Gout adalah sejenis penyakit ‘crystal arthropathy’ yang disebabkan oleh pembentukan asid urik (Uric Acid) yang berlebihan di dalam sistem badan manusia. Ia berlaku di dalam 1% daripada populasi manusia.
Faktor penyebab utama gout di dalam 95% pesakit ialah faktor keturunan. Baki 5% lagi adalah disebabkan oleh sebab-sebab lain iaitu masalah buah pinggang, alkohol dan ubat-ubatan termasuk diuretik (ubat yang menggalakkan penghasilan air kencing) dan aspirin.
Asid urik yang berlebihan ini akan menyebabkan pembentukan kristal yang berkumpul di dalam tisu dan juga sendi-sendi. Di dalam kes-kes serangan Gout Akut (Acute gout), sendi pesakit yang terlibat akan menjadi bengkak, merah dan panas. Pesakit juga menderita kesakitan yang amat sangat.
Sendi-sendi yang biasa terlibat ialah sendi pada ibu jari kaki (metatarsophalangeal joint of the great toe), sendi lutut, siku dan sendi jari-jari tangan. Selain daripada itu, pesakit juga biasanya mengalami kekangan sendi pada waktu pagi (morning stiffness).
Diagnosis akan dibuat oleh doktor setelah pesakit memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh American Colleage of Rheumatology. Anda perlu berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan fizikal, melakukan ujian darah dan xray.
Dalam jangkamasa panjang, gout boleh menyebabkan kerosakan sendi serta kecacatan rupa atau kebengkokan (deformity) pada sendi-sendi ini.
Sekiranya kita lihat pesakit-pesakit Gout ini, kita akan dapat lihat benjolan-benjolan di bawah kulit pesakit. Benjolan ini dikenali sebagai ‘tophi’ atau ‘Rheumatoid nodules’. Ia juga disebabkan oleh pengumpulan kristal ini. Ia biasanya terbentuk pada bahagian siku, cuping telinga, jari-jari tangan dan buku lali kaki.
Rawatan bagi pesakit Gout boleh dibahagikan kepada dua. Pertama semasa serangan Gout Akut, dan yang kedua iaitu, cara-cara mengelakkan serangan Gout.
Semasa serangan Gout Akut, pesakit akan diberikan sejenis ubat yang dikenali sebagai Colchicine dan juga ubat tahan sakit. Di samping itu, pesakit perlu berehat dan kaki yang diserang perlu diangkat tinggi bagi mengurangkan kebengkakkan. Pesakit perlu minum lebih air masak bagi mempercepatkan proses penyembuhan kerana lebihan asid urik akan dikumuhkan melalui air kencing.
Setelah serangan reda, pesakit akan diberi ubat yang dikenali sebagai Allupurinol (Zyloric) bagi mengawal kandungan asid urik di dalam badan.
Terdapat beberapa jenis makanan yang tinggi kandungan Purine (sejenis asid amino) di mana boleh menyebabkan penghasilan asid urik yang tinggi dan memudahkan pesakit mendapat serangan Gout.
Makanan tinggi kandungan Purine adalah seperti :-
- Ikan – bilis, sardin, salmon
- Daging (Otot) – Ayam, lembu, kambing, angsa, itik, ayam belanda, arnab, khinzir
- Ibu roti (yeast)
- Daging (Organ) – hati, buah pinggang jantung, otak
- Kerang, kepah, ketam, udang galah
- Kekacang – kacang panjang, kacang pea
- Sayuran – bayam, kembang kol, asparagus
- Cendawan
- Minuman beralkohol
Makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan ini tidak sama antara seorang individu dengan individu yang lain. Kebanyakan pesakit tidak tahu mereka tidak boleh makan sesuatu sehinggalah mereka terkena serangan Gout ini setelah memakan makanan tersebut.
Pesakit yang menghidapi penyakit Gout disarankan supaya elakkan daripada memakan makanan yang mengandungi kandungan Purine yang tinggi serta mengambil ubat seperti dinasihatkan oleh doktor.
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
- Orthopaedic Secrets, 3rd Edition, David E. Brown, MD, Randall D. Neumann, MD
- Postgraduate Orthopaedics, Pau A. Banaszkiewicz, Cambridge University Press
- www.blpublications.com/html.Gout.pdf
[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]
Salam Doktor, sekadar ingin berkongsi masalah dan membuat sedikit pertanyaan.. sekarang saya berumur 28 tahun dan saya sudah mempunyai gout dari umur 15 tahun.. Masalah saya sekarang adalah uric acid keluar dari kedua tapak kaki(tumit) dan jari manis(tangan kanan) serta jari hantu(tangan kiri) saya melalui lubang-lubang berasingan.. ini menyebabkan saya tidak boleh memijak lantai dengan sempurna.. Selain itu, sejak 1tahun 8bulan lepas saya juga telah menggunakan kerusi roda sbg alat bantu disebabkan lutut saya dah jammed(tak boleh lurus dan membengkok sepenuhnya) begitu juga dgn kedua tangan saya(dari bahu hingga ke jari).. Soalan saya adalah, apakah mungkin penyakit ini boleh menyerang leher dan muka saya? kerana saya dapat merasakan tanda2 seperti akan terkena gout pada leher dan rahang sebelah kanan muka saya.. untuk pengetahuan doktor saya telahpun mencuba pelbagai cara untuk mengubatinya dari Zyloric, herbs sehinggalah traditional tetapi masih belum ada perubahan.. Dan sekarang saya sedang mencuba ubat yg bernama Febuxostat yg dimakan 1 biji 2 kali sehari.. Diharap doktor dapat membantu saya.. Many thanks in advance..