Hari Hipertensi Sedunia 2015 – KKM

Sumber: tapgenes.com

Sumber: tapgenes.com

Ketahui Tekanan Darah Anda

Sambutan Hari Hipertensi Sedunia pada tahun ini disambut pada 17 Mei 2015 dengan tema “Ketahui Tekanan Darah Anda” (Know Your Numbers) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit hipertensi di kalangan komuniti. Hipertensi juga dikenali sebagai “pembunuh senyap” (silent killer) kerana ia sering tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala, dan ramai yang masih tidak menyedari mereka menghidapi hipertensi. Oleh yang demikian pemeriksaan tekanan darah secara berkala amat penting untuk menentukan status kesihatan seseorang.

Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 menunjukkan bahawa prevalen hipertensi di kalangan penduduk Malaysia dewasa berumur 18 tahun dan ke atas adalah 32.7% atau kira- kira 5.8 juta orang dewasa. Dari jumlah ini dianggarkan 60.6% (3 dari 5) penduduk Malaysia tidak mengetahui mereka menghidap penyakit hipertensi oleh kerana tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sempena Hari Hipertensi Sedunia tahun ini saya ingin menyarankan kepada semua rakyat Malaysia agar mengambil langkah- langkah berikut:

  1. Ketahui tekanan darah anda dengan menjalani pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali dalam setahun;
  1. Cegah penyakit hipertensi dengan mengamalkan gaya hidup sihat iaitu mengurangkan pengambilan garam, lemak tepu, menangani stres dengan baik, tidak merokok, aktif setiap hari, mengekalkan berat badan unggul dan elakkan pengambilan alkohol secara berlebihan; dan
  2. Jika anda menghidap hipertensi, kurangkan pengambilan makanan yang masin, memakan ubat mengikut nasihat doktor dan mematuhi temujanji rawatan yang diberikan.

Semoga dengan peningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kepentingan pemeriksaan tekanan darah dan bahaya penyakit hipertensi kepada kesihatan mampu mengubah tingkahlaku rakyat Malaysia untuk mencegah dan mengawal penyakit hipertensi. Seterusnya ini akan mengurangkan risiko kematian pra- matang akibat penyakit jantung dan strok di kalangan rakyat Malaysia.

YB DATUK SERI DR S.SUBRAMANIAM

Menteri Kesihatan Malaysia

15 Mei 2015 Putrajaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box