Jangkitan Kuman Pada Sendi Kanak-Kanak (Septic Arthritis)- Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Seorang bayi lelaki berusia 15 bulan dimasukkan ke wad setelah ibunya perasan dia tidak mahu berdiri. Bayi ni telah pun berjalan sejak 3 bulan sebelumnya namun kini langsung tidak mahu berdiri, apatah lagi berjalan. Dia yang sebelumnya sihat tiba-tiba sahaja demam, dan membengkokkan sendi pinggul kanannya. Demamnya juga tidak kebah-kebah walaupun setelah diberi ubat demam (Paracetamol).

Ibu bapa bayi ini segera membawanya ke hospital. Ujian darah menunjukkan bacaan sel darah putih (White Cell Count) dan bacaan keradangan (Erythrocyte Sendimentation Rate, ESR) yang tinggi. X-ray pinggul yang dilakukan adalah normal. Namun begitu, scan ultrasound menunjukkan kehadiran cecair di dalam sendi pinggul bayi ini.

Ini adalah kes “Septic arthritis of the hip” iaitu jangkitan kuman dengan nanah dalam sendi pinggul. Ia boleh terjadi pada mana-mana sendi manusia namun sendi yang kerap berlaku ialah sendi pinggul dan sendi lutut.

Kami menggunakan Kocher criteria bagi membuat diagnosis ini. Ia adalah hasil kajian saintifik Dr. Mininder S. Kocher yang menggunakan 4 kriteria khusus.

Jika TIADA kriteria yang positif, maka kebarangkalian ada Septic arthritis adalah 0.2 peratus.

1 kriteria : 3 %
2 kriteria : 40%
3 kriteria : 93%
4 kriteria : 99%.

Sekiranya seseorang pesakit mempunyai 4 kriteria positif, ia bermaksud 99 peratus kemungkinan Septic arthritis.

  1. Suhu (Temperature) melebihi 37 C
  2.  Pesakit tidak boleh berpijak
  3. Bacaan ESR (keradangan) > 120 (normal 10 mm/hr)
  4. Sel Darah Putih (WBC) kurang daripada 4 atau melebihi 10

Rawatan

Nanah yang berkumpul di dalam sendi perlu dibuang dan sendi perlu dibasuh. Pembedahan wajib dilakukan bagi mengelakkan komplikasi.

Pesakit akan diberi bius dan pakar Ortopedik akan membuat pembedahan bagi mengeluarkan nanah dan membasuh sendi yang terlibat. Antibiotik perlu diberi selama 6 minggu iaitu 2 minggu secara intravena (mengikut saluran darah) dan 4 minggu lagi secara oral (minum).

 

Perkembangan kes

Pada hari ke-2 selepas menjalani pembedahan, bayi ini telah boleh meluruskan kembali sendi pinggulnya. Dan pada hari ke-3, dia telah mula berdiri. Demamnya juga telah kebah. Bayi ini telah dibenarkan keluar setelah menamatkan antibiotik intravena selama 2 minggu.

 

Komplikasi

Sekiranya ibu bapa lewat membawa anak mereka ke hospital ia boleh menyebabkan sendi menjadi rosak dan bayi ini akan mengalami sakit sendi kronik, terbatas pergerakan, malah sendi itu boleh bercantum (ankylosed). Lebih teruk lagi sekiranya kuman telah masuk ke dalah sistem peredaran darah dan menyebabkan bacteraemia. Ia boleh membawa kepada sepsis dan kematian.

Kesimpulan

Sekiranya anak anda mengalami demam dan sakit pada mana-mana sendi, segeralah ke hospital untuk pemeriksaan. Kelewatan rawatan boleh menyebabkan kerosakan pada sendi dan memusnahkan masa depan anak anda.

 

Dr Ahmad Mahyuddin merupakan seorang pakar tulang (orthopaedic specialist) dan penasihat The Malaysian Medical Gazette.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan

  1. http://www.acep.org/content.aspx?id=82236
  2. J Bone Joint Surg Am 1999;81:1662-70
  3. Imej: Google

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box