Gila Meroyan? – Dr Zul Azlin Razali

Mother not coping with baby...APD8PG Mother not coping with baby

Pengenalan

Telah disengajakan istilah yang sensasi dan dramatik ini menjadi tajuk artikel mmgazette.com kita pada kali ini. Diharapkan carian perkataan ‘gila’ atau ‘meroyan’ di laman maya menjangkau kepada perkongsian ilmiah ini.

Isu-isu psikiatri/ psikologi selepas bersalin BUKAN sekadar meroyan. Meroyan jika diambil terjemahannya dari Kamus Dewan Bahasa Pustaka membawa makna “gangguan emosi selepas bersalin disebabkan perubahan hormon yang menyebabkan ibu murung atau bertindak ganas dll..” Dalam disiplin psikiatri, definisi ini dekat dengan apa yang dikatakan sebagai postpartum depression (kemurungan pasca kelahiran) dan postpartum psychosis (gangguan mental serius pasca kelahiran). Selain daripada itu, terdapat postpartum blues, iaitu gangguan emosi selepas bersalin. Postpartum blues ini jarang diceritakan kerana ia adalah suatu yang tidak serius dan tidak membabitkan tindakan-tindakan ganas di luar kewarasan. Postpartum blues adalah lumrah; 50-80% ibu yang telah melahirkan anak, lebih-lebih lagi anak pertama, mengalami gejala yang sangat singkat ini. Postpartum blues yang berterusan dan ditambah pula dengan faktor-faktor risiko yang lain, boleh mencetuskan postpartum depression dan postpartum psychosis yang masing-masing kadar peratusannya 10-15% dan <1% (Henshaw 2003).

Faktor risiko

Adakah “Hantu Meroyan” yang duduk di uri (placenta) menjadi penyebab berlaku fenomena postpartum depression dan postpartum psychosis ini? Sekurang-kurangnya itulah fahaman yang dipegang oleh segelintir masyarakat. Malangnya ini langsung tidak ada bukti dalam arena sains apatah lagi dalam tradisi pendalilan Islam yang tulen.

Ketidakstabilan hormon adalah sebab yang kerap dikaitkan dalam banyak penulisan- penulisan saintifik (Pearlstein 2009). Semua ibu-ibu yang mengandung dan yang sudah bersalin mengalami perubahan hormon di dalam badan. Kebanyakan mereka ini tidak ditimpa fenomena meroyan ini. Maka faktor-faktor lain juga perlu diberi perhatian seperti mempunyai sejarah lampau mengalami sakit psikiatri, sejarah kemurungan ketika mengandung (antenatal depression), struktur sokongan sosial yang goyah, dan juga mengalami situasi yang cukup traumatik ketika mengandung contohnya kematian orang tersayang atau tragedi penceraian. Selain daripada itu, hidup bersendiri atau memiliki persepsi bahawa dia berseorangan dan ahli keluarga terdekat yang ada sejarah penyakit psikiatri juga dilaporkan sebagai faktor-faktor yang berpotensi.

Tanda-tanda

Antara gejala-gejala awal postpartum depression adalah menangis tanpa sebab, mudah tersentuh, sensitif, rasa tidak sabar, kebimbangan yang melampau, lemah lesu, tidak cukup tidur insomnia (atau hypersomnia, suka tidur), sedih/hiba yang tidak berkesudahan dan tiada motivasi untuk menjaga anak yang baru lahir itu. Apabila keadaan berlanjutan menjadi serius akan berlaku tanda-tanda lain seperti rasa diri tidak berguna lagi, mula melayan idea ingin mati, curiga yang berlebihan, dan fikiran menyimpang yang berulang-ulang (obsessive thoughts).

Postpartum psychosis boleh berlaku rentetan dari postpartum depression atau tercetus secara tiba-tiba dalam tempoh 4 hingga ke 6 minggu selepas bersalin. Individu yang ditimpa gejala ini akan mula bersikap ganjil, berhalusinasi, bicaranya meracau, mempunyai delusi pemikiran dan bertindak secara impulsif. Postpartum psychosis adalah isu kejiwaan yang ekstrim dan mempunyai risiko yang tinggi membunuh diri dan membunuh bayi berbanding fenomena-fenomena yang lain.

Pencegahan

Sila lihat artikel mmgazette.com seperti “Tempoh Berpantang: Mimpi Ngeri Selepas Bersalin?https://www.mmgazette.com/tempoh-berpantang-mimpi-ngeri-selepas-bersalin-dr-ayu-akida/ dan “The Benefits of Breastfeedinghttps://www.mmgazette.com/the-benefits-of-breastfeeding-mohd-fauzee-bin-mohd-zaki/, wacananya menekankan betapa mustahak diet dan nutrisi yang sempurna dan penyusuan susu ibu demi kelangsungan kestabilan emosi. Ibu-ibu perlu jelas bahawa sayur-sayuran, buah-buahan tertentu, ikan dan lain lain telah dibuktikan membantu menurunkan risiko postpartum depression (Chatzi 2011). Guna saluran tertentu untuk menzahirkan emosi seperti berbicara dengan orang tersayang, ahli keluarga, sahabat atau penulisan diari dan jangan mengasingkan diri. Tambah ilmu melalui sumber yang dipercayai. Pendidikan ketika temujanji antenatal berkala ketika mengandung juga penting kerana ia memberi persediaan fizikal dan mental yang mantap.

Jangan dilupakan juga keharmonian rohani dan spiritual. Di kalangan wanita Muslim, kadangkala berlaku salah faham bahawa hukum haram untuk membaca Al Quran ketika hadas besar adalah ijma’ sedangkan ini perkara ikhtilaf. Tidak kurang kuatnya pendapat sarjana Islam yang membolehkan membaca (bukan menyentuh) al-Quran (www.islamqa.com). Ibu-ibu pasca kehamilan sewajarnya terus berlindung diri dengan Allah menggunakan du’a dan dzikir yang berasal dari ayat-ayat al-Quran. Ketika dalam kepayahan (termasuklah ketika hamil, bersalin dan urusan selepasnya), individu Muslim berpeluang rapat padaNya (Al Quran 16:62).

Rawatan

Sudah menjadi lumrah di kalangan professional psikiatri berhadapan dengan orang ramai yang mengambil pendirian semberono dalam memandang bidang perubatan ini. “Buat apa nak jumpa doktor psikiatri, aku bukan gila”, adalah contoh kata-kata lazim yang mencerminkan salah faham ini. Maka apabila ibu-ibu yang baru sahaja melahirkan anak dan mengalami tanda-tanda awal kemurungan dan ketidakstabilan emosi, doktor psikiatri bukan menjadi pilihan pertama mereka untuk sekurang-kurangnya mendapat penilaian. Ini stigma yang berlaku. Jika halangan ini masih ada maka rawatan tidak ditemui.

Postpartum psychosis dan postpartum depression boleh dirawat dengan menggunakan ubat-ubat dan teknik-teknik yang selamat di bawah seliaan rapi doktor. Isu-isu penggunaan ubat dan penyusuan ibu ditangani berdasarkan kes individu. Ada juga kes yang memerlukan pemantauan di hospital. Walau apa pun, kesihatan ibu dan bayi sentiasa menjadi keutamaan.

Bertemu doktor psikiatri bukan bermakna anda orang gila, bukan bermakna anda lemah semangat dan bukan bermakna anda lemah iman. Tidak semestinya semua kes yang ditemui oleh doktor psikiatri adalah masalah meroyan. Yang penting, jika sangsi tentang gejala-gejala ahli keluarga yang baru lepas bersalin, bawa terus untuk penilaian. Wallahu a’lam.

Dr Zul Azlin Razali adalah Pakar Psikiatri Universiti Sains Islam Malaysia.

Rujukan:

  • Chatzi, L., et al. Dietary patterns during pregnancy and the risk of postpartum depression: the mother-child ‘Rhea’cohort in Crete, Greece. Public health nutrition. 2011; 14(9):1663-1670.
  • Henshaw, C. Mood disturbance in the early puerperium: A review. Arch Womens Ment Health. 2003; 6:S33-S42.
  • Pearlstein, T., Howard, M., & Zlotnick, C. Postpartum depression. American Journal of Obstetrics & Gynaecology. 2009; 200(4): 357-364.
  • https://islamqa.info/en/2564

 

 [This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box