Ilmu Perubatan Itu Luas, Tidak Terhad Di Kelas Dan Buku – Dr. Wan Sherhan

picSaya seorang pelajar perubatan. Ya, pelajar fakulti perubatan yang bakal menjadi seorang doktor. Dari kecil lagi, saya bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di negara Barat. Sering kali saya didoktrinkan bahawa belajar dalam bidang perubatan di tempat-tempat elit ini bakal menjadikan saya seorang doktor yang baik. Hari demi hari berlalu. Akhirnya masanya pun tiba. Saya telah menamatkan pelajaran dalam peringkat sekolah menengah. Keputusan SPM diumumkan , syukur ke hadrat Ilahi, atas limpah dan kurnia-Nya, saya telah mendapat keputusan yang cemerlang.

Permohonan demi permohonan saya hantar, namun entah di mana silapnya, pilihan pertama saya tidak diluluskan. Akhirnya, saya telah dihantar ke negara Timur Tengah yang langsung tidak pernah saya isi sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Saya redha dan meyakinkan diri, tempat bukan segalanya. Apa yang penting adalah semangat ingin belajar dalam diri. “Ah, selama ini saya bukannya bersekolah di sekolah elit mahupun sekolah berasrama penuh yang orang kejarkan, tetapi keputusan SPM saya tetap setaraf dengan mereka!”. Itulah monolog dalaman saya untuk meyakinkan diri saya.

Tanpa asas dalam bahasa Arab, saya nekad untuk merantau ke negara Timur Tengah ini. Seorang anak muda yang tidak pernah berjauhan dengan keluarga? Memang berat dan sukar untuk memulakan hidup baru bersendirian, dengan kekangan bahasa di tempat yang hampir 80% penduduknya hanya tahu berbahasa Arab.

Tahun demi tahun berlalu, saya lalui peringkat pra-klinikal dengan penuh pancaroba. Keputusan tidaklah sebaik mana, namun Alhamdulillah dapat saya laluinya selama 3 tahun itu walaupun dengan usaha dan masa yang lebih sedikit daripada yang lain. Akhirnya, saya telah berada di tahun klinikal. Kata orang tahun klinikal ini seronok dan kita akan berdepan dengan pelbagai jenis pesakit. Prosedur demi prosedur bakal dilakukan.

Indah khabar dari rupa, sistem di negara ini berbeza daripada negara lain. Betul, saya memang berdepan dengan pesakit, namun tidak lebih daripada bertanyakan history dan melakukan pemeriksaan kepada pesakit. Itu pun seorang pesakit dikerumuni oleh 20 orang pelajar. Tidak ada buku log, tidak ada kriteria yang perlu dipenuhi apa yang bakal menentukan lulus dan gagal kami adalah 100% di peperiksaan nanti.

Berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan dalam bidang sama di negara lain mahupun yang sedang menuntut di negara sendiri agak menimbulkan rasa iri hati. Status-status mereka di media sosial yang berbunyi, “ Pertama kali mengambil sampel darah dari pesakit adalah sangat seronok”, “Hari ini saya berjaya memasukan tiub ke dalam saluran kencing pesakit” , “Bayi pertama yang saya sambut” dan banyak lagi pengalaman mereka dalam tahun klinkal. Apa yang mampu saya buat? Saya tidak boleh hanya berdiam diri dan membiarkan semua ini berlaku pada diri. Saya tidak mahu dilabel sebagai seorang doktor pelatih yang tidak berkaliber dan tidak tahu apa-apa ketika bekerja nanti. Cukuplah saya mendengar rintihan dan aduan sesetengah senior mengenai kesukaran yang mereka hadapi ketika bekerja. Tidak, saya tidak mahu lepasan dari fakulti perubatan di negara Timur Tengah menjadi bualan para pihak atasan di hospital dalam negara. Cukuplah dengan label-label yang kurang menyenangkan.

Akhirnya cuti musim panas pun tiba, saya memberanikan diri untuk mengambil borang elektif posting di Jabatan Kesihatan Negeri. Ramai yang tertanya apa sebenarnya motif saya berbuat demikian? Setakat suka-suka? Ada juga kata-kata yang mematahkan semangat yang menyatakan saya hanya akan berdiri dan tengok dan tidak akan mendapat apa yang saya inginkan iaitu melakukan prosedur. Tidak kurang juga yang menakutkan dengan mengatakan bahawa staf di hospital tidak akan berasa senang dengan kehadiran saya yang dikira sebagai hanya menggangu kerja mereka. Namun, saya tekadkan diri saya untuk menghantar borang tersebut dan menunggu jawapan. Seminggu kemudian, saya mendapat surat balasan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri. Saya telah ditempatkan di Jabatan Kecemasan Dan Trauma di sebuah hospital berhampiran dengan rumah saya.

Sumber: fowlerinjurylaw.com

Sumber: fowlerinjurylaw.com

Hari melapor diri sudah tiba, seawal jam 7 saya tiba di hospital tersebut. Setelah selesai menguruskan pas sementara saya di pejabat pengurusan hospital itu, saya terus melaporkan diri dengan Ketua Jabatan Kecemasan Dan Trauma. Perasaan takut agak berkurang apabila saya mula berbual dengan beliau.

Welcome to the department. For your information this is one of the three casualty department in this area. However, this department has no houseman. All are MOs, paramedics and nurses. It won’t be a problem for you to learn from them,“ ujar beliau.

“Thank you Dr. Y, I really hope that I can learn much here, as I really need to learn on the procedures that I need to know as a medical student and as a houseman in future, kata saya dengan terketar-ketar kepada beliau.

Perbualan kami berlanjutan seketika :

Dr. Y: Do you have any letters or log book for me to sign on before you leave at the end of your posting here?

Saya: No, I don’t have any of that.

Dr. Y: Then, why are you here? You should be having a good holiday.

Saya: I do wish to have that good holiday but I think it’s too long for me to do nothing and I really want to buck up on what I am lacking of.

Dr. Y: Okay, I really appreciate your effort. Be a part of us. Make sure you don’t be a drip stand. You’ll learn nothing. Learning is doing not by looking. Don’t worry I’ll tell my staff to let you do the procedures and also stuffs that you can do under their supervision. And….. If you can, please do night calls. I would like you to experience that.

Saya: Thank you very much Dr. Y! I promise I won’t let my 4 weeks here to end up gaining nothing.

Dr Y: Good! Let’s follow me with my morning rounds.

Mengikuti beliau untuk morning round merupakan pengalaman yang pertama. Banyak yang dipelajari, tidak kurang juga soalan beliau yang membuat saya terkial-kial untuk menjawab. Saya sedar selama ini saya merupakan seorang pelajar yang memfokuskan diri untuk peperiksaan. Walau bagaimanapun, secara teorinya saya agak kukuh kerana universiti saya sangat menitik beratkan pembelajaran teori secara mendalam dalam peringkat klinikal mahupun pra-klinikal. Sebab itulah tahun pengajian kami agak panjang sedikit, iaitu selama enam tahun setengah.

Selesai morning round, saya mula memperkenalkan diri kepada semua staf di jabatan itu. Mereka kelihatan mesra, agak berbeza sedikit berbanding jabatan lain. Mereka seolah-olah seperti sebuah keluarga. Saya juga ditanyakan dengan macam-macam soalan mengenai motif saya berada di sana. Menurut MOs, kebanyakan yang melakukan elektif posting ini hanya kerana mereka diwajibkan melakukan demikian oleh pihak universiti. Jawapan saya pada mereka, universiti saya tidak mewajibkan apa-apa kepada saya.

Selama 4 minggu di sana saya, pelbagai pengalaman yang saya dapat. Kesibukannya di sini lebih sedikit, sementelah dengan pesakit yang ramai, dan kekurangan staf terutamanya di Negeri Di Bawah Bayu, memang banyak prosedur yang saya dapat buat.

“Sherhan please help me to set line in all the new patients, don’t forget to get full sets of bloods too and the forms too, thank you

Setiap kali saya mendengar arahan itu, saya merasa teruja lagi gembira kerana diberi peluang sedemikian. Hari demi hari, kemahiran saya untuk melakukan prosedur semakin meningkat. Mungkin dengan jumlah pesakit yang tidak henti-henti, dengan ketiadaan houseman dan hanya tiga orang MOs untuk syif pagi dan petang dan dua orang untuk syif malam telah memaksa saya untuk belajar semua itu. Walaupun ada yang merasakan itu satu perbuatan buli, tetapi lain bagi saya. Saya tidak merasakan itu sebagai satu buli. Saya mengambil itu sebagai peluang.

Pengalaman saya bertambah lagi apabila saya dapat melakukan night calls bersama staf di sana. Hanya dua orang MOs untuk menjaga zon hijau, kuning, dan merah di wad kecemasan, merupakan satu cabaran yang perlu dilalui. Di kala waktu yang sibuk, pesakit di Zon Hijau akan berjumpa dengan Pegawai Pembantu Perubatan.

Satu lagi peluang yang saya dapat perolehi setelah diberikan kepercayaan oleh Ketua Jabatan dan MOs, adalah ketika night calls, saya akan membantu Pegawai Pembantu Perubatan untuk ‘clerk patientatau dalam bahasa mudahnya, merekodkan sejarah dan aduan pesakit. Dan yang lebih menarik, saya juga dapat memeriksa pesakit secara menyeluruh. (Para pembaca jangan risau, saya tidak ditinggalkan bersendirian, saya sentiasa diselia oleh doktor yang bertauliah. Tidak ada rawatan yang akan diberi dengan keputusan saya 100%).

Pengalaman untuk menjadi orang yang pertama yang mendengar aduan pesakit, merekodkan semua data-data yang relevan dan cuba memikirkan diagnosis serta rawatan sebelum disahkan oleh doktor bertugas, mengajar dan membuka mata saya bahawa untuk menjadi seorang doktor bukan menelaah buku semata-mata tetapi adalah melalui pengalaman dan bilangan kes yang anda pernah lihat dengan mata sendiri dan periksa dengan tangan sendiri.

Saya mula sedar, pekerjaan ini bukanlah mudah tetapi bermakna.

Pada satu malam saya sedang berehat di pantri, tiba-tiba buzzer berbunyi sebanyak tiga kali menandakan ada kes di zon merah. Saya lantas bergerak ke zon merah. Seorang pesakit dalam respiratory distress, atau dalam bahasa mudah, kesukaran dalam pernafasan. Dr. SS yang bertugas pada malam itu segera memberi arahan untuk menyediakan intubation set, iaitu set bantuan pernafasan. Saya segera mencapai ambu bag dan sambungkan ke sumber oksigen dan mulakan bagging, iaitu ,mengepam ambu bag tersebut.

Para jururawat dan pembantu perubatan memasang line pada pesakit. “Sherhan, are you ready to intubate after we have prepared the patient? Since you are bagging the patient, why don’t you try?ujar Dr. SS. Saya tergamam. Melihat saya tergamam, beliau meyakinkan lagi, “You’ve seen lots of intubation procedures before, right? You told me you did on mannequin before. Visualize the vocal chords and slide the ETT in. I am with you!Saya mengangguk.

“Patient ready!kata seorang jururawat. Saya terus mencapai laryngoscope dan Abang A seperti automatik meletakkan ETT (endotracheal tube), iaitu tiub untuk dimasukkan ke dalam trakea di tangan kanan saya. Seperti yang dipelajari di kelas dan seperti yang says pernah lihat, saya praktikan. “I am in”, kata saya. Abang A terus menyambungkan ETT pada ambu bag dan terus menekan. Dr. SS mencapai stetoskop dan mendengar. “ETT confirm in and lungs equal,katanya. Saya menarik nafas lega.

Alhamdulillah percubaan pertama saya menjadi. Pesakit menjadi stabil semula. Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sebagai seorang pelajar. Terima kasih Dr. SS kerana memberi peluang. Kemudian, saya terus mengambil sampel ABG (arterial blood gases) pesakit tersebut untuk dibawa ke makmal. ABG ini adalah ujian sampel darah untuk melihat kandungan gas dalam salur darah arteri dalam kadar normal atau tidak.

Peluang demi peluang untuk melakukan prosedur saya peroleh, namun antara yang paling saya tidak boleh lupakan juga ada prosedur yang telah diajar oleh mendiang Dr. T bersama dengan Abang J pada satu malam. Central venous line, iaitu line yang lazimnya dimasukkan di bahagian leher ke salur darah yg bernama Jugular Vein, yang selama ini saya hanya mampu melihat.

“Sherhan kau mahu cuba ka? Kasi masuk ja macam biasa ba, saya tahan di leher supaya endak naik atas. Masuk tu dalam heart,” kata Abang J. Mendiang Dr. T mengangguk tanda setuju. Saya masukkan line secara perlahan-lahan, tetapi sampai satu tahap saya menghadapi kesukaran, line seolah-olah tersangkut. Dr. T melihat terus memberitahu “Let me show you one trick that I learnt only during my housemanship.

Dia mengalihkan posisi tangan pesakit. Dengan sekelip mata, line terus dapat masuk tanpa halangan. Terima kasih Abang J dan Dr. T. Kepada mendiang Dr. T, hati ini merasa sayu tatkala mendengar berita yang kamu telah pergi beberapa bulan yang lalu ketika saya berada di Timur Tengah. Beliau seperti seorang sahabat dan seorang abang yang tidak pernah putus memberi kata semangat. Kini, setiap kali ada apa-apa yang berkaitan dengan Central Venous Line, saya akan teringatkan beliau. Persahabatan yang tidak panjang tetapi agak mendalam.

Empat minggu berlalu tanpa disedari, posting saya di Jabatan Kecemasan sudah sampai ke penghujungnya. Hati ini terasa berat untuk meninggalkan jabatan itu. Bukan hanya kerana peluang dan pengalaman, tetapi juga satu perasaan berkumpulan dan seperti berkeluarga dalam jabatan itu. Hubungan staf di sana tidak berakhir hanya di dalam hospital. Kami juga meluangkan masa bersama ketika ada masa lapang, seperti makan di luar dan juga menonton wayang. Sampai begitu sekali keakraban yang terjalin antara kami.

Terima kasih pada Ketua Jabatan Dr. Y atas tunjuk ajar dan teguran. Tidak lupa juga pada MOs Dr. O, Dr. R, Dr. M, Dr. SS, Dr. A, Dr. AZ, Dr. C , dan Dr. S kerana tunjuk ajar yang tidak henti dan peluang yang diberikan. Para pembantu perubatan dan jururawat yang tidak henti memberi semangat. Terima kasih juga secara keseluruhannya kerana memberi saya satu pengalaman yang tidak akan saya lupa ketika saya masih lagi seorang pelajar perubatan. Posting ini telah mengubah cara saya melihat bakal kerjaya saya dan menyedarkan saya bahawa ilmu perubatan ini luas, bukan terhad di dalam kelas dan buku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box