Sejak akhir-akhir ini, produk pemutihan kulit sering dipromosikan secara meluas sama ada melalui media massa mahupun secara dalam talian melalui media sosial. Promosi yang giat ini menyebabkan semakin ramai pengguna yang mula percaya, membeli dan seterusnya menggunakan produk pemutihan kulit.
Bahaya produk jenis suntikan untuk pemutihan kulit.
Produk suntikan bagi tujuan kecantikan sebenarnya tidak dikategorikan sebagai kosmetik. Namun begitu, hasil saringan berkala oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penjualan produk suntikan seperti glutathione dan vitamin C secara dalam talian semakin meningkat. Hal ini disebabkan pengguna mudah percaya akan keberkesanan produk tersebut kerana pengiklanan yang begitu meyakinkan dan testimoni individu berpengaruh sebagai duta produk.
Laporan yang dikeluarkan oleh Seksyen Penilaian Teknologi Kesihatan, Bahagian Perkembangan Perubatan menyatakan bahawa belum ada bukti klinikal yang signifikan membuktikan suntikan vitamin C, sama ada tunggal atau dalam bentuk kombinasi dengan glutathione dan kolagen dapat meningkatkan keanjalan kulit (kesan antipenuaan dan antikedut) serta memutihkan kulit.
Pengguna perlu sedar bahawa penggunaan suntikan vitamin C dan glutathione sebagai agen pemutih kulit pada dos yang sangat tinggi akan mengakibatkan kesan serius terhadap tahap kesihatan. Antara kesan sampingan yang biasa dilaporkan bagi penggunaan dos tinggi vitamin C termasuklah cirit-birit, batu karang dan kerosakan buah pinggang.
Selain itu, kaedah suntikan yang salah oleh individu yang tidak berkelayakan berisiko menyebabkan pembentukan gumpalan dalam salur darah dan berpotensi membawa maut. Persekitaran yang tidak bersih semasa prosedur suntikan pula boleh menyebabkan jangkitan kuman dalam darah dan penularan penyakit berjangkit seperti hepatitis B dan HIV.
Bahaya produk pemutihan kulit yang dicampur bahan terlarang
Terdapat beberapa produk pemutihan kulit yang tidak selamat untuk digunakan kerana dicampurkan dengan bahan terlarang yang berbahaya seperti merkuri, hydroquinone, glutathione dan clobetasol propionate. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia melalui kenyataan akhbar bertarikh 15 Julai 2020 memaklumkan bahawa beberapa jenama produk kosmetik untuk pemutihan kulit didapati mengandungi merkuri, hydroquinone dan bethamethasone 17-valearate.
Penggunaan produk yang bercampur bahan terlarang secara berpanjangan mendedahkan penggunanya kepada kesan mudarat. Sebagai contoh, merkuri boleh menyebabkan ruam dan iritasi pada kulit. Merkuri juga mudah menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf serta menganggu perkembangan otak kanak-kanak atau bayi dalam kandungan. Hydroquinone pula diketahui boleh menyebabkan kemerah-merahan dan pigmentasi pada kulit serta meningkatkan risiko mendapat kanser kulit.
Tindakan yang diambil oleh KKM
Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memantau dan menyekat kegiatan menjual produk pemutihan di ruang siber. Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melakukan saringan berterusan terhadap laman sesawang, media sosial dan platform e-dagang yang menjual produk pemutihan kulit. Laman sesawang, pemilik akaun media sosial atau peniaga di platform e-dagang yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.
KKM juga menjalinkan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar laman sesawang melakukan kesalahan dapat disekat. Tindakan menyekat atau menurunkan iklan yang menyalahi undang-undang juga dilakukan terhadap pemilik akaun media sosial dan peniaga di platform e-dagang.
Selain itu, maklumat berkaitan keselamatan ubat-ubatan sering dihebahkan melalui aktiviti kesedaran pengguna seperti pameran, ceramah, wawancara televisyen dan radio, serta hebahan melalui media sosial seperti Facebook dan Whats App. KKM juga menjalankan kempen #Biarbetuliklanini yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam supaya lebih berhati-hati apabila melihat iklan ubat-ubatan termasuk iklan produk pemutihan di internet.
Pengguna perlu bertindak bijak.
Pengguna perlu lebih waspada apabila hendak membeli atau menggunakan produk pemutihan kulit. Dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sebelum membeli atau menggunakan sebarang produk pemutihan kulit. Sekiranya perlu, pastikan produk yang digunakan adalah produk yang berdaftar atau bernotifikasi dengan KKM.
Tiada produk yang betul-betul berkesan untuk memutihkan kulit. Usah percaya dengan iklan produk yang memberi jaminan pemutihan kulit dalam masa yang singkat. Elak terpedaya dengan janji palsu peniaga yang ingin mengambil kesempatan.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang).
Ditulis oleh:
Norlida bt. Abdul Rahman @ Othman
Ketua Penolong Pengarah Kanan UF54
Cawangan Forensik Farmasi
Bahagian Penguatkuasan Farmasi
Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
Rujukan
- Vitamin C injection for cosmetic, Health Technology Assessment Section, Medical Development Division, Ministry of Health Malaysia. Retrieved 28th May 2020; from www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach…/348/199
- Vitamin C in dermatology; from https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3673383/
- https://kpkesihatan.com/2020/07/15/kenyataan-akhbar-kpk-15-julai-2020-produk-produk-kosmetik-yang-dikesan-mengandungi-racun-berjadual/
- Bahaya Merkuri di dalam Kosmetik; from https://www.majalahsains.com/bahaya-merkuri-di-dalam-kosmetik/
- Hydroquinone dalam sediaan kosmetik; from http://www.myhealth.gov.my/hydroquinone-dalam-sediaan-kosmetik/
- Cosmetic Ingredient Review, Amended Safety Assessment of Hydroquinone as Used in Cosmeticshttp://www.cir-safety.org
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]