Identifikasi Mangsa dalam Kes Kematian Besar-Besaran- Dr Nurul Kharmila Abdullah

Pagi 14 September 2017, negara telah dikejutkan dengan berita kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa, 21 darinya adalah kanak-kanak. Api yang marak begitu cepat dan kuat membuatkan ramai penghuninya terkorban dan tubuh mereka terbakar teruk sehingga tidak dapat dikenali. Dalam kes bencana seperti ini, selain keutamaan untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup, mengenalpasti mangsa yang telah meninggal dunia juga tidak kurang pentingnya.

Kepentingan dan keperluan untuk mengenalpasti identiti bukan sahaja untuk tujuan undang-undang dan penyiasatan jenayah, tetapi juga untuk tujuan kemanusiaan. Pihak waris tentunya mahukan orang yang tersayang dikenal pasti dan seterusnya dapat memenuhi ritual pengebumian mengikut amalan agama masing-masing. Perakuan kematian dengan identiti yang sah (sijil perakuan kematian) perlu untuk tujuan pewarisan harta, akses kepada akaun bank, pencen, insurans dan tuntutan sivil yang lain.

Proses mengenalpasti jasad mayat dalam kes bencana ramai mangsa perlu dilakukan dengan teliti untuk mengelakkan kesilapan. Jasad mayat perlu melalui pemeriksaan radiologi (x-ray atau imbasan CT), bedah siasat, pengambilan sampel, pemeriksaan odontologi (pergigian) dan pemeriksaan antropologi sekiranya perlu. Rekod pemeriksaan ini (postmortem data) kemudiannya akan dibandingkan dengan data mangsa semasa hidup (antemortem data) yang diperolehi dari waris mangsa melalui proses temuduga.

Di Malaysia proses bedahsiasat dan mengenalpasti jasad mayat adalah bidang tugas pakar Perubatan Forensik dan dibantu serta di sokong oleh pelbagai kepakaran lain termasuk pakar Odontologi Forensik, pakar Antropologi Forensik, pakar radiologi, pakar biologi genetik, pakar cap jari serta pihak polis. Turut memainkan peranan dalam proses pengenalpasti identiti mangsa adalah paramedik, pihak perhubungan awam serta lain-lain agensi yang membantu dalam mendapatkan data dari keluarga mangsa.

Kaedah pengenalpastian yang digunakan dalam kes-kes bencana perlu berdasarkan kaedah yang saintifik, dipercayai serta boleh dilaksanakan dalam tempoh yang munasabah. Kaedah pengenalan yang utama adalah analisis cap jari, analisis DNA dan perbandingan analisis pergigian. Nombor siri unik dari implan perubatan serta perbandingan imej radiologi juga boleh digunakan dengan syarat terdapat rekod terdahulu.

Dalam kes kebakaran atau mana-mana bencana yang menyebabkan musnahnya cap jari, kaedah ini tidak dapat dijalankan. Begitu juga sekiranya tiada data cap jari yang hendak dibandingkan. Di Malaysia contohnya, kanak-kanak dibawah 12 tahun tidak mempunyai kad pengenalan, maka agak sukar untuk mendapatkan data cap jari. Selain cap jari, analisis pergigian juga memerlukan rekod dan data antemortem untuk dibuat perbandingan. Rekod ini diambil dari klinik pergigian di mana mangsa pernah mendapatkan rawatan. Sekiranya tiada rekod antemortem, analisis pergigian sekurang-kurangnya dapat membantu menentukan anggaran usia si mati.

Analisis DNA adalah tepat sekiranya mendapat sampel perbandingan yang baik. Sampel terbaik adalah sample dari mangsa sendiri yang diambil semasa dia masih hidup dan dipastikan sumbernya. Sampel dari kedua ibu dan bapa kandung dapat menentukan mangsa adalah anak kepada ibu dan bapa tersebut tetapi tidak dapat menentukan secara spesifik anak yang mana dalam kes melibatkan adik- beradik. Namun begitu, pemeriksaan secara fizikal dan analisis pergigian boleh membantu dalam kes sebegini. Sampel dari adik-beradik juga boleh digunakan untuk perbandingan DNA.

Pengenalan secara visual melalui ciri wajah dan tubuh badan adalah tidak tepat dan sebaiknya dielakkan. Perubahan penampilan visual boleh berlaku akibat proses kematian dan bencana itu sendiri menyebabkan ahli keluarga mungkin tersilap mengenal pasti mangsa. Mereka mungkin tidak dapat mengenalpasti mangsa kerana terlalu terganggu secara emosi dan dalam keadaan penafian (denial). Kaedah mengenalpasti mangsa bencana juga disokong dengan maklumat tentang cici-ciri unik si mati seperti tahi lalat, tanda kelahiran, kecacatan, tatu serta barang-barang hak milik peribadi seperti pakaian, cincin, rantai, jam dan sebagainya.

Setelah semua maklumat termasuk keputusan makmal diperolehi, barulah identiti mangsa dapat ditentusahkan dengan pasti dan penyerahan jasad mayat dapat dilakukan kepada waris mangsa. Proses penyerahan dan penyempurnaan juga perlu dilakukan dengan teliti dan didokumentasi dengan betul agar pertukaran jasad mayat tidak berlaku.

Dua kesimpulan dapat dibuat di sini. Pertamanya, proses mengenalpasti mangsa dalam bencana kematian besar-besaran adalah satu proses yang sukar serta melibatkan perbagai agensi dan kepakaran. Kesabaran dan kerjasama pihak waris amatlah diperlukan dalam saat-saat genting seperti ini. Keduanya dapat dilihat bahawa data dan rekod semasa hidup adalah sangat penting. Kenalilah ibu bapa, anak-anak, adik beradik dan saudara mara anda dengan lebih dekat, ciri-ciri fizikal mereka, pakaian dan barang-barang kepunyaan mereka. Simpanlah rekod-rekod kesihatan dan pergigian anda serta keluarga dengan baik dan beritahu ahli keluarga di mana anda simpan rekod-rekod penting ini. Anda juga boleh menyimpan sedikit sampel biologi anda dan keluarga, beberapa helai rambut (dengan akar rambut) sebagai contoh untuk keperluan masa hadapan.

Malang tidak berbau.

Dr. Nurul Kharmila bt Abdullah, MBBS (IIUM) MPath (Forensic)(UKM), Forensic Pathologist & Medical Lecturer, University Sains Islam Malaysia

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan

  1. Byard RW, Winskog C., Potential problems arising during international disaster victim identification ( DVI ) exercises. Forensic Sci Med Pathol. 2010 Mar;6(1):1-2, Springer
  2. DVI Guide: INTERPOL 2014 (Proposed Amendments: March 2014)
  3. M Petju, A Suteerayongprasert, R Thongpud, K Hassiri, Importance of dental records for victim identification following the Indian Ocean tsunami disaster in Thailand, Public Health, Volume 121, Issue 4, April 2007, Pages 251-257, Elsevier

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box