Gigi Bernanah, Apa yang Perlu Anda Tahu? – Dr Anis Ezrina

Seringkali pesakit datang ke klinik mengadu giginya sakit berpanjangan, berdenyut-denyut,tidak reda dengan pengambilan ubat tahan sakit dan mengganggu tidur malamnya. Jika keadaan ini berlaku, ianya bukan sekadar sakit gigi yang ‘biasa-biasa’ sahaja. Kita perlu lebih risau dan perlu datang untuk membuat pemeriksaan gigi.

Apabila senario di atas berlaku, keadaan sedemikan dipanggil ‘gigi bernanah’ atau ‘tooth abscess’.

Apakah gigi bernanah?

Gigi bernanah adalah satu jangkitan kuman di dalam gigi. Jangkitan tersebut telah merebak ke dalam akar gigi dan/atau sekeliling gigi. Kebiasaannya, jangkitan ini bermula apabila terdapatnya lubang yang besar pada gigi. Kuman akan merebak menerusi ruang akar gigi yang dipanggil ‘pulpa’. Pulpa adalah ruang yang mengandungi saraf dan salur darah. Sebelum terjadinya gigi bernanah, gigi tersebut telah hilang kemampuannya untuk melawan jangkitan tersebut dan kuman akan bertambah. Apabila kuman bertambah, jangkitan akan bertambah teruk. Ia akan bermula dari pulpa dan terus keluar melalui akar gigi dan merebak pada tulang yang menyokong gigi. Gusi berdekatan gigi yang terlibat akan kemerahan dan nanah akan keluar melalui satu bukaan pada gusi atau tisu lembut di bahagian pipi.

Apakah perbezaan di antara  gigi bernanah dengan gusi bernanah?

Perbezaannya ialah sumber asal jangkitan adalah berbeza. Jika gigi bernanah, jangkitan bermula daripada dalam gigi dan keluar melalui akar gigi dan gigi selalunya sudah  mati. Manakala gusi bernanah pula, jangkitan bermula pada gusi yang mengelilingi gigi. Nanah akan keluar melalui sulkus gigi. Gigi yang terlibat masih  hidup. Namun begitu, kadangkala manifestasi adalah hampir sama.

a) gusi bernanah b) gigi bernanah

Apakah penyebab gigi bernanah?

 Terdapat banyak faktor  gigi bernanah. Antara yang paling biasa ialah lubang yang besar dan dalam pada gigi dan telah melibatkan saraf gigi (pulpa). Keadaan sebegini seharusnya boleh dielakkan jika pesakit datang ke klinik untuk mendapat rawatan lebih awal. Faktor lain yang boleh menyebabkan gigi bernanah ialah trauma akibat jatuh atau terhentak benda yang keras,  prosedur rawatan pergigian seperti pembuatan korona pada gigi, dan tampalan yang dalam. Setiap kali berlakunya episod gigi bernanah, saraf akan terkesan dan ia tidak dapat membaik pulih dirinya dari kecederaan. Gigi yang terhentak kuat akan memberi kesan kepada aliran darah yang mengalir kepadanya. Apabila tiada bekalan darah, tiadalah nutrisi pada gigi tersebut. Akibatnya gigi akan mati.

Gigi yang telah dirawat akar juga kadang kala akan bernanah. Ini berlaku disebabkan rawatan yang dijalankan tidak sempurna.

Apakah tanda dan gejala gigi bernanah?

  1. Gigi akan bertukar warna menjadi coklat atau gelap berbanding gigi bersebelahan.
  2. Gigi akan sakit semasa makan atau ditekan. Sakit agak lama dan berpanjang. Ubat tahan sakit tidak dapat mengurangkan sakit gigi yang bernanah.
  3. Ada kebengkakan pada gusi. Kadang-kadang ada punat seperti ‘jerawat’ pada gusi.
  4. Bau mulut yang tidak menyenangkan.
  5. Kebengkakan pada muka atau rahang yang berkaitan dengan gigi.
  6. Kebengkakan nodus limfa
  7. Demam

Gigi yang bernanah, kadang kala tidak menunjukkan tanda dan gejala seperti diatas. Ia dikesan secara tidak sengaja menerusi pemeriksaan x-ray atau apabila pesakit tidak menunjukkan apa-apa reaksi apabila doktor  membuat ‘pulp test’ atau ujian pulpa pada gigi tersebut.

Bagaimana mendiagnos gigi bernanah?

Untuk mendiagnos gigi bernanah, pegawai pergigian terlebih dahulu akan bertanya berkaitan sejarah gigi tersebut. Adakah terdapat tanda dan gejala  atau sebaliknya. Selain daripada itu, pemeriksaan yang rapi akan dilakukan beserta pengambilan radiograf (x-ray).

Apakah rawatan yang boleh dilakukan?

Rawatan akan difokuskan kepada mengeluarkan nanah dan mengurangkan kesakitan yang dialami oleh pesakit tersebut. Bergantung kepada tanda dan gejala yang dinyatakan oleh pesakit, doktor gigi akan melakukan pemeriksaan radiograf terlebih dahulu. Ini akan membantu mereka mengenal pasti samada jangkitan / nanah merebak ke tempat lain atau tidak.

Bergantung kepada jenis dan keterukan masalah yang dihadapi, pilihan rawatan yang boleh dilakukan ialah:

  1. Mengeluarkan nanah. Doktor gigi akan melakukan hirisan kecil pada kawasan tisu lembut untuk mengeluarkannya. Selain daripada itu, gigi juga boleh ditebuk lubang supaya nanah boleh di keluarkan melalui permukaan gigi.
  1. Pemberian antibiotik. Pada ssesetengah keadaan, jangkitan atau nanah merebak dengan cepat dan memerlukan perhatian yang lebih serius. Pemberian antibiotik akan membantu mengatasi masalah tersebut.
  1. Rawatan akar. Apabila gigi tidak bernanah dan tiada lagi jangkitan kuman, rawatan akar gigi (RCT) akan dilakukan. Rawatan ini, melibatkan pengeluaran tisu-tisu mati di dalam akar gigi, membersihkan akar gigi tersebut dan menampal akar gigi dengan bahan yang dipanggil ‘gutta percha’. Gigi akan diletakkan ‘korona gigi’ setelah rawatan RCT selesai.
  1. Gigi yang bernanah, kadangkala kita perlu mencabutnya jika struktur gigi yang masih tinggal dan tulang yang memegang gigi tersebut adalah sangat minima. Apabila prosedur ini diperlukan, doktor gigi akan memaklumkan kepada pesakit.

 

Apakah kemungkinan komplikasi yang mungkin berlaku?

Adalah sangat penting untuk gigi yang bernanah dirawat oleh doktor. Walaupun nanah sudah pecah dan gigi tidak sakit, pesakit mesti datang untuk membuat pemeriksaan dan rawatan untuk mencuci nanah pada gigi tersebut.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, dan imunisasi diri agak rendah, jangkitan itu akan mudah merebak pada rahang dan bahagian-bahagian lain seperti leher dan kepala. Gambarajah dibawah menujukkan bahagian nanah merebak. Pada keadaan kes-kes yang tertentu, gigi yang bernanah juga akan menyebabkan ‘septicaemia’. Ini akan mengancam nyawa pesakit.

Pastikan anda pergi ke jabatan kecemasan jika sekiranya anda menghidapi gigi bernanah beserta tanda dan gejala dibawah:

  1. Demam yang tinggi
  2. Kebengkakan muka
  3. Susah untuk bernafas
  4. Degupan jantung yang cepat
  5. ‘Confusion’

Kesemua yang dinyatakan diatas adalah tanda yang menunjukkan pesakit mempunyai jangkitan yang serius dan memerlukan rawatan segera.

Adakah ubat-ubat tradisional berkesan untuk merawat gigi bernanah?

Pada umumnya, ubat-ubat tradisional tidak digalakkan. Ia mungkin boleh digunakan secara sementara untuk mengurangkan tanda dan gejala contohnya, berkumur dengan air garam suam, mendemah kawasan yang sakit dengan tuaman suam. Namun demikan, jangkitan atau nanah akan tetap merebak jika tidak dirawat dengan sempurna. Selain daripada itu, mengelak dari bertemu doktor akan memberi komplikasi yang lebih teruk. Oleh yang demikian, berjumpa doktor dengan kadar segera amat digalakkan.

 

Apakah prognosis gigi bernanah?

Prognosis gigi yang bernanah bergantung kepada berapa teruk jangkitan itu merebak. Selalunya, jika jangkitan berlaku hanya di sekeliling gigi sahaja, prognosis adalah baik, jika rawatan diterima secepat mungkin setelah tanda dan gejala dikenal pasti. Jika jangkitan telah merebak melebihi kawasan sekitar gigi yang terlibat, dan menyebabkan gigi menjadi longgar, kebarangkalian untuk selamatkan gigi adalah tipis.

Bolehkah kita mengelak gigi bernanah

Penjagaan gigi yang baik di rumah dan pemeriksaan pergigian yang berkala memainkan peranan utama untuk mengelak terjadinya gigi bernanah. Jika anda mendapati gigi anda berlubang segeralah mendapat rawatan. Jangan dibiarkan lubang pada gigi besar dan dalam. Justeru itu, jagalah gigi anda.

Rujukan:

http://medicinenet.com/abscessed_tooth

http://www.healthline.com/health/abscessed-tooth#complications

Sumber gambar daripada laman sesawang (Google image)

 

Dr. Anis Ezrina adalah seorang pakar pergigian restoratif yang sangat mementingkan pendidikan pesakit terhadap masalah pergigian. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box