Hari Kesihatan Sedunia 2014 – Tema: Gigitan Kecil, Ancaman Besar

boy-hi-resHari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun bagi memperingati penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1948. Setiap tahun, tema yang berbeza dipilih bagi memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kesihatan global semasa yang khusus. Peningkatan insiden Denggi secara mendadak di seluruh dunia dalam beberapa dekad kebelakangan ini dilihat amat membimbangkan. Lebih 2.5 bilion orang iaitu lebih 40% daripada penduduk dunia kini berisiko dijangkiti Denggi. WHO turut menganggarkan kira-kira 50 hingga 100 juta jangkitan Denggi di seluruh dunia dijangka berlaku setiap tahun. Ini jelas menunjukkan Demam Denggi telah menjadi beban global yang tinggi dan menunjukkan kadar peningkatan beban yang sangat cepat.

Justeru itu, WHO telah memilih tema bagi Sambutan Hari Kesihatan Sedunia bagi tahun ini iaitu ‘Gigitan Kecil, Ancaman Besar’ (Small Bite, Big Threat). Gigitan kecil adalah merujuk kepada nyamuk Aedes yang boleh membawa virus dari individu yang dijangkiti kepada individu yang lain, yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit yang serius. Ini akan menjadi ancaman dan beban besar kepada negara.

Pemilihan tema ini juga bertepatan dengan situasi semasa peningkatan Demam Denggi yang berlaku di negara kita di mana sehingga 4 April 2014, kes Denggi yang dilaporkan di seluruh negara adalah sebanyak 26,107 kes dan juga telah mencatatkan sebanyak 63 kematian. Sekiranya tindakan pencegahan dan kawalan tidak diambil, saya percaya ianya mampu menjadi ancaman besar kepada masyarakat dan negara amnya.

Saya berharap melalui aktiviti sambutan Hari Kesihatan 2014 ini yang akan diadakan di seluruh negara, masyarakat akan dapat:

  1. meningkatkan kesedaran tentang ancaman Denggi terutamanya nyamuk Aedes adalah pembawa penyakit bahaya yang boleh membunuh;
  2. menggalakkan ahli keluarga dan komuniti untuk mengambil tindakan dengan melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes – cari dan musnah tempat pembiakan Aedes untuk mengelakkan risiko dijangkiti penyakit Demam Denggi;
  3. memperkukuhkan tindakan bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan serta swasta untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan bebas daripada Denggi.

Sekali lagi harapan saya agar masyarakat dapat bersama-sama berusaha ke arah mengubah diri kita menjadi masyarakat yang prihatin dalam melindungi diri dari gigitan nyamuk Aedes dan melaksanakan tanggungjawab untuk memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Bertindaklah sekarang.

YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

7 April 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box