Jangan Ambil Remeh Kesan Alahan Ubat – Norvena Hisyam

Sumber: www.takepart.com

Sumber: www.takepart.com

Saya baru pulang dari hospital ketika menerima panggilan daripada teman saya sewaktu dalam tempoh bertugas di Borneo.

“Abang kamu (merujuk akan suaminya) tiba-tiba bengkak mata ni, perlu ka kakak bawa ke hospital? Boleh tunggu lagi ka?”

“Eh, kakak, jangan tunggu lagi. Bawa ke Kecemasan sekarang! Lemas (sukar bernafas) tu dia nanti”

“Ok, ok! Kubagi *Ibuprofen ingat boleh makan, alergi lagi ni dia kali”

Niat untuk merehatkan diri terbatal. Badan saya alert. Cukup saya tahu, suaminya memang ada alahan terhadap ubat-ubatan. Hatta paracetamol juga telah diharamkan oleh doktor untuk ditelan. Paracetamol? Ya, ubat yang kita telan apabila merawat pening kepala dan demam tu, ia penyebab sakit padanya. Seluruh muka dan matanya akan membengkak dengan pantas akibat tindak balas kompleks oleh sistem imunisasi badan yang ‘mendaftar’ bahan kimia di dalam ubat tersebut sebagai musuh. Akibatnya, sebarang cuba-cuba jaya untuk makan ubat bagi merawat demam boleh mengundang padah. Itu yang telah terjadi pada suami teman saya ini. Mujurlah isterinya bertindak pantas membawanya ke hospital.

Rawatan segera perlu diberikan kepada pesakit yang mempunyai sejarah alahan. Bengkak-bengkak di bahagian muka atau bahagian badan yang lain tidak boleh dipandang remeh. Kesukaran bernafas dan penurunan tekanan darah badan yang mendadak adalah antara risiko yang paling ditakuti. Ia terjadi hasil rembesan histamine oleh sistem daya tahan tubuh. Nah, hilang keupayaan bernafas akan menghalang badan terutama fungsi otak untuk bertindak normal. Umpama kabel elektrik yang diputuskan dari peti sejuk. Anda pasti boleh bayangkan, bukan?

Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewujudkan kad khas sebagai satu kaedah notifikasi alahan. Kad ini akan diberikan kepada pesakit sebagai langkah pencegahan daripada alahan berulang mengikut prosedur yang telah dikeluarkan melalui Garis Panduan Pengesanan Pesakit Dengan Alahan Ubat-ubatan.

Selepas rawatan selesai dan pesakit dibenarkan pulang, adalah menjadi tanggungjawab mutlak pesakit untuk memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah alahan apabila mendapat rawatan di fasiliti kesihatan yang lain. Kegagalan untuk memaklumkan matlumat yang amat penting ini boleh memudaratkan rawatan yang diterima pada masa depan. Kenapa? Kerana doktor yang tidak pernah merawat pesakit tersebut tidak mungkin akan mengetahui sejarah alahan tersebut melalui luaran. Simptom – symptom alahan kebanyakkan akan hilang selepas dirawat. Sekiranya pesakit menerima ubat sama, tindakbalas alahan akan diaktifkan semula. Pencegahan terhadap alahan kepada ubat yang sama boleh dilakukan. Jadi, hafal dan kenalilah nama ubat tersebut. Maklumkan juga kepada ahli keluarga terdekat.

Keliru antara kesan sampingan ubat atau alahan ubat? Artikel daripada Cik Aishah boleh membantu anda.

https://www.mmgazette.com/alahan-ubat-atau-kesan-sampingan-ubat-cik-aishah-mohd-shah/

*Ibuprofen adalah antara alternatif yang boleh digunakan bagi merawat demam tetapi bukan pilihan utama kerana terdapat kesan sampingan lain yang tidak diingini seperti kepedihan perut. Dapatkan nasihat doktor sebelum anda ujicuba sebarangan ubat untuk merawat diri sendiri.

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Rujukan :

  • Drug Allergy: Clinical Aspects, Diagnosis, Mechanisms, Structure-Activity Relationships Brian Baldo, Nghia H Pham
  • http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/dokumen/garis-panduan-pengesanan-pesakit-dengan-alahan-ubat-ubatan.html

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box