Pernahkah anda berasa perit dan pedih pada puting payudara ketika dan selepas menyusukan bayi? Walaupun sebelum ini anda tiada masalah ketika penyusuan? Sekiranya anda berasa demikian, anda berkemungkinan mengalami jangkitan kulat Candida pada puting payudara dan harus mendapatkan rawatan.
Apakah kulat Candida?
Kulat candida merupakan sejenis kulat yis yang hidup di sekitar kulit manusia dan kebiasaannya tidak menimbulkan masalah. Walaubagaimanapun, pertumbuhan kulat yang tidak terkawal atas sebab beberapa faktor boleh menyebabkan jangkitan kulat yang dipanggil ‘Candidiasis’. Jangkitan kulat pada puting payudara sering terjadi kepada ibu-ibu yang menyusu. Sekiranya ibu mengalami jangkitan kulat ‘Candida’ pada puting payudara, kebiasaannya bayi mereka turut akan terkena jangkitan kulat tersebut pada lidah dan bahagian dalam mulut bayi, yang dikenali sebagai seriawan serta ruam lampin. Hal ini boleh menyebabkan si bayi kurang atau tidak mahu menyusu kerana rasa sakit dalam mulutnya.
Apakah faktor penyebab jangkitan kulat pada puting payudara?
Antara faktor yang membolehkan pertumbuhan kulat yang tidak terkawal adalah seperti berikut:
- Penggunaan ubat antibiotik dalam tempoh terdekat- Ini kerana antibiotik juga membunuh bakteria baik pada badan dan menyebabkan pertumbuhan kulat yang tidak terkawal secara tidak sengaja
- Luka pada kulit atau puting menyediakan medium yang lembab yang sesuai untuk pertumbuhan kulat
- Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis yang tidak terkawal
- Jangkitan daripada bayi yang mempunyai jangkitan kulat akibat daripada pengunaan botol atau puting botol susu yang tidak bersih
Gejala-gejala jangkitan kulat Candida pada puting payudara
Di antara tanda-tanda jangkitan kulat adalah:
- Kesakitan pada puting ketika dan selepas penyusuan yang tidak pernah dialami sepanjang penyusuan
- Kesakitan yang bersifat seperti pisau yang menusuk atau bersifat panas serta terbakar pada payudara
- Puting dan kawasan areola menjadi berkeruping dan kemerah-merahan
- Terdapat tompok-tompok putih pada mulut bayi yang menunjukkan si bayi mungkin terkena jangkitan
Rawatan bagi jangkitan kulat Candida
Jangkitan kulat pada puting payudara boleh dirawat dengan pemberian ubat antikulat seperti Nystatin atau miconazole. Secara kebiasaannya, ibu dan bayinya akan dirawat bagi memastikan jangkitan benar-benar diubati dan tidak berulang.
Apa yang harus dilakukan?
Sekiranya anda mengalami gejala-gejala yang disebutkan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan untuk anda dan bayi. Sekiranya anda disahkan mengalami jangkitan, ubat anti-kulat akan diberikan. Selain mengambil ubatan yang diberikan, berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil oleh si ibu untuk mengelakkan daripada jangkitan berulang:
- Memastikan pelekapan bayi semasa penyusuan adalah betul bagi mengelakkan kejadian puting luka
- Mengelakkan penggunaan puting kosong atau pengunaan botol susu-sekiranya terpaksa menggunakannya, hendaklah direbus setiap hari dan tukar kepada puting baru secara berkala
- Memastikan kebersihan tangan sebelum dan selepas penyusuan
- Memastikan kebersihan pad payudara dan coli penyusuan dengan membasuh setiap hari dan menjemur di bawah sinaran matahari bagi membunuh kulat
Bagaimana dengan susu yang diperah semasa jangkitan kulat ini berlaku? Adakah ia selamat?
Kajian telah menunjukkan bahawa susu ibu mengandungi pelbagai antibodi, anti-bakteria dan juga anti-kulat. Secara amnya, susu perahan ibu semasa dalam rawatan untuk jangkitan kulat ini adalah selamat untuk diberikan kepada bayi yang sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit. Walaubagaimanapun, ada sesetengah pakar laktasi berpendapat bahawa susu perahan ibu yang sedang menerima rawatan untuk jangkitan kulat candida tidak harus dibekukan kerana khuatir akan memberi mudarat kepada bayi kerana proses pembekuan tidak dapat membunuh kulat yis tersebut dengan sempurna.
Oleh itu, sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti di atas, segeralah berjumpa dan berbincang dengan doktor anda. Jangkitan kulat candida pada puting payudara boleh dirawat dan penyusuan boleh diteruskan tanpa perlu berasa sakit.
Artikel ini ditulis oleh:
Dr Nurjasmine Aida Jamani
Dr Nurjasmine Aida Jamani seorang Pakar dan Pensyarah Perubatan Keluarga IIUM.
Rujukan:
- Zöllner MS JA. Candida spp. occurrence in oral cavities of breastfeeding infants and in their mothers’ mouths and breasts. Pesqui Odontol Bras. 2003;17:151–5.
- Berens P, Eglash A, Malloy M, Steube AM. ABM Clinical Protocol #26: Persistent Pain with Breastfeeding. Breastfeed Med [Internet]. 2016;11(2):46–53. Available from: http://online.liebertpub.com/doi/10.1089/bfm.2016.29002.pjb
- Mohrbacher N SJ. The Breastfeeding Answer Book. 3rd Revised Edition.Schaumburg, Illinois: La Leche League International; 2003. 480-484 p.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]