Ini Tentang Paedophilia – Dr Zul Azlin

Source: www.newkidz.org.za

Source: www.newkidz.org.za

Paedophilia berasal dari kata Greek yang bermaksud ‘suka’ (philio) ‘kanak-kanak’ (paedo). Ia tergolong di dalam gejala kecelaruan paraphilia (Paraphilic Disorders), iaitu satu kategori ‘penyakit’ kecenderungan untuk mendapat kepuasan seks atau keghairahan seksual yang tinggi dengan cara di luar norma kebiasaan. Contoh lain paraphilia disorders adalah voyeurism, frotteurism, exhibitionist dan lain-lain. Di dalam kitab rujukan psikiatri, The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, edisi kelima, takrifan paedophilia agak spesifik. Pelaku atau pesakit mempunyai fantasi keghairahan seksual dan keinginan seks yang tinggi melibatkan aktiviti dengan kanak-kanak yang belum akil baligh.

Pesakit paedophilia akan bertindak ke atas keinginan seks yang kuat ini dan kecenderungan ini samada menyebabkan pesakit tertekan atau menimbulkan pelbagai masalah sosial kepada dirinya. Pesakit berumur sekurang-kurangnya 16 tahun atau sekurang-kurangnya lima tahun lebih tua dari mangsa. Istilah ‘pesakit’ digunakan di sini kerana penerangan yang cuba dibawa adalah dari sudut perubatan psikiatri. Walau bagaimanapun ini tidak bermaksud untuk menolak konotasi salahlaku dari sudut perundangan, moral mahupun agama.

Paedophilia ini adalah diagnosis klinikal yang dilakukan oleh Pakar Perubatan Psikiatri atau Ahli Psikologi Klinikal hasil dari pengambilan sejarah pesakit yang sistematik, pemerhatian dan beberapa instrument psikometrik. Masih belum ada ujian darah atau ujian radiologi spesifik yang boleh memberi impak besar dalam diagnosis paedophilia. Pesakit paedophilia tidak datang secara sukarela unuk mendapatkan rawatan kepada kecenderungan seksnya. Perubatan psikiatri terlibat setelah pesakit dibawa masuk melalui pintu perundangan.

50 ke 70% pesakit juga mempunyai kecenderungan paraphilia yang lain seperti voyeurism (merasa sangat ghairah apabila melihat atau mengintip anak-anak berbogel), exhibitionism (mendapat kepuasan seks dengan mempamerkan alat sulitnya kepada kanak-kanak) dan frotteurism (kepuasan seks dicapai dengan menggosok alat sulit mereka ke badan kanak-kanak tersebut). Kemudahan internet memberi ruang lebih besar untuk pesakit untuk terus melayan nafsu keghairahan seksnya, mencari mangsa melalui laman media sosial atau berkongsi bahan-bahan lucah dengan pesakit/pelaku paedophilia yang lain.

Kajian menunjukkan pesakit paedophilia kebanyakannya mempunyai perasaan kekurangan diri (inferiority), sering menyendiri, rendah harga diri (low self-esteem) dan juga pembawaan emosi yang kurang matang. Mereka juga menghadapai masalah dalam situasi interaksi sosial yang bermakna. Mereka kurang asertif dan akibatnya perlahan-lahan membina sifat passive-aggressive di dalam diri i.e perasaan marah yang meluap tidak ditunjukkan, sebaliknya dilepaskan secara pasif dan halus. Hampir semua pesakit paedophilia mempunyai sejarah trauma psikologi ketika kecil.

Pakar berselisih pendapat terhadap potensi pesakit paedophilia untuk pulih sepenuhnya. Kebanyakan negara menumpukan kepada pencegahan keberulangan tindakan paedophilia. Pelbagai aspek perawatan wujud seperti ubat-ubat untuk menurunkan libido seperti menurunkan tahap testosterone dengan antiandrogenic therapy. Ubat lain yang dicuba adalah Selective-serotonin Reuptake Inhibitors. Rawatan psikoterapi juga penting. Ada juga rawatan yang dianggap kontroversi untuk menukar orientasi seksual individu tersebut menjauhi dari kanak-kanak seperti Aversion Conditioning dan Masturbatory Reconditioning. Kajian dan perawatan paedophilia di Malaysia tidak sebanyak negara Barat. Unit khas psikiatri yang terlibat adalah Forensic Psychiatry dan Sexual Health Medicine.

Kemajuan teknologi maklumat mempunyai serampang dua mata yang boleh memberi kesan baik dan buruk. Kepesatan pembangunan materialistic menyebabkan manusia kian melupakan unsur ketuhanan. Pendekatan bio-psycho-socio-spiritual adalah pendekatan paling ampuh dalam mencegah dan merawat segenap penyakit. Struktur kekeluargaan yang harmoni, sistem kemasyarakatan yang rapat dan peka dan sistem ketuhanan yang benar menghasilkan produk insan yang bermoral dan bersih dari kecelaruan emosi dan fikiran.

 

Dr Zul Azlin Razali adalah Pakar Perubatan Psikiatri dan Pensyarah Kanan Perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau boleh dihubungi di Impian Therapy Centre. www.facebook.com/impiantherapy

Rujukan:

  • The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, 5th Edition. American Psychiatric Association. 2013
  • Hall RCW et al. A Profile of Pedophilia: Definition, Characteristics of Offenders, Recdivism, Treatment Outcomes, and Forensic Issues. Mayo Clin Proc. 2007. 82(4): 457-471
  • Quayle E. and Taylor M. Paedophiles, Pornography and the Internet: Assessment Issues. British Journal of Social Work. 2002. 32: 863-875.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

2 comments for “Ini Tentang Paedophilia – Dr Zul Azlin

  1. fres
    May 11, 2015 at 10:05 am

    Hi,do u hve English translation of this article?would love to share to my non-BM speaking friends & relatives overseas..tq

    • Hidayah
      May 14, 2015 at 4:09 pm

      The Malaysian Medical Gazette actively translates its articles (English-Malay & Malay-English). We will inform our translation team about your request. Republication will take a bit of time though. Thank you.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box