sebulan, maka sesorang individu itu mungkin mengalami PTSD.

Apakah langkah-langkah pencegahan yang dapat dilakukan?

Pada peringkat organisasi:

  • Lakukan sesi kaunseling atau ‘debriefing’ kepada petugas yang terdedah kepada trauma atau kumpulan berisiko

Bagi individu pula, langkah berikut boleh dilakukan:

  • Ambil masa untuk berehat dan refleksi diri
  • Berkongsi pengalaman atau kebimbangan dengan keluarga, rakan sejawat atau pegawai atasan
  • Menghargai diri sendiri dengan apa yang telah dilakukan untuk menolong orang lain, walaupun sedikit
  • Belajar menerima apa yang telah berlaku, atau tidak mampu dilakukan serta kekangan yang tidak dapat dielakkan ketika menjalankan tugasan.
  • Tingkatkan ketahanan diri

Komplikasi kepada PTSD ialah ia menyebabkan ketidakfungsian dalam kehidupan dan pekerjaan. Ia juga boleh menyebabkan perubahan dari segi emosi, tingkah laku dan biologikal. Jika seseorang individu mengalami PTSD tidak dibantu pelbagai kesan negatif yang akan terjadi kepada individu tersebut. Ini mendedahkan pesakit bukan sahaja kepada masalah gemuruh ataupun kegelisahan (anxiety), malahan pesakit berisiko untuk mendapat kemurungan serta bunuh diri ekoran dari gejala PTSD yang berlanjutan (Sher et al,2010).

Dr. Firdaus Bt Datuk Abdul Gani adalah seorang pakar psikiatri.

Rujukan:

  • American Psychiatric Association (1994). Diagnostic and statistical manual of mental disorders: DSM-IV. Washington, DC: American Psychiatric Association. ISBN 0-89042-061-0.  
  •  Blumenfield M, Byrne DW (1997).Development of Posttraumatic Stress Disorder in Urban Emergency Medical Service Workers. Posted: 04/01/2002; Medscape Psychiatry & Mental Health eJournal. 1997;2(5)  
  • Breslau N, Kessler RC, Chilcoat HD, Schultz LR, Davis GC, Andreski P (July 1998). “Trauma and posttraumatic stress disorder in the community: the 1996 Detroit Area Survey of Trauma”. Arch Gen Psychiatry 55 (7): 626–32.
  • Kessler, R.C., Sonnega, A., Bromet, E., Hughes, M., & Nelson, C.B. (1995). Posttraumatic stress disorder in the National Comorbidity Survey. Archives of General Psychiatry, 52,1048-1060.  
  • Sher, Leo (2010). “Neurobiology of suicidal behavior in post-traumatic stress disorder”. Expert Reviews 10 (8): 1233-1235.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box