“Makcik, Itu Gigi Tanam ke?” – Dr Anis Ezrina

Pernahkah anda dengar rawatan implan dalam bidang pergigian? Rawatan ini sejak dua menjak ini memang popular dikalangan masyarakat Malaysia. Ramai yang bercita-cita mempunyai ‘gigi besi’ di dalam mulut tetapi mereka tidak mendapat pendedahan yang mencukupi tentang rawatan tersebut. Banyak artikel berkaitan implan di dalam laman sesawang ditulis di dalam bahasa asing. Justeru itu, kefahaman tentang implan pergigian ini masih lagi rendah. Jika bercakap berkaitan implan, ramai bertanggapan ia mahal dan hanya orang yang berduit sahaja yang mampu menanggung kos tersebut. Namun begitu, kepelbagaian system implan di pasaran, membolehkan  operator memilih implan dan kos yang bersesuaian dengan pesakit.

Source: www.dentalimplantcostarica.com

Source: www.dentalimplantcostarica.com

Apakah implan pergigian?

Implan pergigian adalah satu gantian kepada gigi yang telah hilang atau dicabut. Seperti juga gigi, implan ini akan ditanam di dalam rahang mulut melalui proses pembedahan kecil. Ia berfungsi untuk memegang korona (bahagian yang dapat dilihat didalam mulut), jambatan atau gigi palsu. Ia diperbuat daripada bahan titanium, kuat dan serasi dengan tisu badan. Titanium itu akan beradaptasi dengan tulang sekelilingnya agar lebih stabil. Kajian telah menunjukan bahawa jangkahayat sesuatu implan dalam tempoh 10 tahun adalah lebih kurang 87% .

Adakah saya sesuai untuk dapatkan rawatan implan?

Secara amnya, jika kita kehilangan gigi, satu, dua atau lebih, kita layak untuk mendapatkan rawatan tersebut. Namun begitu, ada keadaan yang tertentu yang mengurangkan kejayaan dan kesesuian implan pada si pesakit. Antaranya ialah:

  1. Jika pesakit mengidap kencing manis yang tidak terkawal. Ini adalah kerana proses penyembuhan selepas pembedahan agak lambat dan adaptasi tulang dengan implan dikhuatiri tidak berlaku. Jangkitan kuman juga mudah dan meningkat risiko kegagalan implan tersebut.
  2. Penyakit gusi yang kronik. Jika ada masalah gusi yang agak serius, disyorkan tidak mendapatkan rawatan implan.
  3. Perokok yang tegar.  Bahan kimia di dalam rokok seperti nikotin, dapat mengurangkan peredaran darah.
  4. Pesakit yang menjalani kemoterapi atau radioterapi
  5. Pesakit yang mengambil ubat bisphosphonate seperti Alendronate untuk masalah tulang osteoporosis

Sebelum bermulanya rawatan, pegawai pergigian akan memeriksa keadaan mulut pesakit. X-ray atau imbasan CT akan dilakukan untuk melihat keadaan tulang dari segi ketebalannya dan kelebarannya kerana jika tiada tulang yang mencukupi, implan ini akan gagal berfungsi dengan baik.

Apakah kebaikan implan?

Kejayaan terapi implan ini dalam menggantikan kegigian yang hilang diakui oleh banyak kajian-kajian ilmiah. Antara yang dapat diketengahkan ialah:

  1. Dapat memelihara gigi yang sihat

 

  • Rawatan implan mengelakkan daripada gigi yang sihat dipotong untuk mendapat sokongan menghasilkan prosthesis seperti korona atau jambatan. Apabila gigi yang sihat dipotong, kadangkala ia memberi kesan sampingan kepada gigi tersebut seperti menjadi gigi mati atau ‘non-vital’. Beberapa kajian telah menunjukan bahawa gigi yang sihat dan dipotong untuk perletakkan korona atau jambatan akan menjadi gigi mati dalam tempoh 10-15 tahun adalah 15-20%. Selain daripada itu, jangka hayat sesuatu restorasi seperti jambatan adalah 87% dalam tempoh 10 tahun dan menjunam ke 69% dalam tempoh 15 tahun.
  1. Memelihara tulang

 

  • Apabila gigi dicabut, masalah utama adalah tulang akan mengecut. Jika berlakunya kehilangan satu atau dua gigi mungkin pengecutan tulang tidak jelas kelihatan. Namun begitu jika hampir keseluruhan gigi hilang, wajah pesakit akan kelihatan tua akibat daripada pengecutan tulang tersebut. Jika ini berlaku, gigi palsu yang dipakai oleh pesakit juga akan longgar.
  1. Memberi sokongan tambahan kepada prosthesis seperti gigi palsu
  2. Mempunyai daya tahan daripada penyakit seperti masalah gusi, karies

Apakah keburukan implan?

  1. Kos yang agak mahal
  2. Kemahiran operator
  3. Risiko peri-implantitis (radang di sekitar implan)
  4. Memerlukan penyelenggaraan selepas rawatan

Kesimpulan

Implan adalah satu alternatif untuk pesakit yang kehilangan gigi. Namun begitu, mengekalkan gigi asal perlulah menjadi agenda. Kehilangan gigi di kalangan masyarakat akibat daripada masalah gusi, karies gigi perlu diberi perhatian yang lebih serius. Program pencegahan dan program pendidikan berteraskan pergigian yang dimainkan oleh pihak berkuasa perlu dikemaskini. Gigi mudah untuk dijaga jika masyarakat tahu dan ada kesedaran yang tinggi betapa pentingnya  kegigian mereka.

Dr. Anis Ezrina adalah seorang pakar pergigian restoratif yang sangat mementingkan pendidikan pesakit terhadap masalah pergigian. Kenali beliau dengan lebih lanjut di lama The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

1 comment for ““Makcik, Itu Gigi Tanam ke?” – Dr Anis Ezrina

  1. Mommy
    June 15, 2014 at 1:49 pm

    Terima kasih diatas input yang dberi. Sekian lama saya mencari artikel berbentuk ilmiah mengenai \\\”gigi tanam\\\” akhirnya ketemu juga. Saya sebenarnya ingin menanam 2 batang gigi di tepi mulut saya. Namun saya tiada pengetahuan tentang penanaman gigi implan, apakah ia nya berisiko atau sebaliknya. Dengan artikel ini, minda saya secara langsung menerima maklumat baru. Hal ini membolehkan saya berfikir sekali lagi untuk menanam gigi implan. Namun saya masih tertanya-tanya dengan harga sebatang gigi yang ditanam.. Berapa kah agak nya ye? qhcce

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box