Ilizarov: Gegelung Besi yang Sering Disalah Erti – Dr Rohaman Tasarib & Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

“Saya tak mahu pasang antenna besi tu doktor. Kalau sikit tu boleh tahan lagi, ini sampai penuh keliling peha saya, dah la bulat melengkung, rimas saya doktor. Nak bergerak, berjalan pun susah, kat bilir air lagi la doktor!”

Ini adalah antara dialog biasa yang doktor Ortopedik hadapi apabila bercakap mengenai Ilizarov.

Pada satu ketika dahulu apabila berlaku kecederaan anggota akibat kemalangan, komplikasi kekal boleh terjadi. Ia boleh terjadi sekiranya pesakit membuat keputusan untuk berubat secara tradisional yang menyebabkan tulang gagal bersambung dengan betul. Namun begitu, sekiranya kepatahan yang berlaku adalah amat kompleks, ada masanya komplikasi masih boleh terjadi walaupun dirawat di hospital. Antara pilihan yang ada bagi merawat pesakit sebegini adalah melalui teknik khas yang dipanggil “Ilizarov method”.

Apa itu Ilizarov?

Gambar 1: Proses penarikan tulang menggunakan kaedah Ilizarov (wikipedia)

Ilizarov adalah teknik yang diperkenalkan oleh seorang doktor yang berasal dari Soviet Union (sekarang Russia) iaitu Professor Dr. Gavril Abramovic Ilizarov pada tahun 1950an. Ia melibatkan pemasangan konstrak (construct) besi (atau gentian karbon) Ilizarov yang terdiri daripada beberapa gegelung, pin dan wayar.

Pemerhatian beliau ke atas pesakit-pesakit yang beliau rawat telah mendapati bahawa tulang yang normal akan ditumbuhkan secara aplikasi tarikan (distraction osteogenesis) di bawah pengawasan yang ketat.

Fenomena yang disebut sebagai ‘Tension Stress Effect’ ini mengakibatkazn peningkatan proses pembentukan salur darah yang baharu (neovascularization), peningkatan metabolisma tisu, dan seterusnya pembentukan pembentukan sel dan tulang baharu.

Pada mulanya teknik ini hanya popular di sekitar daerah Kurgan, Siberia iaitu tempat di mana Prof. Ilizarov memulakan kerjaya sebagai doktor. Hanya kira-kira 20 tahun kemudiannya barulah teknik ini diperkenalkan ke Benua Eropah dan seterusnya ke Amerika.

Bila Teknik Ilizarov ini digunakan?

Teknik ini hanya digunakan bagi kes-kes tertentu sahaja dimana rawatan biasa telah gagal. Antara indikasi Teknik ini termasuk:

  1. Non-Union (tulang yang patah gagal bersambung)
  2. Mal-Union (tulang bersambung secara tidak betul, bengkok atau pendek)
  3. Jangkitan kuman pada tulang (Osteomyelitis) yang gagal sembuh
  4. Tulang hancur atau hilang (bone loss) akibat kemalangan dan sebagainya
  5. Kepatahan yang kompleks berhampiran sendi
  6. Membetulkan kecacatan anggota yang timbul sejak lahir (congenital disorder) atau kecacatan perkembangan (developmental disorder) seperti Blount disease, congenital pseudoarthrosis of tibia dan sebagainya.

Bagaimana ia dilakukan?

Teknik ilizarov melibatkan pemasangan konstrak gegelung besi (atau gentian karbon) di sekeliling tulang yang bermasalah tersebut. Ia dilakukan dengan memanfaatkan proses penumbuhan tulang melalui aplikasi tarikan (distraction osteogenesis) terhadap tulang lembut (callus) dalam kondisi yang diawasi rapi.

  • Pertama: Proses dimulakan dengan proses pemotongan tulang (corticotomy) dimana tulang bermasalah tersebut dipatahkan kepada 2 bahagian secara pembedahan.
  • Rangka konstrak ilizarov dipasangkan menembusi kulit, otot dan memegang tulang.
  • Seterusnya kedua hujung dipisahkan supaya tulang baharu (callus) tumbuh pada ruang yang dipatahkan tersebut. Proses ini mengambil masa antara 1 ke 2 minggu bergantung kepada umur pesakit dan tulang yang terlibat.
  • Setelah tulang baharu dipastikan telah tumbuh melalui xray, skru yang dipasang akan diputarkan secara sekata bagi meregangkan tulang sebanyak 1 milimeter setiap hari (1mm per day). Tujuannya adalah supaya tulang baru yang tumbuh (callus) dapat diregangkan dan tulang baru akan mengisi ruang yang kosong itu.
  • Pemanjangan dan pembetulan tulang dilakukan sehinggalah matlamat tercapai.
  • Ini bermaksud, sekiranya pemanjangan 2 cm (20mm) diperlukan, pesakit perlu memutar skru tersebut selama 20 hari (1mm setiap hari selama 20 hari). Pesakit kemudiannya perlu menunggu selama 20 ke 40 hari lagi bagi memastikan tulang lembut yang telah tumbuh itu menjadi tulang keras. Ini akan dapat dipastikan melalui xray.

Gambar 2: Tulang baharu yang mulai terbentuk setelah pemanjangan dilakukan (reserachgate.net)

Pemanjangan sebanyak 1 milimeter setiap hari ini dianggap kadar yang paling optimum bagi tisu badan manusia. Jika kadar pemanjangan ini terlalu perlahan, tulang baharu yang tumbuh akan mengeras sebelum matlamat proses pemanjangan berjaya dicapai. Selain itu kadar 1 milimeter per hari dapat membolehkan otot dan saraf beradaptasi dengan baik seiring dengan pertambahan panjang tulang. Jika pemanjangan terlalu cepat, ia boleh menyebabkan pembuluh darah pecah dan fungsi saraf terganggu.

Pemanjangan yang biasa dilakukan adalah kurang dari 8 sentimeter. Bagaimanapun ada direkodkan pemanjangan lebih dari 15 sentimeter yang telah berjaya dilakukan. Kadar pertumbuhan tulang dan penyembuhan juga bergantung kepada faktor lain termasuk kesihatan seseorang, penyakit kronik seperti kencing manis, umur dan gaya hidup seperti merokok dan pengambilan alkohol.

Kelebihan Teknik Ilizarov

Jika dibandingkan dengan teknik lain, Teknik Ilizarov ini mempunyai banyak kelebihan tersendiri. Antaranya hanya memerlukan belahan kulit yang kecil (minimal incision surgery) yang mengurangkan pendarahan, mengurangkan risiko jangkitan kuman dan kerosakan tulang baru.

Selain daripada itu, bentuk silinder implan Ilizarov membolehkannya mudah diubah bentuk bagi membetulkan kecacatan tulang dalam tiga dimensi. Pesakit juga akan dapat bergerak serta melakukan fisioterapi lebih awal kerana ia adalah implant yang amat stabil.

Ada juga golongan yang memanfaatkan teknik ini bagi tujuan kosmetik iaitu mencapai ketinggian yang mereka mahu melalui proses pemanjangan tulang (bone lengthening). Namun begitu, dari secara etika perubatan ini tidak digalakkan melainkan bagi tujuan rawatan. Ini adalah kerana setiap pembedahan pasti ada komplikasi yang boleh berlaku.

Komplikasi

Antara komplikasi yang boleh berlaku dengan kaedah ini termasuk:

  1. Jangkitan kuman pada tempat kemasukan pin dan wayar
  2. Jangkitan kuman pada tulang (Osteomyelitis)
  3. Kecederaan pada struktur semasa pembedahan termasuk saraf dan salur darah
  4. Sendi yang ketat (joint stiffness)
  5. Pengecilan otot (muscle atrophy) akibat kurang penggunaan untuk tempoh masa yang lama
  6. Kegagalan tulang bercantum (non-union) pada akhir proses pemanjangan
  7. Ketidakselesaan akibat bentuk konstrak Ilizarov yang besar dan panjang
  8. Parut yang banyak

Kesimpulan

Teknik Ilizarov adalah antara teknik pembedahan yang menjadi boleh menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul akibat kegagalan tulang bercantum dengan sepatutnya. Jika anda mempunyai masalah tulang yang bengkok atau pendek, ia adalah antara pilihan yang boleh membantu anda. Anda perlu faham konsep kegunaan, proses rawatan dan juga komplikasi yang mungkin timbul sebelum membuat keputusan mengenai rawatan ini. Saya harap anda dapat berjumpa dengan Pakar Ortopedik berdekatan anda bagi perbincangan lanjut.

Dr Rohaman Bin Tasarib

Pakar Perunding Ortopedik,

Hospital Serdang, SELANGOR

 

Dr Ahmad Mahyuddin bin Dato’ Mohamed

Pakar Ortopedik,

Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, PAHANG

 

Rujukan

  1. Review of Orthopaedic Trauma. Mark. R. Brinker (2001). Page 46
  2. Review of Orthopaedics, 5th Edition, Mark D. Miller. Sauders Elsevier (2008). Page 112-113
  3. Postgraduate Orthopaedics. Paul A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press (2009). Page 217-218
Gambar 1: Proses penarikan tulang menggunakan kaedah Ilizarov

 

Gambar 2: Tulang baharu yang mulai terbentuk setelah pemanjangan dilakukan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box