Penyakit Tibi atau Tuberculosis merupakan penyakit berjangkit tertua di dunia yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium Tuberculosis yang disebarkan melalui udara. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan sejumlah 9 juta kes baru Tibi di seluruh dunia dan 1.5 juta kematian disebabkan oleh penyakit ini pada tahun 2013. Pada tahun tersebut juga dianggarkan kes baru penyakit Tibi di kalangan kanak-kanak adalah 550,000 kes dan jumlah kematian kanak-kanak adalah 80,000 kes. Di Malaysia kes Tibi yang dilaporkan pada tahun 2014 adalah sejumlah 24,711 kes iaitu peningkatan sebanyak 2.7% berbanding 24,071 kes yang dilaporkan pada tahun sebelumnya (2013).
Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun bersempena mengingati penemuan bakteria Tibi pertama oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882. Pada tahun ini tema sambutan adalah Mantapkan Prestasi: Ke Arah Mengesan, Merawat dan Menyembuhkan Pesakit Tibi. Tema ini dipilih bersesuaian dengan komitmen kerajaan untuk bersama-sama membanteras Tibi dan mensasarkan kehidupan yang sejahtera tanpa penyakit Tibi di masa akan datang. Kementerian Kesihatan Malaysia amat komited dalam usaha menangani penyakit Tibi di mana program pencegahan dan kawalan penyakit Tibi merupakan salah satu fokus utama kementerian selaras dengan hasrat WHO ke arah eliminasi penyakit Tibi menjelang tahun 2050.
Penyakit Tibi disebarkan melalui udara apabila seseorang pesakit yang telah dijangkiti; batuk atau bersin. Tibi bukanlah semudah itu untuk dicegah dan dirawat. Tibi disebabkan sejenis bakteria yang mempunyai tempoh inkubasi yang panjang dan rawatannya akan mengambil tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan. Penyakit Tibi juga merupakan penyebab utama kematian di kalangan penyakit berjangkit di Malaysia. Sejumlah 1,603 kes kematian Tibi dilaporkan pada tahun 2014 berbanding 1,597 kes kematian tibi pada tahun 2013.
Batuk berpanjangan melebihi 2 minggu, demam dan berpeluh di waktu malam, kurang selera makan dan batuk berdarah adalah tanda-tanda utama yang sering terlepas pandang oleh pesakit. Malahan ada yang leka dan beranggapan bahawa batuk tersebut adalah ‘batuk biasa’ yang bakal hilang dengan sendirinya. Anggapan seperti inilah menjadikan Tibi merebak di udara dan mudah menjangkiti individu yang lain. Oleh itu, pengesanan dan rawatan awal kes adalah penting kepada penyelesaian permasalahan Tibi di negara ini. Sepanjang tahun 2014, sejumlah 543,146 pesakit yang mempunyai tanda dan gejala tibi telah disaring. Hasil daripada saringan tersebut didapati seramai 15,232 pesakit adalah positif Tibi melalui ujian kahak. Manakala sejumlah 9,479 kes positif Tibi dikesan melalui ujian x-ray dada dan ujian pengesahan tibi yang lain.
Kesedaran awal mengenai tanda-tanda awal penyakit Tibi di kalangan masyarakat dapat membantu mencegah penularan penyakit ini. Pelbagai program pendidikan kesihatan mengenai penyakit Tibi telah dilaksanakan secara berterusan melalui penyebaran poster-poster dan risalah-risalah kepada semua fasiliti kesihatan di Malaysia. Kempen mengenai penyakit Tibi terus diperhebatkan supaya maklumat mengenai penyakit ini dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.
Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru semua pihak yang memberi perkhidmatan kesihatan di negara ini seperti agensi swasta, badan-badan bukan kerajaan atau agensi lain yang terlibat dalam menangani kawalan dan pencegahan penyakit Tibi untuk bersama-sama berganding bahu dalam membuat saringan di kalangan individu yang berisiko tinggi seperti kontak kepada pesakit Tibi, penghuni di pusat-pusat koreksional, warga tua, penghidap HIV, pesakit diabetes, perokok dan lain-lain yang dikenalpasti. Penularan penyakit Tibi dapat dicegah sekiranya pengesanan awal dapat dilakukan serta mendapat rawatan yang cepat dan efektif.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
24 MAC 2015